Tuesday, July 2, 2013

Syura mahu tunaikan nazar ibu


JUARA Masterchef Selebriti Malaysia 2, Syura mahu menghantar ibunya menunaikan umrah menerusi duit kemenangannya.


BAGAI mengiakan spekulasi yang tercetus seminggu sebelum episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia 2, penyanyi Syura akhirnya ditabalkan sebagai juara rancangan realiti masakan itu.
Syura mengalahkan Celina Khor dalam final MasterChef Selebriti Malaysia 2 menerusi cabaran mencipta menu bertemakan Sajian Sehangat Bintang untuk sembilan orang penumpang kelas pertama dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Menerusi cabaran itu, masing-masing dikehendaki menyediakan hidangan pembuka selera, sajian utama dan pencuci mulut.
Syura yang popular dengan lagu Nazam Berkasih telah menyediakan hidangan Avocado Ketam Berkasih, Sesuci Cinta Syura dan Salju Hati Merindu yang telah menambat hati juri utama pertandingan itu iaitu Chef Jo, Chef Zubir dan Chef Adu Amran.
Bocor
Memberikan reaksi terhadap keputusan akhir yang didakwa telah bocor terlebih awal daripada episod akhir yang disiarkan pada malam Selasa lalu, Syura mengaku sedikit terkilan.
“Hidangan saya bukanlah teruk sampai hangit hinggakan ada segelintir pihak yang mengeluarkan komen negatif dan menyifatkan saya tidak layak untuk bergelar juara.
“Ya, saya akui ada terbaca komen-komen peminat di laman sosial Facebook MasterChef Selebriti Malaysia 2, tapi saya menganggap itu sebagai pencetus semangat untuk terus berjaya.
“Melalui program masakan ini saya sebenarnya mencabar diri dan kemampuan saya di dapur. Rancangan ini telah banyak mengubah landskap hidup saya, kalau dulu saya jarang ke dapur tapi sekarang pelbagai juadah dapat saya hasilkan hari demi hari,” katanya yang ditemui selepas majlis tayangan episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia 2 di Restoran Delicious Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 29, mengakui rancangan itu merupakan batu loncatan untuk kembali bergiat aktif dalam dunia seni suara.
“Saya masih sayang bidang nyanyian dan untuk menjadi seorang chef tidak mudah kerana gelaran itu bukan sembarangan diberikan kepada seseorang.

BARISAN peserta Masterchef Selebriti Malaysia 2 meraikan kemenangan Syura.


“Insya-Allah saya akan kembali merakamkan single bersama sebuah syarikat rakaman tidak lama lagi,” tambahnya yang merancang untuk membuka restoran sebagai hadiah kepada peminat merasai air tangannya.
Selaku pemenang, Syura sekali gus menyumbangkan RM60,500 kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Breast Cancer Welfare Association of Federal Territory, manakala Celina menyumbangkan RM10,000 kepada Furry Friends Farm.
Drama
Syura dalam pada itu menjelaskan dia tidak menyembunyikan sifat sebenarnya di dapur MasterChef Selebriti dan menegaskan kata-kata serta perbuatannya adalah dirinya sebenar.
“Saya menjadi diri saya sendiri, kalau saya tidak berpuas hati saya akan cakap. Apa yang penonton nampak di kaca televisyen adalah saya.
“Kadang-kadang saya rasa diri saya terlalu jujur dan orang selalu nampak saya gelisah tapi itulah warna sebenar Syura,” katanya yang mendapat tawaran menyertai rancangan itu selepas berpindah dari Johor Bahru, ke Kuala Lumpur bersama keluarga hujung tahun lalu.
Syura turut menerima hadiah dua tiket penerbangan kelas perniagaan pergi dan balik ke Paris, Perancis menaiki pesawat Airbus A380 MAS dan lebih manis apabila sajian Syura akan dihidangkan di kelas pertama pesawat berkenaan.
Penyanyi itu turut meluahkan isi hati untuk menghantar ibunya, Samsiah Mohammad, 62, mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum dia dan suaminya terbang ke Perancis.
“Saya mahu lunaskan nazar terhadap ibu saya terlebih dahulu sebelum pergi bercuti. Ini impian saya apabila menyertai rancangan ini dah syukur Alhamdulillah hajat saya dimakbulkan,” ujarnya.
MasterChef Selebriti Malaysia 2 disertai oleh 19 selebriti antaranya Rozita Che Wan, Enot, Kenchana Devi, Norish Karman, Syanie, Lydiawati, Datuk Aznil Nawawi dan Zain Saidin.
Sementara itu, ulas Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkenaan spekulasi kemenangan Syura yang telah bocor terlebih awal, pihaknya akan memastikan rahsia rancangan MasterChef selepas ini diperketatkan.
“Sebenarnya spekulasi itu timbul kerana rancangan ini telah dirakamkan terlebih awal, namun tidak dinafikan sehingga malam episod akhir masih ada sokongan terhadap Celina.
“Spekulasi sukar dikawal dan orang akan tetap memperkatakan tapi kebenarannya muncul pada malam episod akhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: