|
SELAMA 33 tahun terlibat secara aktif bersama Koperasi Koguma Berhad (Koguma), nama Zulkifli Jamaludin cukup sinonim dengan pertubuhan tersebut. Sejak ditubuhkan pada 4 Januari 1980, Zulkifli merupakan antara individu terawal yang mencorak kejayaan Koguma.
Bermula sebagai ahli biasa, setahun kemudian Zulkifli atau lebih mesra dipanggil Cikgu Zul dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi manakala pada tahun 1983, beliau menerima tanggungjawab untuk bergelar Setiausaha.
Hingga kini, pada usia mencecah 70 tahun, beliau masih setia dengan Koguma. Seperti tuturnya: "Saya tua bersama Koguma."
Menurut anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu, sejak tiga dekad lalu, Koguma telah memainkan peranan penting dalam membantu ahli-ahli menguruskan kehidupan mereka terutama dalam aspek pinjaman kewangan.
"Penubuhan Koguma sebenarnya bertujuan untuk membeli sebuah bangunan sebagai aset di Kompleks Uda Rama, Kuala Lumpur yang bernilai antara RM60,000 hingga RM70,000.
"Di samping itu, ia juga bermatlamat mewujudkan koperasi serbaguna seperti memberi pinjaman kewangan pada ahli, membantu urusan jual beli tanah dan sebagainya. Setakat ini, Koguma mempunyai kira-kira 4,000 ahli," jelasnya dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penyertaan ahli terbuka
Menurut beliau, pada asalnya keahlian Koguma hanya dibuka pada kakitangan di bawah Kementerian Pelajaran, namun sejajar peredaran masa polisi itu telah dimansuhkan. Kini, keahlian Koguma terbuka kepada semua kakitangan kerajaan dan bukan terhad pada guru semata-mata.
Bekas Penolong Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan itu memberitahu, Koguma juga semakin mengorak langkah mengukuhkan kewujudan mereka dalam bidang perniagaan.
Di atas saranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Koguma mula meneroka bidang baharu iaitu jual beli atau perniagaan.
"Kami berjaya mewujudkan pajak gadai Islam Ar-Rahnu yang beroperasi sejak April 2012. Ia bersifat dua dalam satu. Justeru, semua kakitangan Koguma tahu mengenai Ar-Rahnu.
"Mereka diberi bimbingan dan kursus insentif dalam mengendalikan operasi pajak gadai Islam ini. Contohnya mengenal pasti emas tulen atau palsu, menimbang emas, keselamatan di bilik kebal dan sebagainya," terang Zulkifli.
Ironinya, semua pekerja walaupun sekadar kerani tetap diberi tunjuk ajar tentang Ar-Rahnu dalam usaha meningkatkan kemampuan diri masing-masing.
Sejak November 2012 lalu, Koguma turut menjalin kerjasama dengan syarikat N-Hance Beauty & Health Sdn. Bhd. (N-Hance) untuk memasarkan produk berupa barangan keperluan pengguna.
Pengasas N-Hance, Datuk Zainah @ Ayu Darus, 49, memberitahu, pihaknya sangat berbesar hati apabila berpeluang berkolaborasi dengan
|
Koguma yang dianggap sebagai salah sebuah badan koperasi yang berjaya di Malaysia.
"Secara peribadi, saya nampak Koguma mempunyai wawasan yang tinggi untuk menjana ekonomi setiap ahlinya. Saya juga gembira berkongsi pengalaman perniagaan dan bertukar-tukar pendapat dengan mereka," ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran N-Hance, Ahmad Nurbi Mohamad Nor, 47, berkata syarikatnya mempunyai pengalaman selama dua dekad dalam dunia perniagaan.
"Justeru, kerjasama ini satu perkara yang amat baik dan mampu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak," tuturnya.
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Koguma, Zainal Ahmad, 52, turut berkongsi pengalaman sepanjang 26 tahun menjadi ahli koperasi tersebut.
Jasa Koguma
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, Kuala Lumpur itu mengakui banyak jasa Koguma kepadanya. Beliau membuat pinjaman ketika hendak berkahwin dan membeli perabot.
"Malah, apabila mahu membeli rumah, bayaran deposit sepuluh peratus juga saya gunakan bantuan Koguma. Bagi saya, dalam bab duit, untuk meminjam daripada saudara atau rakan-rakan memang susah.
"Jadi, ia merupakan satu faedah yang amat besar kepada ahli terutama apabila berlakunya kecemasan dalam aspek kewangan," cerita Zainal.
Menyedari hakikat itu, Zainal sentiasa menggalakkan guru-guru di sekolahnya mendaftar sebagai ahli Koguma sebagai persediaan kewangan masa hadapan.
Tambahnya, terdapat pelbagai bantuan disalurkan Koguma kepada setiap anggotanya. Ini termasuklah tabung kebajikan am, khairat kematian, bencana alam, pendidikan, pelancongan dan banyak lagi.
Perkara ini diakui oleh Anggota Lembaga Koguma, Md. Nasir Omar, 47, yang mula menyertai koperasi ini sejak tahun 1990 akibat kesempitan wang sewaktu menetap di Johor.
"Dahulu, gaji guru kecil dan saya sering dilanda masalah kewangan. Hendak beli kereta pun tak mampu. Akhirnya, saya mendaftar sebagai ahli dan berjaya mendapatkan pinjaman untuk membayar wang pendahuluan membeli kereta pertama dalam tempoh yang singkat," imbau Md. Nasir.
Ujarnya, jika membuat pinjaman dengan bank, kadar faedahnya tinggi, tetapi melalui pinjaman koperasi, kita dapat meningkatkan tabungan dan akan dipulangkan kembali kepada ahlinya kelak. Menurut beliau, jaminan Koguma sebagai koperasi cukup kukuh.
Jika seseorang ahli ingin berhenti, mereka boleh mengeluarkan simpanan atau tabungan dalam koperasi.
"Bagi ahli yang aktif, selepas bersara, mereka mampu mendapatkan pulangan sekurang-kurangnya RM30,000. Jadi, keputusan di tangan ahli sama ada ingin menjadi ahli yang aktif atau sebaliknya," tutur Md. Nasir.
Pengurusan cemerlang
Guru Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Jeram, Selangor, Tuhaimi Zamzam, 54, menceritakan faedah yang diperoleh dengan menyertai Koguma sejak lebih tiga dekad lalu.
Beliau mengakui pengurusan dan pentadbiran Koguma sangat cemerlang sehingga dapat membantu dan memberi manfaat pada ramai ahli.
"Pajak gadai Islam Ar-Rahnu contohnya, satu inisiatif yang baik. Dahulu, saya sering membuat skim pinjaman pembelian barang-barang elektrik, sekarang pakej melancong dan menunaikan umrah serta ubah suai rumah juga disediakan. Senang cerita, serba-serbi ada," ungkap Tuhaimi yang datang untuk bertanya tentang nilai emas yang ingin digadai.
Sementara itu, Prof. Dr. Laily Paim dari Universiti Putra Malaysia berkata, setiap koperasi yang ditubuhkan biasanya bertujuan untuk memberi kebaikan dan manfaat kepada setiap ahlinya.
Sebagai contoh, harga jualan barangan di koperasi tertentu yang menyediakan kedai runcit sudah tentu akan menawarkan harga yang lebih murah kepada ahlinya berbanding harga pasaran.
"Situasi sedemikian dapat membantu ahli-ahli berjimat sewaktu berbelanja. Ini merupakan salah satu keperluan asas yang biasa dilakukan oleh mana-mana koperasi yang baru ditubuhkan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut beliau, kewujudan pelbagai koperasi di Malaysia menunjukkan bahawa industri ini telah berkembang pesat sekali gus mampu menjana ekonomi negara jika ia bersifat aktif.
"Keaktifan sesebuah koperasi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan penubuhannya. Selain itu, pihak pengurusan koperasi perlu memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan pencapaian mereka.
"Jika koperasi itu berjaya, sudah pasti ahli-ahlinya akan turut mendapat manfaat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan masing-masing," tegas beliau yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea).
Dalam pada itu, Laily menegaskan bahawa setiap ahli juga seharusnya memainkan peranan dalam menyuarakan pendapat mereka jika pihak pengurusan sesebuah koperasi tidak menjalankan tugas dengan baik.
"Setiap ahli perlu sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk bersuara jika berlakunya penyelewengan atau penipuan dalam pengurusan sesebuah koperasi. Malah, mereka juga boleh memberi pendapat atau cadangan bagi memajukan koperasi tersebut," tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: