LANGKAWI: “Apa saja yang berlaku, saya mahu Halimaton terus bersekolah,” kata Normah Abd Mutalib, 46, ibu kepada Halimaton Abd Rashid, 15, yang akhirnya dibenarkan berkahwin dengan jejaka pilihannya, Mohamad Noor Abdullah, 19, apabila keluarga kedua-dua pihak bersetuju untuk menikahkan mereka dalam tempoh terdekat ini selepas berbincang selama tiga setengah jam, di sini, awal pagi semalam.
SEDIH...Halimaton (kiri) bertemu ibunya, selepas persetujuan dicapai.
“Saya juga mahu Halimaton ingat ketika saya mendukungnya ketika kecil dan membawanya ke kebun getah ketika saya menoreh... dialah harapan untuk mengubah nasib keluarga kami dan saya tidak mahu hasrat itu terbantut,” katanya.
Normah kelihatan tertekan dan kusut dengan situasi itu, tetapi reda dengan apa yang berlaku.
“Saya pun dah tak tahu nak cakap apa. Sebelum ini dia anak yang baik dan tidak pernah keluar rumah, tapi tiba-tiba jadi macam ini dan saya langsung tidak pernah terfikir keadaan ini,” katanya.
Perbincangan disertai Normah dan beberapa saudaranya bersama keluarga Mohamad Noor yang diwakili ibunya, Azizah Senapi, 49, dan bapa tirinya, Abd Razak Md Hashim, 51, diadakan di rumah Ketua Pemuda Umno Langkawi, Norsaidi Nanyan, di sini.
Terdahulu, perbincangan peringkat pertama di hadapan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Ismail Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di antara jam 10.30 malam hingga 11.45 malam kelmarin menemui jalan buntu.
Normah juga dilihat hampir pengsan dan terpaksa ditenangkan ahli keluarganya selepas perbincangan peringkat pertama di IPD Langkawi dalam suasana tegang gagal.
Malah, turut berlaku situasi tegang di pekarangan IPD Langkawi ketika Halimaton mahu dibawa ke rumah Norsaidi apabila remaja terbabit menjerit dan memarahi sekumpulan jurugambar media dengan berkata, “Awat, Kodak banyak sangat ke?” Ketika mahu dibawa ke rumah berkenaan, Halimaton juga enggan menaiki kereta bersama ibunya, sebaliknya mahu menaiki kereta lain bersama ibu Mohamad Noor. Bagaimanapun, remaja terbabit akhirnya mengalah apabila diminta saudaranya supaya menemani ibunya.
Halimaton sebelum ini dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak 11 hari lalu. Dalam tempoh itu, gadis yang berasal dari Kampung Lanai, Kupang, Baling itu tinggal bersama keluarga Mohamad Noor di Kampung Kisap, di sini.
Halimaton sebelum ini ketika ditemui berkata, dia sanggup meredah segala kepayahan bagi memastikan dia dan Mohamad Noor dapat berkahwin dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Norsaidi ketika ditemui berkata, perbincangan yang menyaksikan situasi menang-menang itu turut memutuskan supaya Halimaton akan meneruskan persekolahan selepas dikahwinkan dengan pemuda pilihannya dan ia adalah janji dibuatnya sendiri.
“Selain itu, kedua-dua pihak juga masing-masing bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat selain memberi komitmen tinggi untuk memastikan apa yang diputuskan malam ini menjadi kenyataan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairul berkata beliau bersyukur kerana perbincangan yang berlangsung dalam suasana tegang pada peringkat awal berakhir elok selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mengahwinkan pasangan berkenaan.
“Insya-Allah saya akan balik ke Baling dan berbincang lanjut dengan bapa Halimaton selaku wali untuk selesaikan urusan permohonan nikah di Pejabat Agama Daerah Baling kerana dia masih di bawah umur.
“Kalau urusan (memperoleh kebenaran Mahkamah Syariah) selesai hari ini (semalam), rombongan lelaki dari Langkawi akan bertandang ke Baling pada Ahad ini, begitulah seterusnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: