Friday, September 3, 2010

Golongan OKU kerdil tidak dilupakan


SUKARELAWAN IRM bersama sebahagian daripada ahli Pertubuhan Orang Kerdil Malaysia dalam kempen Bantulah Mereka Berbuka Puasa anjuran IRM sempena Ramadan al-Mubarak ini.


DARIPADA Ibnu Abbas Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW orang yang paling murah tangannya, baginda paling bermurah pada bulan Ramadan, ketika Jibril datang kepada Rasulullah untuk mendengar bacaan al-Quran Nabi, Rasulullah lebih cepat memberikan sesuatu,

melebihi kecepatan angin berhembus, di bulan Ramadan baginda tidak meminta sesuatu tetapi baginda sentiasa memberikan sesuatu kepada orang lain. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita sentiasa diperingatkan agar sentiasa menjadikan Rasulullah SAW contoh ikutan dalam segenap aspek kehidupan. Ini sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu orang-orang yang ingin mengharapkan rahmat Allah. (al-Ahzab: 21)

Lantaran itu, Ramadan menjadi semacam satu pesta bagi mereka yang berjiwa dermawan untuk turut menceriakan hati-hati insan yang layak dibantu serta kurang berkemampuan.

Apatah lagi, setiap sumbangan pada bulan Ramadan al-Mubarak, Allah SWT menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda, waima sekecil mana sekalipun.

Pahala amalan fardu dibalas 70 kali ganda berbanding bulan lain. Manakala pahala bagi satu amalan sunat, sama dengan pahala amalan fardu pada bulan lain.

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma daripada hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung. (riwayat Bukhari)

Lazimnya rumah anak yatim sering menjadi tumpuan sama ada badan-badan korporat dan individu untuk menghulurkan sumbangan berbentuk material atau meraikan mereka dalam program berbuka puasa.

Pun begitu, Islamic Relief Malaysia (IRM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menerusi kempen Bantulah Mereka Berbuka Puasa tidak sahaja memberi sumbangan kepada golongan seperti, fakir miskin, ibu tunggal anak yatim dan orang kurang upaya sepanjang Ramadan ini. Tetapi kelompok orang kerdil juga tidak terlepas.

Pada 7 Ogos lalu telah diadakan Majlis penyerahan pek barangan makanan kepada Pertubuhan Orang Kerdil Malaysia bertempat di Pejabat Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Menerusi majlis ini, seramai 60 keluarga golongan istimewa yang terdiri di kalangan orang kerdil telah menerima sumbangan pek makanan.

Pek barangan tersebut mengandungi makanan keperluan harian seperti beras, gula, garam, susu, tepung, minyak, sardin dan kurma ini diharapkan akan dapat membantu meringankan beban mereka dalam menyambut Ramadan.

Ia hasil sumbangan orang ramai dan juga syarikat korporat melalui kempen Bantulah Mereka Berbuka Puasa.

Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Islamic Relief Malaysia iaitu www.irm.org.my atau menghubungi pihak Islamic Relief Malaysia di talian 03-8948 6334.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: