BEBERAPA hari sahaja lagi, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang sinonim dengan puasa.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Apa erti puasa? Ramai sudah maklum, puasa ertinya menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Bukannya lama sangat, lebih kurang 12 jam tetapi percayalah, masih ramai yang payah hendak berpuasa.
Persoalan iman memang tidak boleh disangkal malah tidak mampu berpuasa sebenarnya juga berpunca daripada ketidakbiasaan yang wujud di dalam diri.
Lantaran, sebagai ibu dan bapa, anda sewajarnya mendidik anak anda berpuasa sejak kecil lagi.
Mulakan secara berperingkat
Mungkin ada yang bertanya, pada umur berapa tahun sebaiknya si anak diajar berpuasa? Realitinya, tidak ada dalil khusus dalam syariat yang menekankan mengenai mendidik anak berpuasa, berbeza dengan solat.
Rasulullah SAW menekankan agar ibu bapa menyuruh anak belajar solat ketika berusia tujuh tahun dan sekiranya ketika berusia 10 tahun si anak tadi enggan solat maka si anak boleh dihukum dengan pukulan sekadar untuk mengajar atau menakutkan.
Mengambil kira syarat berpuasa, diwajibkan kepada yang baligh iaitu bermula usia sembilan tahun. Namun, jika tidak biasa dan hanya diminta si anak berpuasa ketika telah diwajibkan, pasti ia akan memberikan dugaan dan cabaran besar buat si anak.
Lantas, sebaiknya si anak diajar berpuasa seawal usia empat atau lima tahun iaitu ketika dia telah mampu untuk meluahkan isi hati mengenai dirinya.
Ajarkan si anak berpuasa secara bertempoh. Boleh mulakan dengan bersahur kemudian tidak mengambil sarapan dan berbuka ketika waktu makan tengah hari.
Janjikan ganjaran
Seterusnya biasakan dengan tempoh yang lebih lama, mungkin berbuka ketika azan waktu solat Asar dan akhirnya cukup sehari dengan berbuka ketika masuknya waktu solat Maghrib.
|
Membiasakan diri sebegini akan dapat memberikan kekuatan kepada si anak untuk berpuasa penuh dan tidak terlalu sakit ketika menghadapi puasa yang sebenar. Paling penting, si anak yang telah biasa berpuasa akan rasa ralat jika sengaja meninggalkannya.
Tidak salah jika ibu bapa menjanjikan suatu ganjaran buat si anak sekiranya berpuasa. Sebagai contoh, jika si anak baru belajar berpuasa, boleh dijanjikan RM10 jika dapat berpuasa penuh sehari dan RM5 jika dapat berpuasa separuh hari.
Jika anak telah berusia tujuh tahun, disiplin diri sewajibnya ditekankan menurut syariat iaitu mengambil kira perintah solat. Jika si anak berpuasa penuh janjikan ganjaran, sebaliknya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran jika berpuasa separuh hari.
Selain ganjaran berbentuk wang, si anak yang berpuasa boleh dijanjikan dengan ganjaran mengikut kehendak hatinya. Mungkin si anak berminat untuk menikmati hidangan tertentu atau memperoleh sesuatu, maka cabarlah si anak untuk berpuasa penuh dan kehendak hatinya akan dipenuhi.
Namun, ganjaran hanya sesuai untuk anak yang baru belajar berpuasa dan di bawah umur baligh. Jika si anak telah baligh, perlu bertegas menyuruh si anak berpuasa bagi melaksanakan perintah Allah dan bukan demi ganjaran semata-mata.
Ketika si anak berusia sembilan tahun, tidak perlu dijanjikan sebarang ganjaran, namun boleh diwujudkan ganjaran tersebut sebagai kejutan saat akhir iaitu diserahkan tanpa si anak maklum terlebih dahulu ketika hari raya.
Wujudkan persaingan
Ia sebagai pendidikan bahawa berpuasa merupakan perintah Allah yang wajib ditunaikan dan sebagai ibu bapa, ganjaran itu diberikan kerana anda berbangga dengan prestasi si anak dalam usaha menjadi anak yang soleh dan solehah.
Selain ganjaran, ibu bapa juga boleh wujudkan persaingan sihat antara anak-anak, jika memiliki lebih daripada seorang anak.
Malah, andai memiliki hanya seorang anak yang boleh dilatih berpuasa, masih boleh wujudkan persaingan antara si anak dengan sepupunya dan boleh juga wujudkan persaingan dengan diri anda sendiri.
Contohnya, anda boleh ceritakan kepada anak anda mengenai kisah anda belajar berpuasa ketika kecil dahulu, tetapi pastikan si anak mendapat manfaat dan semangat, bukan menjadikan si anak tidak minat berpuasa.
Mungkin boleh ceritakan mengenai anda terpaksa tidur hampir seharian kerana mahu mempertahankan puasa dan pada masa yang sama yakinkan anak anda bahawa mereka lebih bersemangat dan mampu melakukan yang lebih baik berbanding anda.
Secara tidak langsung, si anak akan rasa tercabar untuk menandingi kehebatan anda ketika kecil seterusnya akan menjadikan anda berbangga dengan dirinya.
Berikan pujian
Bagi seorang kanak-kanak, alat permainan atau wang yang diberikan sebagai ganjaran berpuasa tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan pujian dan perhatian yang diperolehnya daripada anda sebagai ibu atau bapa.
Lantas, dalam kekalutan anda bekerja dan kepenatan berpuasa, pastikan anda tetap memberikan perhatian kepada anak anda.
Anda boleh ambil tahu mengenai perasaannya selepas berjaya berpuasa, boleh juga ambil tahu hidangan yang diidamkan untuk dinikmati ketika berbuka, boleh juga tanyakan menu kegemaran untuk menambah selera ketika bersahur.
Perhatian yang anda berikan akan menambah semangat si anak untuk berpuasa kerana yakin, susah payahnya berpuasa anda hargai.
Ingat! Anak-anak kecil masih belum faham konsep pahala dijanjikan Allah, lantas sebagai ibu bapa, biasakan dengan ganjaran dunia ketika si kecil belajar berpuasa tetapi tetap masukkan dalam minda mereka, puasa mereka dinilai oleh Allah sebagai pahala untuk kehidupan abadi di syurga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: