Saturday, August 4, 2012

Gamitan Pulai Desaru


BILIK jenis Standard Superior begitu selesa dalam rekaan moden kontemporari.


JALAN-JALAN makan angin bersama keluarga atau rakan-rakan di pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor sentiasa memberikan pengalaman percutian yang menyeronokkan bagi tetamunya.

Tambahan pula, jika dahulu perjalanan mencecah masa dua jam dari bandar raya Johor Bahru, kini masa perjalanan tidak sampai sejam menggunakan Lebuh Raya Senai-Desaru.

Nama Desaru diambil sempena pokok ru yang banyak tumbuh meliar di tepi pantai di situ. Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) membuka Desaru sekitar tahun 1970-an.

Lokasi istimewa itu mempunyai pantai yang memutih dan menjadi destinasi percutian popular dalam kalangan pelancong Singapura terutamanya pada hujung minggu.

Seiring dengan reputasi tumpuan percutian, lokasi penginapandan tempat menjamu selera juga wujud silih berganti sejak lima dekad lalu untuk menyahut keperluan persinggahan serta selera pengunjung.

Setibanya di Desaru, regangkan dulu anggota tubuh dengan berjalan-jalan di tepi pantai yang berlatarbelakangkan Laut China Selatan.

Sambil disambut hembusan angin yang menyegarkan tubuh, bunyi deruan ombak yang memecah pantai mampu merungkai segala kekusutan fikiran. Perasaan turut terhibur apabila melihat keletah kanak-kanak yang seronok bermain di atas pasir pantainya.

Jika bernasib baik, anda juga dapat menyaksikan aksi menarik kumpulan pemuda yang mencabar ombak di atas papan luncur.

Naik taraf

Pulai Desaru Beach Resort & Spa, Johor di Desaru menawarkan penginapan yang selesa kepada para tetamu.

Resort yang telah siap dinaik taraf membabitkan kos RM10 juta kini mempunyai 210 buah bilik yang menggabungkan rekaan kontemporari, seni bina yang elegan bersama sentuhan artistik moden dan unik.

Jenis-jenis bilik yang ditawarkan merangkumi jenis Standard, Standard Superior, Superior dan Deluxe. Bagi pasangan yang ingin berbulan madu, bilik-bilik yang dihiasi warna-warna terang dan susun atur perabot yang menarik memberikan satu kenangan yang istimewa.

Bagi yang datang bersama ahli keluarga, Loft Room dan Junior Suite merupakan pilihan yang terbaik.

Kesemua bilik yang ditawarkan pada kadar bermula dari RM280 dan ke atas itu lengkap dengan sarapan pagi untuk dua orang di Restoran Palm Brasserie.

Sementara menunggu urusan daftar masuk di bahagian lobi utama, pengunjung pasti tidak melepaskan peluang beristirehat atau mencuri sedikit masa menikmati keindahan suasana pantai berhampiran resort itu.

Jika perut sudah berbunyi tanda kelaparan, Restoran Palm Braserrie sentiasa bersedia menghidangkan juadah berbentuk ala carte atau bufet.

Bukan itu sahaja, pengunjung boleh memilih pelbagai menu masakan tempatan ala kampung atau hidangan Barat.

Tidak dilupakan juga, penggemar makanan Jepun boleh menjamu selera di Restoran Teppan yang merupakan satu-satunya restoran Jepun di kawasan percutian berkenaan.

Lebih menarik, pengunjung boleh menyaksikan chef memasak Teppanyaki secara langsung di depan anda.

Sesi bersantai

Di kolam renang pula, terdapat Lobby Bar dan Coco Bar yang membolehkan anda bersantai sambil menikmati minuman.

Setelah puas bersantai, bagi penggemar persembahan band live, boleh berkunjung ke Pulai Lounge untuk menyaksikan persembahan kumpulan muzik secara langsung sambil menikmati moktel yang dihidangkan.

Bagi yang mahu memanfaatkan kesempatan percutian dengan membelai tubuh dan melaras keseimbangan dalam diri, mereka boleh mencuba rawatan spa yang disediakan.

The Pulai Spa yang menawarkan set spa lengkap bersama bilik rawatan yang berkonsepkan Bali Spa di samping menggunakan produk-produk yang berkualiti tinggi.

Bagi ibu bapa, sambil memanjakan diri di spa berkenaan, anak-anak pula boleh berkunjung ke bilik Kid's Club yang direka khas untuk mereka.

Jabatan Rekreasi & Sukan di resort berkenaan juga bersedia memenuhi impian anda melakukan aktiviti seperti sukan air, jet ski, bot pisang, tenis, berbasikal, bola tampar, bola sepak pantai dan lain-lain permainan pantai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: