Thursday, April 1, 2010

ILIM mantapkan ilmu imam serantau


Peserta bergambar kenangan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DALAM melaksanakan ibadat solat berjemaah, maka kita memerlukan imam. Imam adalah orang yang sangat dekat dengan masyarakat Islam terutamanya di kampung. Selain lebih arif dalam bidang agama, mereka menjadi pakar rujuk kepada hampir semua masalah berkaitan hidup seharian.

Bermula daripada kematian, kenduri kendara, khatam al-Quran, menyelesaikan pergaduhan suami isteri sehinggalah mengendalikan pengurusan jenazah.

Tugas imam boleh dikatakan 24 jam sehari. Bukan seperti pegawai agama, ustaz atau ustazah di pejabat-pejabat kerajaan yang biasanya bermula pukul 8 pagi dan tamat pukul 5 petang.

Pada umumnya, masyarakat memahami imam sebagai mereka yang dilantik oleh pihak berkuasa agama iaitu Jabatan Agama atau Majlis Agama Islam.

Tugas utama adalah mengimami atau mengetuai sembahyang lima waktu, sembahyang dan khutbah jumaat, sembahyang hari raya dan hari-hari tertentu keagamaan. Begitu juga pusingan mengajar ilmu-ilmu agama di masjid atau surau.

Kini, tugas imam adalah lebih luas bersesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta profesionalisme jawatan tersebut.

Pendek kata, para imam kini tidak boleh lagi hanya bergantung kepada ilmu fardu ain dalam bab fikah dan tauhid sahaja.

Sebaliknya, mereka perlu menguasai ilmu-ilmu bercorak fardu kifayah waima pengurusan kewangan, komputer dan pengurusan inventori masjid.

Menyedari hakikat ini, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Profesionalisme Imam Peringkat Serantau.

Kursus selama 10 hari bermula 20 Mac lalu disertai oleh 60 imam dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Brunei.

Sebagaimana kita maklum, bukan semua orang boleh menjadi imam. Imam bermakna pemimpin atau yang diikuti.

Apabila menjadi pemimpin dalam solat berjemaah, individu bergelar imam itu perlu memiliki sahsiah dan keperibadian yang baik. Jika tidak, bagaimana imam itu mahu dihormati dan memimpin masyarakat setempat.

Inilah yang ditekankan oleh Ketua Penolong Pengarah, Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, ILIM, Dr. Abdul Ghaffar Surip.

Beliau berkata, secara umum imam perlu memiliki ilmu agama yang tinggi, akidah yang mantap dan berakhlak mulia, mahir berkomunikasi, berbakat dalam kepemimpinan, adil, bijaksana dan matang.

"Paling utama imam itu mesti diterima oleh jemaah atau penduduk setempat," katanya dalam kertas kerjanya bertajuk Peranan dan Tanggungjawab Imam.

Dr. Ghaffar berkata, etika umum para imam antaranya hendaklah sentiasa memberi layanan yang mesra kepada semua pihak yang berurusan tanpa memilih kasih.

Katanya, imam juga ditegah terlibat dengan kegiatan yang menyalahi akidah seperti tahyul, khurafat, bidaah, kegiatan yang menyalahi undang-undang dan sebagainya.

"Mereka juga hendaklah sentiasa menghayati nilai-nilai murni dan sifat-sifat mahmudah (terpuji) antaranya ikhlas, penuh keazaman, amanah, tekun, cekap, semangat setiakawan dan menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah (tercela) seperti takbur, riak, bangga diri dan sebagainya," tambah beliau.

Untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti dan program yang bermanfaat, pastinya memerlukan kepada sumber kewangan yang mencukupi.

Ini juga antara tugas para imam sebagai salah seorang pegawai masjid. Mereka perlu bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa Masjid melampias otak mencari idea-idea bagaimana memantapkan ekonomi masjid.

Antara yang boleh dipertimbangkan adalah penyediaan kaunter zakat, pos, pembayaran bil setempat, kedai makan, farmasi dan sebagainya.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal, Jakim, Lukman Abdul Rahman dalam kertas kerjanya bertajuk 'Menjana Sumber Kewangan Masjid'.

Beliau turut mengesyorkan masjid mewujudkan kaunter penerangan terutama bagi masjid yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Selain itu, kaunter penjualan cenderahati boleh diwujudkan bersempena dengan ekspo atau pameran yang diadakan secara berkala di masjid-masjid.

Bagi masjid yang mempunyai kelengkapan peralatan, mereka boleh menyewa kemudahan dewan, kerusi, meja, sejadah dan peralatan dapur.

"Contohnya, dewan disewakan sebagai tempat majlis perkahwinan, seminar, perjumpaan kursus-kursus dan sebagainya.

"Bagi pasar Jumaat, pihak masjid boleh menyediakan tapak di tempat yang sesuai serta mewujudkan peraturan agar para perniaga atau pengusaha tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap agama terutama solat fardu," katanya.

Sepanjang kursus, para peserta dibawa melawat beberapa destinasi menarik. Antaranya, Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, Masjid Asy-Syakirin KLCC, Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Darul Quran di Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya berkata, objektif kursus antaranya adalah memperkenalkan ILIM sebagai tempat melatih para imam bagi meningkat kredibiliti imam yang berkualiti.

Selain itu, ia bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dan jaringan kerjasama antara imam-imam peringkat serantau.

"Kursus ini juga diharap melahirkan imam yang seimbang dari segi pembangunan rohani dan jasmani.

"Ia juga untuk memperkenalkan ILIM, Jakim dan Malaysia sebagai penyumbang ilmu dan latihan bukan sahaja kepada rakyat tempatan bahkan kepada negara-negara luar," katanya.

Sepanjang kursus peserta turut didedahkan dengan teknik penyampaian khutbah berkesan dan praktikal khutbah oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan tahsin qiraat oleh Mohd. Nazri Abdullah.

Isnin lalu, diadakan majlis penutup kursus yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz di ILIM.

Pada majlis beliau menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta kursus yang julung kali diadakan.

Para peserta turut menyampaikan beberapa lagu nasyid untuk memeriahkan majlis yang berakhir kira-kira pukul 11.30 malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: