|
|
BAGI penyanyi negara seberang yang manis berlesung pipit ini, semalam (1 April) merupakan hari yang paling bermakna buatnya.
Tarikh itu cukup signifikan buat Afgan atau nama sebenarnya Afgan Shah Reza kerana itulah hari yang menyaksikan perkembangan kariernya dalam skala yang besar.
Semalam, filem lakonan pertamanya iaitu Cinta Dua Hati, label pakaiannya, Underneath The Hood dan album keduanya dipasarkan serentak.
Menurut penyanyi berkaca mata itu, dia sangat teruja menunggu reaksi peminat terhadap lakonan pertamanya yang berjudul Cinta Dua Hati yang menggandingkan dia dengan pendatang baru, Olivia Lubis Jansen.
Pernah ditawarkan berlakon filem lain sebelum ini, namun Afgan akhirnya menerima filem Cinta Dua Hati sebagai cubaan pertamanya kerana jalan cerita yang memikat hatinya serta pelakon pujaannya turut berlakon sama iaitu Deddy Mizwar.
"Apabila saya mendengar Deddy Mizwar turut terlibat dalam filem ini saya terus teruja kerana saya amat mengagumi lakonan beliau.
Tidak berani
"Pada mulanya saya agak takut dan gementar untuk berlakon, tetapi Deddy dan pelakon-pelakon lain banyak membantu dan mencurahkan ilmu dalam bidang lakonan kepada saya.
"Selain itu keserasian antara saya dan Olivia senang timbul dalam filem ini memandangkan kami memang sudah setahun berkawan sebelum pengambaran," ujar jejaka berusia 19 tahun ini ketika ditemui di Majlis Pelancaran Koleksi Fesyen Terbaru JKhan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terang Afgan, sebelum ini dia menerima banyak tawaran membintangi filem-filem besar tetapi tidak berani untuk menerimanya kerana belum bersedia dan takut cubaan pertamanya menghampakan peminatnya.
Bagi Afgan, filem itu sesuai dengannya dan dia merasakan Cinta Dua Hati merupakan cerita yang menarik dan tidak seperti filem cinta remaja yang biasa.
Sepanjang penggambaran, Afgan merehatkan diri dalam dunia nyanyian sebentar kerana ingin fokus dengan lakonan pertamanya.
Filem Cinta Dua Hati mengisahkan seorang pemuzik iaitu Alfa yang dilakonkan oleh Afgan yang digilai ramai dan turut diburu oleh peminat fanatiknya iaitu Jane (Olivia).
Jane yang sering mengikuti Alfa telah menimbulkan rasa rimas kepada dirinya. Namun kerana satu konflik membibitkan rasa cinta antara mereka berdua.
Afgan turut menyumbangkan suara bagi runut bunyi filem itu yang turut dijadikan album keduanya itu yang bertajuk The One.
Memuatkan 12 buah lagu, Afgan amat bersemangat dengan kelahiran album keduanya ini kerana dia bukan sekadar menyumbangkan suara sahaja malah turut terlibat dengan konsep album itu.
Jujur Afgan akui, dalam album pertamanya, Confession No. 1, dia hanya menyumbangkan suara dalam album yang memuatkan lagu yang kebanyakannya berirama balada.
"Tetapi bagi album The One ini, saya terlibat sama dari segi sumbangan idea supaya menepati cita rasa saya yang menginginkan album yang lebih rancak dan turut bereksperimen dengan elemen jazz.
"Single pertama dari album ini yang berjudul Cinta Dua Hati telah dimainkan di Indonesia dan mendapat maklum-balas yang positif daripada peminat," ujar pelantun suara Terima Kasih Cinta itu lagi.
Menurut penyanyi muda berjiwa besar itu, dia sebetulnya ada menghasilkan lagu sendiri tetapi belum yakin untuk memuatkan dalam albumnya kali ini.
Selain filem dan album, penyanyi berkaca-mata ini turut akan hadir dengan label pakaiannya sendiri yang diberi nama Underneath The Hood.
Kata Afgan, butik yang akan dibuka di Senayan City, Jakarta, Indonesia itu menyediakan pelbagai jenis pakaian yang diimport dari Jerman dan khusus bagi golongan remaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: