Friday, September 3, 2010

Muzik FM rai anak yatim


Sebahagian daripada penyampai Muzik FM yang memeriahkan rakaman program Jom Raya @ Muzik FM dan Menara KL.


KEMERIAHAN Syawal yang bakal menjelma minggu depan sudah pasti akan digamatkan lagi dengan pelbagai program hiburan yang disiarkan di kaca televisyen tempatan.

Tidak ketinggalan, stesen-stesen radio tempatan tidak kira swasta mahupun milik kerajaan juga berlumba-lumba untuk menyajikan program terbaik untuk pendengar mereka.

Pada lebaran kali ini, stesen radio Muzik FM yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-35 pada 20 Jun lalu mengambil peluang menerbitkan sebuah program khas raya berjudul Jom Raya @ Muzik FM dan Menara KL.

Menariknya, penerbitan program itu bukanlah untuk hiburan semata-mata malah turut mengajak beberapa organisasi lain beramal dengan mengundang anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Nur Hikmah, Kajang, Selangor.

Bertemakan santai dan ringkas, program itu dirakamkan di Menara Kuala Lumpur dengan penuh kemeriahan suasana hari raya.

Menurut Pengurus Muzik FM, Fee Lin Chew, program itu merupakan salah satu program tahunan yang tersedia dalam takwim Muzik FM.

"Ini adalah tahun keenam program seumpama ini dianjurkan dengan tema berlainan. Memandangkan banyak pihak yang menawarkan diri untuk menaja lokasi, program ini sering bertukar tempat agar memberi peluang kepada semua pihak untuk turut serta," katanya menjelaskan pemilihan Menara KL sebagai lokasi rakaman kali ini.

Tambahnya, disebabkan itu, judul program ini juga diselitkan nama Menara KL sebagai lambang kerjasama yang diberikan syarikat swasta tersebut.

Sementara itu, penerbit rancangan itu, Masnah Abdul memberitahu, saban tahun ia diterbitkan dengan konsep ala rumah terbuka.

"Pihak kami mengundang peminat bertuah untuk memeriahkan majlis di samping dapat bertentang mata dengan penyampai kesukaan mereka.

"Penyampai juga berpeluang untuk mendekati peminatnya selain menguji kredibiliti mereka sebagai personaliti," jelasnya.

Tidak ketinggalan, pada majlis itu juga Syarikat Dream Chorus Sdn. Bhd., menyumbangkan cek berjumlah RM3,000 kepada pusat jagaan tersebut.

Majlis itu diteruskan dengan persembahan artis-artis popular seperti Farawahida, Mila, Vince dan juara Bintang RTM, Ernie di samping menikmati juadah enak tajaan D'Tandoor.

Suasana raya itu turut diriuhkan lagi dengan celoteh para penyampai Muzik FM mengusik tetamu dan artis-artis yang hadir.

Antara penyampai yang terlibat ialah Muaz, Odey, Hanna, K-Roll, Dyan, Shila, Ariel, Eddy, Azura, Zima, Ridzwan dan Akram.

Sebelum itu, anak-anak yatim tersebut dijemput dari pusat jagaan itu dengan menaiki kereta Proton Perdana yang dipandu oleh pemandu-pemandu Kelab Proton Perdana (Properd) menuju ke Menara KL.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: