|
|
BELANGA CAFE, sebuah kafe butik yang memperkenalkan makanan tempatan bertaraf antarabangsa hasil kreativiti pengasas dan pemiliknya, Zainab Ahmad Shiyuti kini memperkenalkan menu baru bagi tahun 2010.
Terkenal dengan makanan tradisional Kelantan, negeri kelahiran Zainab, iaitu nasi dagang, nasi kerabu dan nasi tumpang, pelanggan yang menikmati hidangan di kafe yang juga dikenali sebagai Potpouri of Malay Cuisine pasti dapat merasakan keselesaan sambil menikmati makanan yang enak.
Zainab yang ditemui pada majlis memperkenalkan menu baru ini di The Gardens berkata, mulai Mac, Belanga Cafe memperkenalkan pelbagai menu yang akan menggamit pengunjung.
Daripada lompat tikam (makanan pencuci mulut daripada tepung beras dan santan) hingga set sarapan terdiri daripada roti bakar dan telur ayam kampung separuh masak.
Bagi penggemar kopi, Belanga Cafe menyediakan kopi tempatan istimewa yang diadun bagi mendapatkan rasa kopi yang sukar dilupakan.
Hasilnya ialah Nusantara Ice Blended (minuman kopi dengan buih kembang dan biji-biji kopi di atasnya) serta Avocado Coffee (campuran kopi tempatan bersama buah avokado kisar).
''Kami turut menyediakan jus menyihatkan seperti ekstrak serai bercampur daun limau purut dan lemon, bandrex (campuran ekstrak halia, serbuk kayu manis dan daun pudina), goody-goody (ramuan semula jadi bagi penghidap darah tinggi) dan Java Fantacy (sejenis minuman Jawa bagi mengekalkan kemudaan).
''Saya amat berharap Belanga dikenali sebagai restoran yang menyediakan makanan Melayu yang lazat di samping minuman kopi dan minuman berkhasiat.
"Belanga Cafe juga diharap menjadi lokasi pertemuan di antara rakan niaga sambil menikmati kopi kami,'' ujar Zainab.
Beliau menambah, menu baru itu termasuk laksa masak pedas, spageti yang dimakan bersama kuah santan pedas dengan rencah udang, sup soto bebola ayam yang dibuat sendiri dan dimakan bersama sup tradisional.
Zainab juga akan membuka beberapa cawangan baru di Empire Shopping Gallery di Subang Jaya dan The Intermark, Jalan Tun Razak pada tahun ini
Dengan Belanga barunya ini, Zainab akan mencipta sejarah sebagai pelopor makanan tempatan di peringkat antarabangsa. Belanga Cafe baru-baru ini memenangi anugerah emas bagi kategori F&B Hospitality Interior oleh Persatuan Pereka Dalaman Malaysia (MSID).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: