|
|
RANCANGAN berbentuk pelancongan merupakan antara yang mudah menarik minat para penonton televisyen (TV) kerana ia santai dan sesuai ditonton oleh seisi keluarga pada bila-bila masa.
Selain berkonsepkan santai, rancangan yang memaparkan destinasi-destinasi menarik untuk dikunjungi itu juga lebih bagus jika ia disertakan dengan pelbagai tips untuk bakal pelancong.
Go Travel iaitu rancangan terbitan 8TV misalnya, menggunakan pendekatan itu bagi menarik para penonton sebelum mereka merancang berkunjung ke sesuatu destinasi pelancongan.
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) selaku penaja Go Travel yang dihoskan oleh Xiao Yu itu menyediakan pelbagai tips melancong dalam setiap episod rancangan tersebut.
Penolong Pengurus Besar Jualan Global MAS, Joshua Law berkata, tip yang disediakan juga memberi inspirasi kepada penonton untuk melancong ke destinasi idaman mereka.
"Tujuan kami bagi memberi inspirasi kepada para penonton supaya pergi melancong dengan kerjasama 8TV. Pada setiap episod kami akan sediakan pelbagai tips melancong yang mudah.
"Contohnya, bagaimana untuk mendapatkan pakej pelancongan yang terbaik berkaitan perjalanan, tempahan, penginapan, aktiviti dan tempat makan menarik untuk para penonton rancangan ini.
"Pada masa sama, kami juga menyediakan laman sesawang di Internet iaitu MAStraveller.com dengan menyediakan banyak lagi kemudahan lain," katanya pada pelancaran Go Travel baru-baru ini.
Selain menyediakan pelbagai tips berguna, para penonton Go Travel juga berpeluang melancong percuma melalui pertandingan yang dianjurkan bersama syarikat penerbangan tersebut.
Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, para peserta hanya diminta memuat turun gambar mereka sedang melancong bersama slogan dengan 15 patah perkataan.
Para pemenang dipilih mengikut undian terbanyak secara atas talian iaitu melalui www.mastraveller.com/gotravel di mana hadiah pakej percutian itu ditaja oleh MAS.
"Terdapat banyak lokasi menarik yang wujud bukan sahaja di luar negara tetapi juga di negara kita yang tidak diketahui ramai. Dengan adanya Go Travel kami cuba mendedahkannya kepada umum.
"Ia merupakan platform yang tepat bagi mereka yang suka melancong dan menerokai sendiri tempat-tempat menarik itu beserta dengan tip-tip sekali.
"Untuk musim ketujuh, Go Travel akan memaparkan destinasi-destinasi menarik di Thailand, Hong Kong, Bali (Indonesia), Sabah, Pulau Pinang, Vietnam dan Taiwan," ujarnya.
Pada pertandingan itu, dua peserta iaitu Un Yueh Ling, 24, dan Hoong Ding Kuo, 34, merupakan pemenang yang diberi peluang melancong ke Taiwan pada 29 Mac hingga 2 April lalu.
Meskipun pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Feng Chia, Taichung, Taiwan 10 tahun lalu dalam bidang kejuruteraan mekanikal tetapi Ding Kuo tidak pernah jemu untuk ke sana lagi.
"Sebenarnya, saya juga sudah lapan kali berkunjung ke Taiwan kerana melancong dan bertemu kawan-kawan lama saya di sana. Cuma bezanya kali ini perjalanan saya ditaja.
"Malah, paling menarik apabila rakaman perjalanan saya ke sana bersama pengacara Go Travel, Xiao Yu akan dirakamkan dan disiarkan pada episod terakhir pada 22 Mei ini," katanya.
Yueh Ling yang merupakan seorang setiausaha di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang juga berasa teruja selepas dia terpilih sebagai pemenang pakej melancong ke Taiwan.
Apatah lagi, katanya ini merupakan kali pertama beliau berkunjung ke Taiwan di mana ia antara negara yang ingin dikunjunginya selepas China kerana tertarik dengan tarikan yang ada di sana.
"Kalau di Taiwan saya paling teringin mahu menaiki Menara 101 di mana sebelum ini saya hanya melihatnya pada gambar dan melayarinya di Internet. Saya kagum dengan menara itu.
"Dengan adanya peluang ini ia menambahkan lagi bilangan negara yang telah saya lawati sebelum ini iaitu Singapura, Vietnam dan Thailand. Hobi saya pula memang melancong," ceritanya.
Go Travel musim ketujuh yang bermula setiap Sabtu pada 3 April pukul 6.30 petang di TV8 sebelum ini memaparkan destinasi menarik di negara seperti Turki, New Zealand dan Jepun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: