| |
| Biskut nestum |
APALAH erti jika hari raya tanpa sebalang biskut. Kurang berseri pagi hari raya yang kita sambut itu jika tiada juadah biskut di atas meja. Salam Ramadan yang ke 24 kepada pembaca Utusan Malaysia.
Mungkin minggu ini adalah minggu yang sibuk kepada peniaga-peniaga untuk menyiapkan segala tempahan seperti pakaian dan biskut raya.
Pada anda yang tidak menempah atau tidak bercadang membeli biskut, minggu terakhir bulan puasa adalah masa yang paling sesuai untuk mengadun resipi-resipi biskut untuk disajikan pada hari raya nanti.
Di kesempatan ini saya mengambil peluang untuk berkongsi beberapa tip menyediakan biskut moden. Antara yang paling asas adalah:
1. Gunakan mentega yang berkualiti untuk rasa biskut yang enak.
2. Pukul mentega dan gula dengan sebati untuk mendapatkan biskut yang rangup.
3. Anda perlu mengayak bahan penaik dan bahan kering lain seperti tepung sebelum mencampurkan dalam adunan mentega agar biskut yang dibakar naik dengan sekata.
4. Gunakan tepung halus (superfine) bagi mendapat hasil biskut yang rangup.
5. Anda perlu memanaskan ketuhar 10 minit awal sebelum membakar biskut.
6. Lengserkan dulang pembakar dengan mentega sebelum menyusun biskut yang belum dibakar agar biskut yang dibakar mudah ditanggalkan selepas dibakar.
7. Setelah adunan dicampur dengan tepung, jangan menguli biskut terlalu lama kerana itu akan membuatkan biskut menjadi keras dan tidak rangup.
8. Pastikan doh tidak terlebih tepung yang akan membuatkan biskut tidak rangup.
9. Canaikan doh dengan ketebalan yang disarankan adalah 5-8 milimeter.
10. Ketuhar standard mempunyai fungsi yang boleh dilaraskan, pastikan anda mengetahui cara penggunaan ketuhar anda dengan betul. Jangkamasa pembakaran adalah sekitar 10-12 minit dengan kepanasan 180 darjah celsius.
11. Biskut yang belum dibakar perlu disusun tidak terlalu rapat dan seeloknya perlu disusun selang satu jari jarak di antara satu biskut dengan biskut yang lain.
12. Elakkan menyimpan biskut yang masih panas di dalam balang biskut kerana wap dari biskut panas akan membuat biskut menjadi lemau. Biar ia sejuk sebelum disusun dalam balang biskut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: