|
PINGAT perak Sukan Olimpik 2012 sudah pasti berada dalam genggaman Datuk Lee Chong Wei selepas kejayaan melangkah ke final acara badminton perseorangan lelaki yang berlangsung di Arena Wembley, London semalam.
Laluannya ke final diperoleh selepas meraih kemenangan straight set 21-13, 21-14 ke atas Chen Long dari China pada perlawanan separuh akhir semalam.
Hanya 51 minit diperlukan oleh Chong Wei untuk menjinakkan Chen Long pada perlawanan tersebut yang menyaksikannya tampil dengan rentak permainannya yang sebenar.
Apa yang dirancangnya pada perlawanan tersebut semuanya menjadi iaitu untuk menjarakkan kedudukan mata daripada lawannya itu yang sememangnya terkenal dengan corak permainan pantas dan agresif.
Pada set pertama, ketika Chong Wei sudah selesa mendahului 7-0, ia sudah mematikan rentak permainan Chen Long yang selepas itu berterusan melakukan kesilapan sekali gus memberi mata mudah kepada jaguh perseorangan negara itu.
"Hari ini (semalam) saya hanya fikirkan untuk menamatkan saingan dia (Chen Long) pada temasya ini. Saya anggap ini sebagai perlawanan terakhir dan saya tampil memberikan yang terbaik.
"Perancangan saya berkesan dan saya pun tidak sangka boleh beraksi dengan baik hari ini (semalam)," kata Chong Wei.
Menurutnya, 11 mata pertama pada perlawanan tersebut sangat penting dan dia berjaya melakukan seperti apa yang di rancang oleh jurulatih sebelum perlawanan tersebut bermula.
"Sebelas mata pertama penting kerana ia akan mematikan rentak Chen Long.
"Bukan mudah untuk menjinakkan dia (Chen Long) kerana dia seorang pemain yang agak tenang. Saya cuba untuk bermain secara lebih tenang untuk mengawal permainan dan taktik tersebut cukup efektif. Saya berjaya mematikan fokusnya sejak set pertama lagi," katanya.
Menanti Chong Wei di final ialah seteru utamanya dari China, Lin Dan yang menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-il 21-12, 21-10 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Aksi final antara Chong Wei dan Lin Dan akan berlangsung malam esok.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: