Wednesday, July 25, 2012

Susah kahwin tak sekufu

JIKA sebelum ini ramai wanita melahirkan rasa tidak puas hati apabila dimadukan, berbeza pula dengan Zahira yang teringin sangat melihat suaminya berkahwin lagi, supaya suaminya tahu sama ada langit tinggi atau rendah.

''Saya berkahwin 14 tahun lalu. Walau sebaya, kami memang tidak sekufu. Dia lulusan SPM dan bekerja sebagai pembantu makmal. Saya guru berijazah. Bapa saya imam dan keluarga kami amat bahagia, manakala keluarganya porak peranda. Ibunya jarang solat dan suka hiburan sensasi. Tanyalah tentang artis, dari A-Z mertua saya boleh jawab. Bapa mertua pula pemandu teksi, rajin solat, rajin ke surau, tapi perempuan keliling pinggang.

''Suami saya, Bad, sebelum dan awal kahwin nampak baik, rajin solat, hormat ibu bapa saya. Lepas maghrib, dia ajar budak-budak mengaji, jadi guru KAFA. Kerana itulah saya terima Bad walaupun taraf pendidikan kami berbeza. Tambahan pula ustaz yang kenalkan, tentulah saya tidak salah pilih.

"Setelah berkahwin, kami tinggal di rumah ibu bapa saya. Tiga tahun pertama, semua lancar, Bad turut beri nafkah walaupun sedikit. Selepas tiga tahun dan dapat seorang anak, kami pindah ke rumah sewa. Awalnya Bad tak setuju. Agaknya senang segalanya ditanggung.

''Memandangkan pendapatan saya lebih besar, maka belanja anak, lampin, susu, ubat, upah pengasuh semuanya saya bayar. Dia mula seronok kerana saya tak pernah minta apa-apa. Bad hanya bayar sewa rumah dan bil asas. Belanja dapur dan makan minum saya sediakan.

''Ketika mengandung, saya pergi sendiri ke klinik. Bila anak kedua dan ketiga lahir, perbelanjaan semakin bertambah. Bad makin culas beri duit belanja harian. Akhirnya perbelanjaan anak 100% atas saya, dari belum sekolah, masuk tadika hinggalah sekolah. Itu belum kira belanja makan minum dan urusan rumah tangga.

''Apa yang menyakitkan hati bila anak pertama nak daftar ke sekolah, pun saya terpaksa uruskan. Bad tak mahu pergi alasannya dia tak ada duit dan sibuk. Perkara yang sama berulang pada anak kedua dan ketiga. Sayalah uruskan van sekolah mereka ke rumah pengasuh. Pendek kata semuanya 'atas batu jemala patik.'

Persengketaan''Bila beban semakin berat manakala suami lepas tangan, pastilah berlaku persengketaan dalam rumahtangga. Bila saya merungut penat dan duit tak cukup, dia marah konon sepatutnya dia pilih isteri yang tak bekerja, dapat urus keluarga dengan baik. Amboi sedapnya menyakitkan hati saya, dia memang tak reti bersyukur!

''Satu perangai buruk Bad kalau kami bergaduh, dia lari tidur di rumah ibunya dua tiga hari tak balik. Hubungan saya dengan ibu mertua jadi dingin. Mungkin fitrah seorang ibu mesti hendak memenangkan anaknya. Buktinya bila bersemuka, ibu mertua hentam saya habis-habisan. Tahun lepas Bad tak balik rumah tiga bulan. Dia tinggalkan bontang kami anak-beranak, tanpa nafkah, tak ambil tahu sakit pening.

''Dengan senang hati dia duduk rumah ibunya. Saya tak faham macam mana ibunya boleh biarkan Bad berperangai macam tu! Agaknya mertua dan Bad senang hati tengok saya macam nak pengsan uruskan anak-anak.

''Kesian anak kedua yang rapat dengan Bad. Bila Bad balik selepas tiga bulan, dia ikut Bad walaupun nak ke tandas. Tapi Bad buat muka selamba.

''Sengketa kami tak pernah reda. Masalah besar kami, wang. Selama kahwin, Bad tak pernah beri belanja raya, malah baju raya dia pun saya belikan! Dia juga tak pernah bayar yuran sekolah, baju, beg, kasut, semuanya atas bahu saya.

''Kerana perbelanjaan bertambah, saya mengajar tuisyen. Bad duduk rumah jaga anak, itu pun saya beri upah sebab dia merungut kononnya dia boleh buat kerja lain.

''Bila orang sibuk berniaga, dia pun sibuk, tapi duit saya jadi mangsa. Begitu juga bila orang heboh bercerita fasal forex, dia pinjam lagi duit saya. Malangnya telungkup lagi! Setakat ini dia pinjam lebih RM20,000. Gayanya memang tak ada tanda-tanda nak bayar balik!

''Dalam pada itu, Bad kata dia dah tak minat kerja makan gaji. Atas nasihat ibunya, dia berhenti kerja dan jadi pemandu teksi. Abang iparnya beri kereta Wira tapi kereta itu dah berusia lebih 15 tahun, jadi banyak perlu diperbaiki. Duit yang dia dapat sehari-hari daripada penumpang tak dapat bayar apa-apa kecuali untuk teksi buruk tu!

''Akhirnya hutang keliling pinggang. Paling saya risau dia hutang ah long. Tiga tahun lepas saya langsaikan hutang ah long RM3,000 sebab takut diri saya dan anak-anak jadi mangsa.

''Kemuncak sengketa kami apabila dia pukul saya. Puncanya ketika saya mengajar tuisyen, dia tidur berlengkar macam ular sawa. Anak-anak tak makan. Bila saya bersuara, saya disepak, dicekik dan diterajang. Bila saya jatuh terlentang tak boleh bangun, dia keluar tinggalkan saya dan anak-anak.

"Cuba pembaca bayangkan, kalau saya pengsan, anak-anak masih kecil, pintu rumah tak ditutup dan ketika itu pukul 10 malam. Sekali lagi dia balik rumah ibunya. Ibunya puas hati saya teruk kena bantai.

''Saya buat laporan polis. Tapi tidak ke pejabat agama sebab tak mahu bercerai. Sebenarnya tiada lagi rasa kasih pada Bad, saya benci tengok dia. Tapi saya kesiankan anak-anak. Mereka masih harapkan kasih seorang ayah. Bad selalu cabar saya minta cerai. Saya tak nak, kalau dia kahwin lain lebih baik. Saya nak tengok dia kahwin dengan wanita tak bekerja yang boleh layan dia. Saya nak tengok macam mana dia nak beri makan anak isterinya dengan perangai pemalasnya.

''Nasihat saya kepada wanita yang berpendapatan tinggi nak berkahwin dengan lelaki lebih rendah gajinya, jangan bagi muka sangat. Biar suami belajar sara keluarga sejak mula kahwin lagi. Sebab kalau dah terbiasa dibantu, lelaki akan ambil kesempatan lepaskan tanggung jawabnya kepada isteri dengan alasan mereka tak ada duit. Jadi sampai bila anda nak pikul tugas dia? '' Itu cerita Zahira mengapa dia suka suaminya kahwin lagi.

3 comments:

  1. alamak...macam takut je nak kahwin dengan orang yang lagi rendah taraf educationnya..huhuhuhuhu

    ReplyDelete
  2. assalam.
    maaf lah kalau saya terpaksa cakap, pada saya pn zahira ni bodo.. kalu dalam konteks rumahtangga dia ni kategori IBU TUNGGUL. bole bertahan dgn suami macam tu. bukan bermaksud menggalakkan penceraian tapi kalau hati dah tak suka, tak sayang, tengok pun benci, suami culas dalam memikul tanggungjawab...nak tunggu apa lagi? dia ada pun tak menyenangkan juga. dah la semua tanggungjawab tergalas di atas bahu kita, kena pula hadap hari2 sakit hati tengok perangai dia, memang tak patut lah kan... alasan kesiankan anak tu semua, memang betul la.. tapi dah si ayah pun tak ingin layan anak, nak kesian apa lagi? baiklah kesiankan diri sendiri dan anak yang terabai tu. please la wanita... jgn biarkan diri anda diperhambakan sebegini rupa. sedih saya baca kisah2 camni.
    kepada pn zahira, anda wanita berpendidikan. tahu erti hidup dan bagaimana nak menghadapinya. anda sepatutnya lebih berani dan cekal dalam memilih yang TERBAIK UNTUK DIRI SENDIRI DAN ANAK-ANAK.
    apa pun saya tetap doakan yang terbaik untuk anda.. salam

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum;

    Jodoh di tangan Tuhan. Jadi janganlah memandang seseorang itu dari pangkat atau darjat. Perkara ini sering terjadi pada masyarakat, tidak kira bangsa mahu pun ugama. Bila bercinta, semuanya indah belaka. Bila berumah tangga, disitulah baru nampak taring pasangan masing-masing.

    Tetapi amatlah sedih dan memalukan bila seorang suami mengabaikan tanggung jawabnya sebagai seorang ketua keluarga. Masalah kewangan adalah punca utama retaknya asas atau 'foundation' sesebuah keluarga. Kerana gaji dan pangkat si isteri yang tinggi, si suami mengambil kesempatan ke atasnya. Memberi nafkah adalah kewajipan sama seperti solat 5 waktu. Jadi sekiranya si suami memandang ringan tentang perkara ini, dia akan ditanya di akhirat nanti tentang perkara ini dan boleh dimasukkan ke neraka jika mengabaikannya.

    Maka kepada sesiapa yang ingin berkahwin; kenali hati budi pasangan masing-masing terlebih dahulu. Kenali ahli keluarganya dan kalau boleh sembahyang Istikharah agar ditunjukkan oleh Allah jalan yang lurus. Jangan berputus asa dan Insya Allah akan dirahmati Allah.

    Seorang lelaki sejati adalah bukan dari ketampanannya atau kegagahannya. Seorang lelaki sejati ialah yang bertanggung jawab dan sentiasa berserah kepada Allah. Sekian Wassalam.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: