Tuesday, July 2, 2013
Konflik lombong Conga
EMPAT dekad lalu, para petani di pedalaman Peru bersatu membentuk kumpulan ronderos bagi mengawasi kes-kes kecurian lembu.
Kini, tugas skuad ronderos itu berganti misi. Mereka dalam usaha menghalang pelan projek perlombongan emas bernilai AS$5 bilion (RM15.79 bilion) milik syarikat perlombongan Amerika Syarikat (AS). Rancangan itu dikhuatiri menjejaskan tasik-tasik yang menjadi sumber terpenting penduduk di sekitar Pergunungan Andes.
Berdasarkan polisi Andes, skuad berkenaan bertindak sebagai sistem kehakiman de facto di kawasan-kawasan yang mengalami kelemahan institusi awam dan kurang pengawasan pihak polis.
Mereka telah menjadi penggerak politik terpenting di wilayah-wilayah terpencil yang memperjuangkan pemeliharaan sumber-sumber alam semula jadi, sekali gus memberi tekanan kepada pemerintahan pusat.
Tahun lalu di utara daerah Cajamarca, ronderos berjaya melengahkan permohonan perlombongan emas Conga milik syarikat berpangkalan di AS, Newmont Mining Corp. dengan bantuan protes besar-besaran penduduk kampung di sekitar Andes.
Lombong termahal
Hari ini, kumpulan itu kembali memberi tekanan kepada Presiden Peru, Ollanta Humala bagi membatalkan projek yang telah mendapat permit sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Sejak berkhidmat dua tahun lalu, Humala menyokong penuh projek Conga yang berpotensi menjadi lombong termahal dalam sejarah Peru. Pergolakan itu telah memporak-perandakan pemerintahan beliau. Humala merombak barisan kabinetnya sebanyak dua kali selepas beberapa bantahan keganasan berlaku.
Rombakan pertama bertujuan memecah-belahkan penentang Conga dan kali kedua untuk menganjurkan dialog selepas lima orang awam mati.
"Pemerintah tidak akan mewakili rakyat lagi. Namun kami sangat kuat dan akan menentang sehingga ke hujung nyawa," luah Cesar Angel, ahli skuad ronderos ketika ditemui pada perhimpunan bantahan yang diadakan berhampiran Tasik Perol iaitu salah satu tasik Andes yang akan ditukar menjadi lombong.
Perhimpunan tersebut merupakan yang terbesar sejak Newmont dan sekutu Peru mereka, Buenaventura menangguhkan pembinaan lombong itu hampir setahun yang lalu. Ketika itu, kedua-dua syarikat itu cuba meredakan tekanan dengan memulakan kerja-kerja di kawasan takungan besar bagi meyakinkan kelangsungan bekalan air kepada penduduk setempat.
Syarikat-syarikat itu merancang untuk memindahkan air dari tasik-tasik yang terlibat ke empat takungan yang dikatakan mampu menghentikan masalah kekurangan bekalan air pada musim tertentu. Pada masa yang sama, meyakinkan bekalan berterusan sepanjang tahun kepada para penduduk dan petani.
Khazanah emas
Bagaimanapun kebanyakan petani yang memiliki ladang dan ternakan berhampiran lombong itu masih bimbang projek itu akan mengurangkan bekalan air dan mencemarkan tasik serta sungai meskipun ia didatangkan dengan pelan pemulihan alam sekitar jangka panjang.
Conga yang menyimpan khazanah emas berjumlah 184.27 juta gram dan 771 bilion gram tembaga secara tidak langsung akan memanjangkan hayat dua syarikat yang terletak di lombong emas Yanacocha itu.
Ronderos menggelarkan diri mereka sebagai penjaga tasik-tasik di sekitar Andes. Mereka berkhemah di luar Tasik Perol bagi mengelakkan Newmont memindahkan air tasik ke takungan baharu dan mematahkan cubaan baharu pembinaan lombong tersebut.
"Skuad yang terdiri daripada petani itu dahulunya bimbang tentang jenayah remeh seperti kecurian lembu tetapi kini mereka mempertahankan tanah dan sumber air kami daripada syarikat multinasional," ujar Milton Sanchez, seorang aktivis yang sering berurusan dengan ronderos.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: