| |
| Pelbagai jenis rekaan tudung sedia menanti pelanggan di Butik Mawaddah. |
KHUSUS untuk Hari Raya Aidilfitri ini, 4,000 helai tudung terbaru dengan rekaan dan corak terkini disasarkan untuk menarik hati pelanggan.
Itu janji Butik Mawaddah yang mungkin sudah tidak asing lagi bagi wanita di Seremban kerana mempunyai produk tudung sendiri.
Butik yang dibuka pada tahun 2009 ini oleh Rusnaliza Ahmad Soffian mengeluarkan tudung rekaan sendiri yang berbeza daripada yang terdapat di pasaran.
Mawaddah memperkenalkan 10 konsep tudung yang mempunyai jenama sendiri, iaitu busukan (tudung sukan 1.0), eksekutif, eksklusif, raudhah (untuk haji dan umrah), suri (untuk suri rumah), Khadijah (wanita pertengahan umur), Nur Kasih (remaja), Jasmin Kids (kanak-kanak), rekaan tersendiri dan rekaan istimewa.
Kata Rusnaliza, tudung keluarannya menggunakan bahan kain untuk badan tudung daripada Korea dan China sementara untuk awning ialah korduroi, baldu, jeans, sutera Thai, syifon dan broked.
‘‘Untuk tudung yang eksklusif, kami menambah dengan perincian atau hiasan seperti batu, manik, kepingan besi pelbagai bentuk dan sulaman.
‘‘Satu lagi keistimewaan tudung Mawaddah ialah pelanggan boleh menempah daripada sampel yang disediakan. Jika ada tambahan, pelanggan boleh memberitahu dan pihak kami akan menyiapkan mengikut kehendak pelanggan.
‘‘Di butik ini juga terdapat tudung kanak-kanak yang selesa dipakai, tidak panas atau terlalu ketat di kepala. Si ibu yang datang untuk membeli tudung sendiri boleh juga membeli tudung untuk anak-anaknya,’’ kata Rusnaliza yang ditemui di butiknya di Seremban baru-baru ini.
Selain menanti pelanggan datang berkunjung, katanya, Butik Mawaddah juga membekalkan tudung pada butik-butik di seluruh Malaysia seperti Ipoh, Manjung, Parit Buntar, Kota Damansara, Bahau, Kuala Lipis dan Johor.
Menurut Rusnaliza, semua tudung dijahit sendiri oleh beberapa orang pekerja. Sebanyak 100 helai tudung boleh disiapkan dalam masa sehari.
Dibantu oleh adik iparnya, Norulhuda Munzir, mereka berdua giat mempromosi tudung Mawaddah melalui rumah ke rumah, talian dan facebook.
‘‘Selama ini kami hanya bertumpu di Negeri Sembilan tetapi kini kami akan cuba keluar ke negeri-negeri lain supaya lebih ramai orang mengenali tudung Mawaddah.
‘‘Selain tudung, butik ini turut menyediakan pelbagai rekaan pakaian wanita seperti baju kurung, dres panjang, blaus, jubah yang diimport dari Saudi, India dan Jordan, baju lelaki dan sut umrah,’’ ujar Rusnaliza yang berkelulusan Ijazah Pemasaran daripada Universiti Bridgeport, Connecticut, Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: