Friday, September 3, 2010

Marhaban Di Astro ada tarikan


BARISAN artis dan tenaga kerja Marhaban Di Astro bersama anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Lambaian Kasih dan Sekolah Rendah Agama Sungai Penchala pada majlis berbuka puasa di Subang Jaya, baru-baru ini.


KEBIASAANNYA, melodi indah marhaban didendangkan di majlis-majlis keramaian tertentu masyarakat Melayu termasuklah majlis cukur jambul dan perkahwinan.

Tidak kira di desa mahupun di bandar, alunan puji-pujian terhadap yang Maha Esa dan Rasul junjungan, marhaban itu sehingga kini bagaikan menjadi tradisi untuk dilagukan.

Misi menerap dan memperluas semangat bermarhaban di kalangan masyarakat tempatan terutamanya generasi muda saban tahun diusahakan oleh pihak Astro menerusi program Marhaban Di Astro.

Dalam menarik perhatian pelbagai pihak tidak kira kaum dan peringkat umur, sengaja barisan artis dan selebriti diundang menjayakan segmen-segmen tertentu yang disenaraikan memenuhi takwim acara tersebut.

Sejak tahun 2005 lagi Marhaban Di Astro bagaikan menjadi sebuah acara wajib oleh Astro setiap kali tibanya Ramadan al-mubarak dan sebanyak empat lokasi telah dipilih sebagai persinggahan pelayaran Marhaban Di Astro tahun ini.

Ia bermula pada 7 dan 8 Ogos lalu di Kuantan Parade, Kuantan, Pahang kemudian di AEON Seberang Perai, Pulau Pinang pada 14 dan 15 Ogos, diikuti AEON Bukit Indah, Johor Bharu, Johor (21 dan 22 Ogos) diakhiri pada hujung minggu lalu (28 dan 29 Ogos) di AEON Bukit Tinggi, Klang.

Objektif utama acara tersebut diteruskan pada tahun ini adalah untuk memperoleh lebih interaksi daripada kumpulan sasaran yang terdiri daripada pelangan Astro termasuk di bandar dan luar bandar.

Ketua Pemasaran Segmen Melayu, Molina Musa ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Marhaban Di Astro di Hotel Saujana, Subang Jaya, baru-baru ini memberitahu seperti tahun-tahun lalu, Marhaban Di Astro kali ini masih lagi mengekalkan konsep di bandar dan juga desa.

Kata Molina, di desa acara Marhaban Di Astro lebih tertumpu kepada aktiviti di bazar Ramadan di sebelah petang manakala di masjid pada sebelah malam. Ini termasuklah berqasidah, berbuka puasa dan bersolat tarawih di masjid.

“Tahun ini kita melihat maklum balas yang lebih baik daripada peminat apabila Marhaban Di Astro kali ini turut disertai oleh peserta Imam Muda.

“Ketika sebahagian artis melakukan persembahan untuk aktiviti Marhaban Di Astro di bandar, yang di desa pula acara lebih tertumpu kepada qasidah, tazkirah dan solat tarawih,” katanya.

Tambah menarik, kata Molina, aktiviti sampingan seperti pertandingan seni khat, nyanyian nasyid solo, rekaan busana raya dan pertandingan Penjelajahan Pesona P. Ramlee oleh saluran History turut berjaya menarik minat.

Tidak ketinggalan ialah permainan maya, Nintendo Wii, menganyam ketupat, permainan interaktif serta aktiviti bersama ikon Astro, Alycia dan Tok Wan.

Jelasnya, ia antara aktiviti yang menjadi tumpuan ramai pengunjung di pusat membeli belah yang menjadi destinasi persinggahan mereka untuk Marhaban Di Astro di bandar.

Seperti tahun-tahun lalu, acara yang begitu mencuri perhatian ialah konsert muzikal 3 Hari Di Hari Raya oleh Tok Wan serta barisan artis seperti Zahid, Nadia, Shahir, Ain, Maulana, Amar Anak Wayang, Idayu, Edlin, Zainal Alam Kadir, Idayu, Fitri, Aishah, Afiq dan kumpulan Firdaus.

“Pelbagai babak yang mampu mengundang keinsafan serta deraian air mata dipersembahkan dalam persembahan tersebut.

“Ini termasuklah babak balik kampung di mana Tok Wan menanti kepulangan cucu-cucunya Nadia dan Maulana, babak cinta tiga segi antara Nadia, Ain dan Amar, Maulana tak berpuasa, perebutan pokok kelapa Tok Alam dan Tok Fitri serta babak Zahid yang teringatkan ibu bapanya yang telah meninggal dunia,” kata Molina lagi.

Antara lagu-lagu yang melatari konsert muzikal itu ialah Zapin Yaladan, Balik Kampung, Ku Bukan Aku, Yank, Istilah Bercinta, Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Seruan, Ketika Cinta Bertasbih, Pokok Kelapa, Suasana Hari Raya dan Zapin Pantun Budi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: