Friday, April 2, 2010

Mayat rukuk dalam perigi

PASIR PUTEH: “Encik, tolong selamatkan sepupu saya. Saya merayu pada encik…tolonglah!“ rintih Zurianawati Awang Soh, 18, kepada pasukan penyelamat yang berusaha mengeluarkan sepupunya, Mohd Amirul Abd Razak, 21, yang terperangkap dalam tanah runtuh ketika menggali perigi di Kampung Batu Berendam, Gaal di sini, pagi semalam.

BANTU...anggota bomba dibantu penduduk kampung mengeluarkan mayat  Mohd Amirul.
BANTU...anggota bomba dibantu penduduk kampung mengeluarkan mayat Mohd Amirul.
Dalam kejadian itu, Mohd Amirul bersama dua rakan karibnya tertimbus dalam perigi sedalam lima meter.

Namun, takdir mengatasi segala-galanya apabila Mohd Amirul yang baru bertandang ke rumah ibu saudaranya di Kampung Bukit berhampiran Jeram Linang itu disahkan meninggal dunia sebaik mayatnya ditemui kira-kira jam 2.50 petang.


Mayat mangsa ditemui selepas usaha mengeluarkannya dari kawasan runtuhan tanah itu memakan masa hampir empat jam sebelum dihantar ke Hospital Pasir Puteh untuk dibedah siasat.


Lebih menyayat hati, mangsa ditemui ‘rukuk’ oleh pasukan penyelamat yang terpaksa menggunakan jengkaut bagi mengangkatnya selepas separuh tubuhnya terbenam dalam lumpur.


Ketika kejadian jam 11 pagi itu, Mohd Amirul bersama Mohd Firdaus Che Ishak, 19, dan Hussin Sultan, 25, mengambil upah membawa turun gelung konkrit ke dalam telaga terbabit yang sedang digali milik seorang penduduk, Nor Aini Ishak, 60.

Difahamkan, ketika kejadian mereka baru sempat menurunkan satu gelung konkrit sebelum tebing telaga itu tiba-tiba runtuh lalu menghempap mereka.


Mohd Amirul yang berada dalam gelung konkrit itu gagal menyelamatkan diri kerana kakinya terbenam dalam lumpur, manakala Mohd Firdaus dan Hussin sempat mengelak, namun turut terperangkap sebahagian badan dalam runtuhan berkenaan.

Anggota penyelamat mengambil masa dua jam mengeluarkan Mohd Firdaus dan Hussin jam 1.30 tengah hari disebabkan keadaan tanah yang liat, manakala mayat Mohd Amirul dikeluarkan empat jam kemudian.


Zurianawati berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ketika Mohd Amirul menghantarnya ke tepi Jalan Pasir Puteh-Machang, jam 8 pagi.


Katanya, Mohd Amirul yang juga anak kedua daripada enam beradik itu sempat memohon maaf kepadanya termasuk minta dihalalkan makan minum sepanjang dua minggu dia di rumahnya.


“Amirul yang bertugas sebagai askar Wataniah serta menetap di Felda Cherong, Kemaman, Terengganu bersama keluarganya sering ke rumahnya setiap kali bercuti.


“Pagi tadi (semalam), saya lihat Amirul terlalu gembira serta sempat menyanyi lagu Alleycats, ‘Andainya Aku Pergi Dulu’ ketika hendak mandi, namun tak syak apa-apa sehinggalah kejadian itu berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: