Tuesday, July 2, 2013

Umie Aida jadi pertaruhan Ummi

DATIN PADUKA Umi Aida membawa watak Ummi, seorang wanita yang buta huruf tetapi mempunyai nilai keperihatinan yang tinggi.


TERLALU awal untuk menyifatkan drama Ummi yang menggantikan program realiti Bintang Mencari Bintang tidak menarik semata-mata kerana teraju utama drama bersiri 13 episod itu adalah kanak-kanak.
Hanya mempertaruhkan Datin Paduka Umie Aida sebagai watak dominan, ujar pengarah drama itu, Faisal Ishak, mesej kesedaran sosial sebenarnya menjadi fokus utama untuk disampaikan kepada penonton.
“Penghujung jalan cerita ini penonton tidak akan menyaksikan Umie Aida sebagai fokus utama, tapi watak kanak-kanak yang mendominasi cerita ini.
“Kisah ini adalah dekat dengan masyarakat dan kehidupan seharian kita. Tujuannya untuk membuka mata individu sekeliling dan membuktikan bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan untuk dimainkan,” jelas Faisal.
Selain Umie Aida, drama Ummi dibintangi oleh tiga orang pelakon kanak-kanak iaitu Khyreena Kemal, Danish Adam dan Ahmad Fadzli Masri.
Kata Faisal, tidak sukar untuk mengarahkan ketiga-tiga pelakon cilik itu memandangkan mereka sendiri telah faham jalan cerita yang ingin disampaikan kepada penonton.
“Seramai 60 orang pelakon kanak-kanak hadir untuk sesi uji bakat dan hanya tiga saja yang terpilih. Ahmad Fadzli sebelum ini pernah bekerja bawah saya menerusi drama Nur Kasih.
“Tidak susah untuk mengarahkan mereka, kerana mereka sendiri sudah faham jalan cerita. Sukarnya apabila melibatkan penggambaran waktu persekolahan kerana produksi perlu menunggu waktu mereka pulang dari sekolah.
“Lagipun, penggambaran tidak boleh dilakukan sampai lewat malam kerana kanak-kanak itu perlu ke sekolah keesokan paginya,” katanya yang telah menjalankan penggambaran selama tiga bulan awal tahun ini.
Tegas Faisal, drama Ummi berperanan untuk memberitahu masyarakat mengenai kehidupan sebenar golongan setinggan dan anak-anak terbiar yang sering terlepas pandang selain itu cuba menyuntik inspirasi kepada masyarakat untuk bertindak.

BARISAN pelakon drama Ummi yang mula bersiaran sejak 30 Jun lalu di TV3 yakin dengan kekuatan jalan cerita drama tersebut.


Sementara itu, tambah Umie Aida, sebab utama dia menerima watak Ummi yang ditawarkan kepadanya adalah kerana kekuatan watak itu yang bukan hanya berendam air mata semata-mata.
“Drama ini dekat dengan kita dan saya percaya setiap manusia ada sifat kemanusiaan. Watak Ummi cukup kuat tapi perjalanan cerita ini dicorakkan oleh watak kanak-kanak.
“Ummi menampilkan emosi seorang isteri yang ditinggalkan oleh suaminya, memiliki sifat keibuan yang tinggi. Walaupun daif dia tetap berkongsi sedaya termampu demi menyelamatkan anak-anak yang tidak mempunyai talian persaudaraan dengannya,” ujar Umie.
Drama Ummi mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita bernama Ummi yang ditinggalkan suaminya dan hidup dalam susah serta buta huruf, namun prihatin terhadap tiga orang kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang iaitu Comel, Amir dan Danish.
Dalam proses mengenali hati budi dan menyesuaikan diri antara Ummi, Comel, Danish dan Amir, tiba-tiba suami Ummi, Bahar muncul kembali dan mula berdepan dengan pelbagai masalah.
Turut membintangi drama itu, Sharul Kamaludin, Fikhree Bakar, Sharissa Chong, Zhafri Suhaimi, Riki Rikando Idris dan Marup Mustapah.
Drama itu telah mula bersiaran 30 Jun lalu membabitkan 13 episod pada setiap hari Ahad pukul 9 malam. Penonton yang terlepas siaran boleh menontonnya di laman sesawang www.tonton.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: