Friday, April 2, 2010

Cabutan bertuah RM50,000 menunggu peserta

Seminar Wanita bersama Setiausaha anjuran majalah Wanita yang akan berlangsung pada 10 April ini mendapat sambutan hangat para peserta.

Beberapa jabatan kerajaan, swasta dan individu telah mendaftar untuk ikut serta seminar berkenaan.

Hadiah-hadiah misteri dan cabutan bertuah juga turut disediakan untuk peserta bertuah yang kesemuanya bernilai hampir RM50,000.

Seminar sehari itu akan mengetengahkan tokoh-tokoh terkenal seperti Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Toh Puan Noor Aini Abdullah; pakar perbidanan dan sakit puan, Datuk Dr. Norashikin Mokhtar; Saliza Abdullah; Ilani Ahmad dan juga jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

Seminar sehari itu bakal memberi pelbagai tip dan panduan kepada peserta dalam menjalankan tanggungjawab secara lebih positif dan meyakinkan.

"Seminar ini memberi manfaat yang positif untuk anda praktikan bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga di rumah dan di dalam masyarakat," kata Pengarang Wanita, Normala Hamzah.

Menurut Normala, seminar itu bukan sekadar hiburan tetapi menekankan input berguna untuk para peserta.

Penampilan istimewa pelakon dan pengacara terkenal Rosyam Noor juga akan membawa kelainan kepada segmen interaksi antara bos dan setiausaha di tempat kerja.

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Sehubungan itu, bagi menyerikan majlis, pertunjukan fesyen oleh Butik Jarumas serta demonstrasi solekan dan dandanan juga diadakan.

Antara hadiah-hadiah menarik 10 utas rantai mutiara Rafflesia bernilai RM1,000 tiap satu, barangan elektrik seperti mikrowave, periuk nasi, pengisar, pelbagai produk kecantikan baucar penginapan, makan malam, hi-tea, rawatan spa, rawatan kesihatan dan banyak lagi kesemuanya berjumlah hampir RM50,000.

Seminar itu turut dijayakan dengan penaja u utamanya Nouvelle Visages, rakan strategik Nestle, Alfio Raldo dan Berani Guard Sdn. Bhd. akan berlangsung di Prince Hotel and Residence Kuala Lumpur dari pukul 9 pagi hingga 5 petang 10 April 2010. Bayaran hanya RM200 termasuk langganan majalah Wanita selama tiga bulan, sijil dan cenderahati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: