| |
| Mohd. Fauzi Azin (kanan) menerima sumbangan daripada pegawai lzs. |
BEBERAPA tahun dahulu, Hari Raya bagi keluarga Mohd. Fauzi Azin, 41, dan Masta Mohd., 38, disambut kelam. Anak-anak tidak tega berhari raya. Mereka merasa malu, mungkin kerana persiapan diri tidak seperti kawan-kawan yang lain.
Si ayah, seorang yang boleh digolongkan kurang upaya, hanya membeli sedikit makanan. Mereka cicipi bersama di dalam rumah. Itulah juadah mereka di hari raya.
Demikianlah gambaran catatan Jejak Asnaf pada kali ini. Mohd. Fauzi dan Masta yang tabah meladeni kesusahan.
Mereka hadapi semuanya bersama enam anak titipan Allah, Mohd. Faizun, 13; Farah Azizah, 11; Fazila Azwani, 9; Mohd. Farid, 5; Mohd. Fairus, 2, dan Mohd. Firdaus dua bulan.
Buat pertama kalinya mereka merasa berbuka puasa atas tajaan sebuah hotel di Shah Alam pada Ramadan tahun ini. Jelas terpapar kegembiraan di wajah.
“Dahulu saya bekerja mengimpal besi. Kemalangan jalan raya menimpa saya pada tahun 2005. Saya dilanggar lari. Akibatnya saya patah kaki. Selama 14 hari ditahan di hospital. Tulang kaki saya hancur. Sejak itu, saya tidak mampu bekerja berat lagi.”
Hakikatnya, berat mata memandang berat lagi bahu menyandang. Ujian kehidupan ini benar-benar menggugah tugu kesabaran.
“Kami pernah diminta keluar daripada rumah. Maklumlah, sewa tidak terbayar. Anak saya pernah dihukum cikgu, hanya kerana gagal melunaskan duit yuran dan buku.
“Puas saya memujuk si anak, dia enggan ke sekolah kerana takut dihukum lagi. Kadang-kadang dipanggil cikgu dalam perhimpunan, dihukum di hadapan kawan-kawan,” katanya.
Demikianlah curahan rasa menggamit hiba. Seorang ayah di pertengahan usia. Berasal dari Selangor dan kini menetap di Batu Caves. Membina mahligai bersama isteri yang berasal dari Sabah. Mereka bahagia dalam tabah. Mereka ceria dalam gundah.
“Selepas kemalangan, saya tidak lagi mempunyai kerja tetap. Namun saya tidak pernah duduk diam. Saya akan lakukan apa sahaja, asal mendapat wang. Janji halal saya tidak menolak.
“Dengan kudrat berbaki inilah, saya mengambil upah menyapu sampah, menebas rumput, membancuh simen, mencuci longkang dan apa sahaja. Dapatlah sedikit upah buat belanja keluarga. Tidak banyak, tapi itulah kemampuan saya,” jelasnya.
Di samping bekerja tidak menentu, Fauzi cuba berniaga. Namun, perniagaannya tidaklah kencang. Dengan hanya bermodalkan sedikit wang, beliau membina gerai sendiri.
Itu pun bergantung nasib, jika tidak hujan maka lebihlah pendapatannya. Jika hujan, maknanya dia mungkin menanggung rugi.
“Saya berniaga pun tanpa lesen. Daripada mana saya mahu mencari wang untuk mengambil lesen. Berniaga pun di kaki lima bangunan. Pernah beberapa kali penguatkuasa datang. Saya pasrah. Saya hanya nyatakan, saya tidak mampu untuk berbuat lebih daripada itu,” katanya.
Kesusahannya lebih terasa kerana usahanya dibatasi dengan kemampuannya bergerak lebih jauh. Fauzi tidak mempunyai kenderaan, sama ada kereta mahu pun motosikal.
Bukan sahaja kenderaan, malah beliau juga tidak memiliki sekeping lesen yang sah. Malah sebuah telefon bimbit pun dia tidak memilikinya.
“Dahulu saya pernah memiliki lesen memandu, tetapi silap saya sendiri. Hangus wang saya RM1,000. Rupa-rupanya lesen saya itu ‘lesen terbang’.
“Saya gagal memperbaharuinya. Buat masa ini, untuk saya mendapatkan lesen baharu adalah hampir mustahil sekali,” jelasnya.
Mendung yang kelam beransur hilang pada tahun 2008. Lembaga Zakat Selangor datang membawa seribu harapan. Keluarga beliau didaftarkan sebagai asnaf miskin di bawah LZS. Mereka layak dibantu dan bermulalah sebuah episod baharu dalam hidup mereka.
“Alhamdulillah, kami merasa amat bersyukur. LZS membantu kami dan memberikan kami sejalur cahaya. Anak-anak kami khususnya, dapat kami sekolahkan dengan baik.
“Jika dahulu, mereka belajar dalam kelaparan, tetapi kini mereka merasa nikmat kekenyangan.
“Pernah dahulu, anak saya merengek lapar. Habis ikhtiar saya untuk mencari wang. Bukan mudah untuk meminta-minta. Apatah lagi menjelang hari raya. Saya tidak mampu memberikan anak-anak baju baharu. Lalu, mereka menghabiskan masa seharian suntuk di dalam rumah. Kini, LZS memberikan kami kegembiraan. Wang zakat itulah saya gunakan untuk anak-anak. Boleh saya belikan baju baharu untuk mereka.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembayar zakat. Sesungguhnya, hanya Tuhan sahajalah kelak yang akan membalas segala kebaikan mereka. Tidak ada sesiapa pun yang mampu membalasnya di dunia ini. Saya berdoa, semoga rezeki mereka semakin bertambah. Keberkatan pula melimpah-ruah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: