Tuesday, July 2, 2013

Susan Manen aktif selepas anak membesar

SUSAN mengaku sering menolak tawaran berlakon kerana diberi imbuhan yang terlalu sedikit.


NAMA pelakon cantik Susan Manen mungkin agak asing buat generasi baharu, tetapi dia pernah bergiat aktif dalam bidang lakonan sekitar pertengahan tahun 90-an.
Setelah muncul juara pertandingan Ratu Cantik Malaysia 1993, dia kemudiannya telah dilamar untuk membintangi filem berjudul Penyu arahan Z. Lokman dua tahun kemudian sehingga mula melonjakkan namanya sebagai seorang pelakon.
Bagaimanapun, pelakon yang kini berusia 39 tahun itu seperti tenggelam dalam dunia lakonan apabila dia mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Mustapha Kamal dan bergelar mualaf pada tahun 1998.
Berpeluang menemuinya semasa penggambaran telemovie Abang Long vs Kak Yong di Damansara, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu, ibu kepada empat orang anak itu menyatakan dia tidak pernah meninggalkan bidang lakonan.
Kosmo!: Sudah agak lama Susan tidak muncul di kaca televisyen atau layar perak. Adakah sekarang ini anda sudah melupakan dunia lakonan?
Susan: Semenjak berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1998, saya sudah jarang mendapat tawaran berlakon dan seolah-olah peluang dalam dunia lakonan sudah tertutup rapat. Pada masa yang sama perkahwinan juga antara punca yang membuatkan saya mengurangkan aktiviti lakonan, tetapi saya tidak pernah melupakan bidang ini kerana ia merupakan suatu kerjaya yang menyeronokkan.
Sepanjang tidak bergerak aktif sebagai pelakon, apakah aktiviti yang anda lakukan?
Pada mulanya saya memberikan sepenuh tumpuan kepada rumah tangga kerana semasa berkahwin dengan Abang Mus (Mustapha Kamal) dahulu, saya perlu membesarkan enam orang anak tiri saya.
Kemudian sepanjang perkahwinan dengan Abang Mus, kami telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sabella Qawiema, 14, Aulia Qayyiem, 12, Salsabil Qurani, 10 dan Naqli Qaddiem, 7.
Biarpun sudah mendirikan rumah tangga dan membesarkan anak-anak, saya tidaklah meninggalkan bidang seni sepenuhnya memandangkan saya selalu mendapat tawaran berlakon iklan.
Adakah anda tidak mendapat sebarang tawaran berlakon dalam drama atau filem?
Tawaran itu memang ada dan saya pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam beberapa buah drama dan filem, tetapi ada juga tawaran yang terpaksa saya tolak. Sebenarnya saya ini bukanlah terlalu jenis yang memilih watak dan tidak kisah sekiranya diberikan peranan cameo. Cuma, kebanyakan tawaran yang diterima itu bayarannya langsung tidak berpatutan kerana terlalu rendah.
Apakah yang membuatkan anda ingin kembali aktif berlakon sekarang?
Memandangkan kesemua anak-anak saya sudah semakin membesar, sudah tiba masanya untuk saya aktif semula. Sebelum ini agak sukar untuk selalu berlakon kerana perlu menjaga anak-anak memandangkan kami tidak menggunakan khidmat pembantu rumah.
Adakah suami tidak menghalang keputusan yang dibuat ini?
Sudah tentu suami menyokong keinginan saya yang ingin aktif berlakon kerana dia juga merupakan seorang pelakon, asalkan saya perlu menjaga batas-batas sebagai seorang isteri dan ibu. Kini, kami hanya perlu mengaturkan jadual supaya tumpuan terhadap anak-anak tidak terabai. Misalnya, kami akan pastikan jadual lakonan tidak bertembung sesama sendiri supaya ada yang menjaga rumah dan anak-anak sekiranya salah seorang daripada kami menjalani penggambaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: