KUALA LUMPUR – Seorang suspek kes samun yang baru dilanjutkan reman enam hari di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini semalam ditembak mati selepas lelaki itu cuba menyerang polis menggunakan parang selepas dia berjaya melarikan diri daripada tahanan polis.
Sebelum kejadian pada pukul 3 petang, suspek warga tempatan berumur 26 tahun itu berjaya melarikan diri sewaktu dia dan beberapa suspek lain sedang beratur bersama lapan tahanan lain untuk masuk ke dalam kenderaan polis untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
“Namun, ketika beratur, suspek tiba-tiba menghilangkan diri sebelum polis menyedari kehilangannya dan terus melancarkan gerakan mencari,” kata satu sumber.
Sebaik melarikan diri, suspek yang juga berjaya membuka garinya terus memecah masuk ke dalam sebuah stor milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang terletak bersebelahan mahkamah.
Suspek kemudian masuk ke stor tersebut dan menukar pakaian lokap dengan memakai pakaian seorang kontraktor Syabas yang ditemui di dalam stor.
Suspek turut mengambil sebilah parang di dalam stor itu dan melarikan diri ke Loji Air Puncak Templer.
Kedudukan Loji Air Puncak Templer kira-kira satu kilometer dari mahkamah.
Sumber itu berkata, setengah jam selepas gerakan mencari, polis berjaya mengesan suspek berada di Loji Air Puncak Templer, namun suspek enggan menyerah diri sebaliknya cuba menyerang polis menggunakan parang.
Selepas beberapa kali dipujuk tetapi suspek terus agresif menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan sehingga menyebabkan lelaki itu mati di tempat kejadian.
Mayat suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: