AKTIVITI berbasikal bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan masyarakat kita terutama generasi muda hari ini.
Kawasan-kawasan tumpuan seperti Putrajaya dan sekitar ibu kota menjadi trek laluan kepada kumpulan berbasikal di setiap hujung minggu.
Malah, kumpulan berbasikal ini ada yang sanggup mengayuh jauh ke luar ibu kota seperti ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
Mengungkap keseronokan aktiviti berbasikal ini, .com baru-baru ini berpeluang berbasikal bersama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen mengelilingi bandar Raub, Pahang sejauh 11 kilometer (km).
Laluan berbasikal itu bermula dari Taman Tasik Raub-Jalan Lipis-sekitar Kampung Baharu- Sempalit Hilir-sekitar bandar Raub dan masuk semula ke Taman Tasik Raub.
Minda penulis membayangkan remaja yang datang untuk aktiviti berbasikal ini dengan keadaan yang santai sahaja.
Namun, jangkaan penulis meleset kerana setibanya di lokasi permulaan kayuhan, remaja yang datang lengkap dengan kelengkapan keselamatan berbasikal.
Masing-masing kelihatan begitu bersemangat untuk memulakan kayuhan. Kanan-kanak juga tidak terkecuali dengan gaya mereka yang jelas teruja dengan basikal masing-masing.
Seramai 300 penunggang menyertai aktiviti berbasikal yang bermula pukul 7.30 pagi.
Suasana hening dan damai di Taman Tasik Raub bertukar riuh dengan keletah pelbagai bangsa yang menyertai aktiviti berbasikal itu.
Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri peluang berkayuh bersama dalam kelompok yang besar.
Aktiviti kami bermula dengan pelepasan kayuhan beramai-ramai. Corak kayuhan kami juga tidak laju dan lebih santai.
Agak seronok juga dapat berbasikal beramai-ramai kerana sambil berbasikal, kami juga dapat menikmati keindahan bandar Raub, Pahang.
Sepanjang laluan, banyak mata yang melihat kumpulan besar yang berkayuh seolah-olah berbasikal menjadi fenomena baru di Raub.
Penulis memilih untuk berada di kelompok hadapan bersama remaja yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Penat? Memang penat sebab sudah lama tidak mengayuh basikal. Tapi mahu tidak mahu, terpaksa juga mengayuh untuk kekal berada di kelompok hadapan.
Lapan km pertama laluan, kami berhenti seketika untuk minum-minum sambil merehatkan diri.
Turun sahaja dari basikal, kaki penulis terketar seketika kerana sudah lama tidak berbasikal. Tambahan pula, kayuhan kali dilakukan tanpa henti.
Kayuhan disambung semula selepas 10 minit berehat. Kali ini penulis memilih untuk berada di kelompok belakang pula.
Laluan bertukar corak dari bahu jalan raya ke kawasan taman perumahan.
Laluan sedikit sukar kerana terpaksa mendaki dalam kelompok yang besar dan rapat antara satu sama lain.
Sepanjang laluan itu, penulis terlihat seorang perempuan Melayu berniaga nasi lemak di hadapan sebuah restoran Cina. Ini menunjukkan sikap perpaduan yang sangat utuh di kalangan masayarakat kita.
Menjengah ke kayuhan terakhir, penulis melihat peserta cilik begitu laju mahu menamatkan kayuhan, bersaing antara satu sama lain mahu jadi yang pertama ke garisan penamat.
Ada antara mereka yang menjerit-jerit mahu menjadi seperti pelumba basikal negara, Azizul Hasni Awang.
Tidak ada seorang remaja pun yang mengadu kepenatan. Sebaliknya,
setelah menamatkan kayuhan, mereka gembira dan berkongsi cerita tentang basikal bersama tanpa mengira kaum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: