|
"SAYA mahu hidup lama dan melihat kedua-dua anak saya membesar dengan sempurna!" tegas pelakon Colin Farrell mengenai matlamat hidupnya terkini.
Ketika ditemu ramah oleh media antarabangsa baru-baru ini, pelakon kelahiran Dublin, Ireland itu menilai kehidupannya sebagai seorang bapa kepada dua orang cahaya mata James Padraig, 9, dan Henry Tadeusz, 2, adalah sebab untuk perubahan dramatiknya itu.
Sebelum ini Farrell, 36, pernah dimasukkan ke pusat rehabilitasi akibat penyalahgunaan dadah iaitu ubat penahan sakit selepas terlibat dengan kecederaan tulang belakang sekitar tahun 2005.
Menutup kisah silam yang disifatkannya liar, dia kini menikmati detik indah dan gaya hidup sihat bersama dua orang anaknya.
|
|
"James membenarkan saya menjaga sesuatu yang sangat penting dalam dunia ini pada ketika saya tidak mampu menjaga diri saya sendiri. James penyelamat saya," jelasnya.
Faktanya, anak sulung Farrell itu menghidap sindrom Angelman yang merupakan sejenis penyakit genetik. James dilahirkan hasil perkongsian hidup Farrell bersama model Amerika Syarikat, Kim Bordenav yang berpisah pada tahun 2003.
Henry pula dilahirkan ketika Farrell menjalinkan hubungan bersama pelakon Alicja Bachleda-Curus sekitar tahun 2009 dan pasangan itu juga berpisah selepas Henry berusia setahun.
"Saya tidak meletakkan kudrat yang serupa seperti kehidupan lampau untuk kehidupan sekarang sebaliknya corak penjagaan kesihatan saya kini telah berubah.
"Kalau dulu saya menghabiskan banyak tenaga untuk 'memusnahkan' tubuh badan saya dan jika masih melakukan perkara sama saya akan jatuh sakit. Asasnya saya makan makanan seimbang, minum banyak teh hijau dan mengambil vitamin," dedahnya mengenai rejim penjagaan kesihatan dirinya.
Sementara itu, untuk memperoleh bentuk badan sempurna demi menjayakan filem terbaharunya, Total Recall, dia berjoging sejauh tiga kilometer sehari selama enam kali seminggu sebelum tiga bulan penggambaran.
"Saya kini menjadi seseorang yang beberapa tahun sebelum ini tidak pernah berlari walau satu kilometer pun," katanya yang kini lebih tenang dan banyak menghabiskan masa bersama anak-anaknya itu.
Filem bikinan semula
Sebelum tumpas dalam kehidupan akibat bahana dadah, Farrell pernah menampilkan aksi bertenaga menerusi filem pecah panggung, Minority Report (2002). Dia mengakui haluan berliku yang dipilih banyak merugikan dirinya sendiri.
"Saya telah memusnahkan jambatan-jambatan dalam industri filem yang sebenarnya banyak menyediakan peluang untuk periuk nasi saya sebelum ini, memang ada penyesalan tapi saya pasrah dengan rentetan hidup saya akibat kesilapan lampau," getusnya.
Begitu pun, dia masih bersyukur kerana diberikan tawaran membintangi sebuah filem yang dibikin semula berdasarkan naskhah yang ditayangkan pada tahun 1990 dengan judul yang sama, lakonan aktor pujaannya, Arnold Schwarzenegger.
Bercerita dengan lebih lanjut berhubung filem itu, pelakon yang masih dihujani banyak tawaran berlakon itu menyatakan Total Recall berbeza daripada filem asal dari segi penyampaian dan pengolahannya.
"Saya rasa tidak perlu untuk saya memakai saiz kasut yang sama seperti Arnie (Arnold Schwarzenegger) untuk mengambil alih wataknya. Filem itu berbeza mengikut gaya dan cara saya," tegasnya.
Filem itu memulakan tayangan seluruh Malaysia pada 2 Ogos lalu dan diarahkan oleh Len Wiseman yang merupakan pengarah siri filem Underworld.
Ciuman
Farrell mendedahkan adegan bercium dengan Kate Beckinsale merupakan bahagian yang paling canggung sepanjang membintangi filem Total Recall memandangkan suami Beckinsale yang juga pengarah filem itu sentiasa berada di hadapannya.
"Momen itu sangat kelakar! Babak yang paling canggung dan menggelikan hati ketika saya bercium dengan Beckinsale sambil diperhatikan suaminya di monitor. Salah satu perkara paling tidak menyelesakan yang pernah saya lakukan sepanjang 15 tahun bergelar pelakon," tuturnya.
Selain adegan janggal dan kurang selesa itu, Farrell mengakui penggambaran babak aksi bersama Beckinsale turut menyeronokkan sehinggakan pada akhir penggambaran dia sudah boleh membaca gerak-geri pelakon wanita itu begitu jua sebaliknya.
"Babak berlawan dengan Beckinsale sangat menyeronokkan. Kami memperoleh bentuk pergerakan yang luar biasa dan dikoreografikan sehingga ke hujung penggambaran.
"Jadi, saya tahu pergerakannya dan dia tahu pergerakan saya. Alang-alang sepanjang berlatih, saya dapat bercuti sekali ke Toronto sebulan sebelum mula penggambaran.
"Secara keseluruhannya filem ini menguji fizikal saya dan saya menantikan tawaran sedemikian untuk filem akan datang," ungkapnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: