Saturday, August 4, 2012

Penginapan ala Mediterranean


RUANG dalaman dan tata hias perabot yang ringkas namun tetap menjanjikan keselesaan maksimum kepada pengunjung.


BAYANGKAN anda berada di tepi pantai yang memutih sambil dikelilingi pokok-pokok kelapa yang melambai. Sambil bersantai, tubuh disapa siliran udara laut yang menyegarkan.

Impian percutian sebegitu boleh dinikmati sekiranya berkunjung ke Residence Desa Lagoon Resort.

Terletak di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson, resort itu menjanjikan pengalaman percutian yang bakal terakam dalam ingatan.

Sebaik melangkah ke pekarangannya, pengunjung disambut dengan pokok-pokok kelapa yang menghiasi landskapnya. Pada mulanya terasa seperti resort tropika biasa, namun perasaan itu berubah seumpama berada di sebuah perkampungan Mediterranean. Mood itu nyata disumbangkan suasana reka bentuk vila yang memukau pandangan.

Secara keseluruhan terdapat 35 penginapan jenis vila yang ditawarkan di santuari pesisiran pantai ini. Pengunjung boleh memilih untuk menginap Vila Superior (18 unit) atau Vila Deluxe (17 unit).


JIKA berkesempatan, ambil peluang membelai tubuh di Ledang Spa.


Berkonsepkan resort keluarga, semua vila mempunyai bilik tidur, ruang tamu yang luas, ruang dapur dan ruang makan.

Tambah menarik, penginap bakal disajikan dengan keindahan panorama Laut Selat Melaka yang mengasyikkan. Keterujaan itu juga dapat dirasai saat menghayati pemandangan taman dan kolam renang dari pintu atau balkoni masing-masing.

Menggabungkan rekaan kontemporari, setiap bilik tampak elegan dengan gabungan ton warna bumi pada dinding dengan ton warna lembut perabot yang direka khas secara eksklusif.

Sajian antarabangsa


RESIDENCE Desa Lagoon Resort juga menawarkan kemudahan untuk acara seminar dan mesyuarat.


Jika mahu menikmati sajian tempatan dan antarabangsa yang lazat dan menyelerakan, atur saja langkah ke Laguna Cafe.

Terletak bersebelahan lobi dan ruang legar utama, ia menawarkan sajian tempatan dan antarabangsa yang dihindangkan secara bufet atau ala carte.

Dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 11 malam ia mempunyai dua ruang makan iaitu berhawa dingin dan terbuka.

Bagi yang datang secara berkumpulan, Laguna Cafe juga menyediakan tempahan untuk sajian barbeku, stimbot atau tempahan bertema untuk majlis keraian atau korporat.

Pengunjung juga berpeluang menggunakan pelbagai kemudahan riadah yang disediakan. Antaranya, kolam renang, gimnasium, gelanggang bola tampar pantai, gelanggang tenis serta bilik karaoke.

Selepas seharian beriadah, badan pasti berasa letih. Untuk itu, susun sahaja langkah ke Ledang Spa yang menawarkan rawatan tubuh dari hujung rambut ke hujung kaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: