Saturday, August 4, 2012

Laksa tarikan Pulau Legenda



SIAPA sangka, bintang terkenal Hollywood yang juga pengarah filem, Mel Gibson pernah menyatakan antara makanan kegemarannya ialah laksa.

Laksa ialah sejenis makanan mi daripada tepung beras dan berkuah. Hidangan itu sungguh unik kerana terdapat unsur campuran budaya Cina dan Melayu dalam bahan-bahannya. Ada dua jenis laksa yang popular iaitu laksa kuah kari atau laksa kuah asam.

Dihidangkan panas, laksa ialah antara hidangan wajib bagi mereka yang berkunjung ke negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Di negeri-negeri itu, laksa asam begitu popular. Di Johor pula, terdapat laksa Johor yang menggantikan mi dengan spageti manakala kuahnya merupakan kari bersantan.

Di negeri Pantai Timur pula terutama Kelantan, ia dikenali sebagai laksam. Kuahnya dibuat menggunakan santan putih dan ditambah cili untuk menambahkan rasa pedas. Sementara itu di Sarawak, kuahnya lebih berempah dan menggunakan mihun sebagai ganti laksa tepung beras.

Walau apapun jenis laksa, asas kuahnya adalah menggunakan isi ikan.

Keenakannya yang tiada tandingan telah melebarkan populariti makanan tempatan itu. Bukan sekadar di kampung dan kedai kaki lima, ia turut menjadi hidangan utama di hotel bertaraf lima bintang.

Baru-baru ini Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menganjurkan Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi (Lilac) selama tiga hari bermula 25 Mei, sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.


PARA peniaga sedang sibuk menyediakan hidangan laksa yang dipesan pelanggan di gerai masing-masing.


Selain tarikan lokasi dan kebudayaan yang istimewa, makanan tempatan juga berpotensi besar mencuri perhatian pelancong. Ini berdasarkan laporan, sektor makanan dan minuman di Malaysia menyumbang 17.2 peratus kepada pendapatan industri pelancongan tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata industri pelancongan menjana pendapatan lebih RM1 bilion setiap minggu dengan 17.2 peratus daripadanya dibelanjakan untuk makanan pada tahun lepas.

Atas faktor itu, kementerian menganjurkan pelbagai karnival makanan seperti Fabulous Food 1Malaysia (FF1M), sebagai platform mempromosi keistimewaan makanan tempatan kepada pelancong.

Namun, kebiasaannya karnival makanan yang diadakan menggabungkan pelbagai masakan tradisional negara ini seperti rendang, kuih-muih, lemang dan sate.

Berlainan pula dengan Lilac, tumpuan khusus diberikan kepada laksa tanpa adanya gabungan makanan tempatan lain.

Identiti negeri

Boleh dikatakan hampir setiap negeri mempunyai laksa yang tersendiri yang membuatkannya bertambah eksotik. Selain itu, kaedah memasak laksa juga pelbagai bagi menghasilkan keunikan rasa masing-masing.

Penganjuran julung-julung kali diadakan itu disertai sekumpulan penyedia laksa yang menyajikan laksa Johor, laksa Pahang, asam laksa Pulau Pinang, laksa Thailand, laksa Perlis, laksam (Kelantan), laksa Sarawak dan laksa Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli berkata, karnival seperti Lilac bukan sahaja memberi nilai tambah kepada Langkawi malah menjadi platform dalam mengiktiraf makanan tradisional atau tempatan di mata dunia.

“Lada akan meneruskan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dalam mempromosi Langkawi menerusi makanan tradisional yang menjadi kegemaran pelancong.

“Saya amat berpuas hati dengan sambutan Lilac. Saya melihat ramai pelancong luar terutamanya sudah berada di tapak karnival sejak pagi. Ada pelancong dari Eropah yang makan hingga lima jenis laksa,” katanya.


GERAI laksa Kelantan juga boleh ditemui di Langkawi kini bagi memberi peluang kepada pelancong dari seluruh pelusuk negara merasai keistimewaan rasanya.


Biarpun penganjurannya dilihat sebagai satu langkah positif, namun ramai juga yang keliru dengan maksud atau nilai antarabangsanya.

Menjelaskan perkara itu, Khalid berkata, skop antarabangsa bukan hanya dilihat dari mana datangnya makanan itu, namun ia berlandaskan kepada konteks penyediaan laksa.

Tambahnya, laksa disesuaikan mengikut cita rasa dan standard antarabangsa. Biarpun begitu, rasa asal dan bahan asas dalam penyediaan laksa akan tetap dikekalkan.

“Apabila saya beritahu pelakon Mel Gibson menyukai laksa, ia adalah bercitarasakan antarabangsa. Selain itu, karnival ini juga turut menjemput chef antarabangsa untuk bersama chef selebriti tempatan mengendalikan kelas masakan laksa.

“Ini memberi peluang kepada pengunjung mempelajari cara penyediaan hidangan laksa,” katanya.

Dihoskan oleh Chef Redzuawan Ismail atau Chef Wan, karnival yang berlangsung selama tiga hari di Laman Padi itu berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung domestik dan luar negara.

Pengisian karnival

Karnival itu bukan sahaja mempamerkan jualan pelbagai jenis laksa, malah pertandingan membuat laksa, pertandingan masakan antara sekolah dan pertandingan makan laksa turut diadakan.

Bagi pemandu pelancong, Adrian Tan, platform sedemikian bukan sahaja memperkenalkan pelbagai jenis laksa di Malaysia kepada pelancong luar, malah pengunjung tempatan yang jarang sekali dapat merasai pelbagai jenis laksa mengikut negeri di Malaysia.

“Hari ini baru saya tahu laksa Johor menggunakan spageti. Sebelum ini, saya sangkakan laksa Johor seperti biasa sahaja. Selain itu, banyak lagi jenis laksa yang tidak pernah saya cuba sebelum ini dapat dirasai di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: