Friday, April 2, 2010

Koperasi Dagang Seni bawa sinar untuk ibu tunggal


Salah seorang ahli KDSM menyertai aktiviti jualan di pasar lambak bagi memasarkan barangan kraf yang dihasilkan.


IBU tunggal dan suri rumah yang terpaksa menyara keluarga adalah golongan yang kadang kala dilupakan. Ini kerana mereka kebiasaannya tidak suka meminta-minta belas kasihan orang ramai atau kerajaan dalam meneruskan perjuangan hidup.

Golongan ini biasanya sangat kental semangat dengan melakukan pelbagai pekerjaan dan perniagaan kecil-kecilan bagi menambah pendapatan.

Semua ini dilakukan bagi menyara anak-anak agar mereka tidak ketinggalan dalam mendapat kehidupan yang sempurna.

Atas kesedaran untuk membantu golongan tersebut menjana pendapatan melalui kemahiran diri, Koperasi Dagang Seni Malaysia Berhad (KDSM) telah ditubuhkan dengan aktiviti utamanya tertumpu kepada membantu suri rumah dan ibu tunggal.

Pengerusi KDSM, Fully Chye Goet Lee, 43, berkata, walaupun KDSM masih muda kerana baru ditubuhkan pada Februari tahun lalu, ia telah berjaya membantu golongan ibu tunggal dan suri rumah mencari rezeki bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

Berdasarkan pengalaman katanya, golongan ibu tunggal yang perlu menjana pendapatan dan menjaga anak di rumah secara berseorangan, sentiasa mengalami masalah untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

Selain itu, ramai juga suri rumah yang mengalami tekanan hidup khususnya dari segi ekonomi kerana pendapatan suami tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan rumah tangga.

Lantaran itu, dia mengambil inisiatif bekerjasama dengan Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) bagi mendorong golongan ibu tunggal dan suri rumah menjadikan hobi menjahit sebagai satu kemahiran yang mampu menjana pendapatan dari rumah.

Goet Lee berkata, KDSM berperanan sebagai saluran bagi mencarikan tempat untuk golongan berkenaan mempamerkan hasil seni jahitan sekali gus membuka jalan bagi peluang-peluang perniagaan.

"Saya berasa gembira apabila melihat hasil produk jahitan disukai ramai. Ini membuktikan kemahiran seni jahitan dapat membantu ibu tunggal dan suri rumah menjana pendapatan," katanya ketika ditemui di pejabat KDSM di Bandar Puteri Puchong, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Goet Lee berkata, pada awalnya dia menubuhkan Persatuan Latihan Kraftangan Epal (EPAL) pada tahun 2001. Ia menganjurkan kelas jahitan secara percuma bagi mengajar ahli-ahlinya menggunakan mesin jahit.

"Bagaimanapun saya mendapati kebanyakan ahli mempunyai bajet terhad kerana mereka tidak mampu membeli bahan-bahan asas untuk digunakan ketika di kelas seni jahitan walaupun kelas itu diberikan secara percuma.

"Pada masa itu, saya terfikir mereka sepatutnya menjadikan hobi menjahit ini kepada kemahiran yang boleh mendatangkan pendapatan.

"Oleh itu, saya menolong mereka mencari peluang untuk menjual hasil jahitan mereka dan mendorong mereka memulakan perniagaan di rumah," katanya.

Dalam usaha membantu mencari pasaran hasil jahitan itu kepada golongan ibu tunggal dan suri rumah, Goet Lee menyedari fungsi EPAL agak terhad kerana ia sepatutnya tidak boleh menjalankan perniagaan.

Dari situlah dia terfikir untuk menubuhkan KDSM yang berperanan sebagai tapak perniagaan kepada ahli-ahli EPAL.

Jelasnya, dalam usaha menjayakan konsep berniaga di rumah, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk mengalami kerugian sebanyak RM1.5 juta di antara 2001 hingga 2005.

Namun kepercayaan dan keyakinan yang telah diletakkan oleh ahli-ahli persatuan membuatkan dia menguatkan tekad membantu golongan kurang bernasib baik itu.

"Saya bersyukur kerana rakan kongsi dan kakitangan saya tetap menyokong saya meneruskan persatuan ini tanpa mengira kerugian dan kesusahan yang dialami.

"Berkat kesabaran kami, sejak tahun 2007 kedudukan kewangan persatuan semakin baik dan tidak mengalami kerugian," katanya.

Ditanya faktor yang mendorongnya untuk terus memikul amanah tersebut biarpun sedar ia mengalami kerugian, Goet Lee mengakui sedikit sebanyak ia ada kaitan dengan sejarah perjalanan hidupnya.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang susah. Ibu saya seorang ibu tunggal dan membesarkan kami lima beradik berseorangan.

"Untuk menampung perbelanjaan keluarga dan memastikan hidup kami selesa dia membuat beberapa kerja sambilan," katanya.

Malah menurut Goet Lee, dia terpaksa berhenti sekolah pada usia 17 tahun dan mencari kerja bagi membantu melegakan bebanan ibunya.

"Saya tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terpaksa berhenti kerana keluarga saya tidak mampu lagi membiayai perbelanjaan sekolah saya," katanya.

Lebih menyedihkan adik ketiganya meninggal dunia kerana demam panas dan lambat mendapat rawatan di hospital disebabkan ibu sedang bekerja.

"Kepahitan masa kecil ini menyebabkan saya berazam mencuba sedaya upaya menolong ibu tunggal dan suri rumah meringankan beban keluarga mereka," katanya.

Kini, KDSM mempunyai sebuah bilik pameran di Bandar Puteri Puchong yang menjadi ruang golongan berkenaan mempamerkan dan menjual hasil jahitan mereka.

"Kita juga mula menganjurkan aktiviti jualan hasil seni jahitan di pasar lambak (flea market) di Bandar Puteri Puchong pada setiap Sabtu dan Ahad. Ia diharap menjadi titik permulaan kepada ibu tunggal dan suri rumah menjalankan perniagaan mereka.

"Jika aktiviti jualan tersebut mendapat sambutan baik, kami merancang untuk memperluaskannya ke seluruh negara.

"Selain itu, eksekutif pemasaran kita juga akan terus mencari pasaran lebih luas di negara ini dan luar negara seperti Brunei," katanya.

Secara peribadi Goet Lee berpendapat, walaupun usaha yang dilakukan lebih kepada satu tanggungjawab sosial dia berasa puas kerana sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban golongan ibu tunggal dan suri rumah.

"Sekarang mereka sudah boleh meraih pendapatan sendiri dan pada masa yang sama dapat mengurus anak dan rumah tangga dengan lebih baik," katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: