| |
| Rozita Abdul Kader bersama kotak-kotak yang mengandungi biskut raya yang akan dihantar kepada pelanggan. |
MENJELANG Hari Raya Aidilfitri ini semua pengusaha kuih dan hamper sibuk memenuhi tempahan pelanggan. Sama ada yang mengusahakan secara kecil-kecilan di rumah atau pada skala besar masing-masing tidak menang tangan.
Keutamaan pastinya kepada permintaan pelanggan yang mana tempahan kena disiapkan mengikut jadual.
Tetapi bagaimana pula kalau anda perlu menyiapkan tempahan kuih yang jumlahnya mencecah puluhan ribu? Sementara hamper yang ditempah untuk raya pula kira-kira satu kontena.
Itulah tempahan yang perlu dipenuhi oleh pengusaha kuih dan hamper yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, Norizan Alias.
Kata Norizan, tahun ini dia hanya mengetengahkan empat jenis kek, iaitu kek tamar, kek tamar dengan habbatus sauda, kek buah dan kek buah dengan habbatus sauda.
Tetapi, setiap satu tempahan mencecah angka ribu.
Dalam tempoh sebulan dalam bulan Ramadan ini dia kena siapkan kira-kira 20,000 kek tamar dan 2,000 kek buah kukus.
Ia untuk tempahan pelanggan dari dalam dan luar negara.
‘‘Sebanyak 20,000 biji kek tersebut dijual pada harga RM35 sebiji. Banyak tempahan sudah diterima daripada pelanggan tetap, syarikat-syarikat, agen dan orang persendirian.
‘‘Selain pasaran di Malaysia, kek-kek ini juga akan saya hantar ke Dubai dan Abu Dhabi,’’ kata Norrizan, 49, ketika ditemui di kedainya, Norrizan Bakers.
Menurutnya, selain kek tersebut, dia juga membuat 1,500 biji kek buah dan 200 karton biskut untuk raya kali ini.
Katanya, itu pun masih ramai yang mahu menempah namun dia terpaksa menolak.
‘‘Musim raya ini kalau seseorang itu rajin berusaha dan merebut peluang berniaga, boleh hidup goyang kaki selama setahun. Rugi kalau kita duduk diam saja,’’ ujar Norrizan.
Dibantu oleh 25 pekerja, selain kek dan biskut, Norrizan menerima banyak tempahan hamper.
Untuk tahun lalu sahaja katanya, dia menyediakan 12,000 hamper. Tahun ini jumlahnya masih belum muktamad kepada tempahan terlalu banyak.
Jelasnya, dia mengimport satu kontena bekas hamper dari luar negara bagi menyiapkan tempahan daripada syarikat korporat, swasta, orang kenamaan dan orang perseorangan.
‘‘Saya pastikan produk saya berbeza daripada orang lain. Saya buat apa yang orang lain tidak pernah terfikir. Jangan tiru produk lain kerana akhirnya orang akan tahu juga,’’ katanya.
Menyingkap kisahnya, kata Norrizan, dia tidak pernah jemu untuk belajar membuat biskut, kek dan sebagainya.
Jika dahulu banyak belajar tetapi kini dia pula yang mengajar kelas membuat biskut dan kek di tingkat atas kedainya.
Dia juga terpilih sebagai mentor Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan dijadikan contoh bagi mereka yang memilih bidang perniagaan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: