| |
| Bersama dua isterinya, Suzrina Mohd. Sabri (kiri) dan Jamilah Shahir (kanan) yang menjadi tulang belakang dalam kejayaan perniagaannya. |
DI awal pembabitannya dalam dunia perniagaan, dia hanya sekadar mengusahakan kantin Sekolah Menengah Alam Shah, Selangor, sekitar tahun 1980-an.
Kemudian dia mengembangkannya menjadi perniagaan sajian makanan atau katering sekitar tahun 1990-an. Dia kemudian terpilih sebagai salah satu daripada 10 pengusaha yang menyediakan makanan sebuah majlis rasmi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kini setelah hampir 30 tahun, nama Mastar Catering semakin meniti di bibir masyarakat setempat apatah lagi nasi lemak kukus yang diusahakannya sering menjadi pilihan penggemar nasi lemak di samping lauk-pauk yang enak-enak belaka.
Menurut pemiliknya, Mastar Muni, beliau tidak pernah menduga bahawa perniagaan makanannya mampu berada di tahap sekarang apatah lagi dengan persaingan sengit dalam dunia katering.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan Mastar Catering hari ini menjadi salah satu pesaing penyedia hidangan daripada sekecil majlis hinggalah yang besar.
Ujar Mastar atau lebih dikenali sebagai Masdar di kalangan rakan-rakannya, produk utama Mastar Catering ialah nasi lemak kukus dan nasi beriani kukus gam.
''Nasi lemak merupakan perniagaan harian yang diusahakan hari ini manakala untuk majlis perkahwinan atau majlis-majlis lain, kami menawarkan nasi beriani kukus gam, nasi tomato serta nasi minyak.
''Semuanya bergantung kepada permintaan pelanggan dan Insya-Allah kami akan cuba memenuhi setiap permintaan pelanggan.
''Bagaimanapun trade mark perniagaan kami ialah masakan jenis kukus (hanya untuk nasi) di mana keistimewaan masak secara kukus ini ialah nasinya lebih peroi dan ia tidak membazir,'' ujarnya ketika ditemu bual di premis perniagaannya di Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Tambah beliau, kejayaan Mastar Catering hari ini adalah berkat hasil usaha dia yang mengetengahkan resipi nasi lemak kukus daun pisang sebagai 'produk' sulung mereka.
Bercerita lanjut menurut Mastar, nasi lemak kukus serta menu-menu masakan lain yang diusahakan secara katering adalah resipinya sendiri yang diolah daripada resipi asal.
Tujuannya adalah untuk menghasilkan masakan yang lebih sedap mengikut cita rasanya selain dapat memenuhi cita rasa orang ramai.
Mastar mengakui bidang perniagaan pasti ada pasang surut, namun berkat kesabaran serta kegigihan yang tidak mengenal erti putus asa, Mastar Catering kekal 'mewarnai' bidang perniagaan dan mula bersaing dengan orang lain.
Kini Mastar Catering tidak putus-putus menerima tempahan sepanjang tahun dengan purata empat atau lima majlis perkahwinan sebulan, selain lima kali seminggu berniaga di pasar malam.
Hari ini Mastar Catering mempunyai 11 kakitangan yang membantu di dapur, dan menguruskan tempahan.
Dalam pada itu, bagi yang ingin membuat tempahan majlis, boleh hubungi 016-6725543 (Mastar), 016-9032915 (Faizal) atau layari www.mastarcatering.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: