Thursday, April 1, 2010

Cari projek kumpul dana


KEDAI makan turut diusahakan untuk menampung perbelanjaan seharian.


MENGGALAS tanggung jawab besar sebagai pengasas dan pengerusi sebuah rumah kebajikan untuk anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf zakat yang dinamakan Rumah Amal Limpahan Kasih memang banyak cabarannya.

Selain memastikan setiap keperluan anak-anak ini dipenuhi dan tersedia, pelbagai perkara lagi perlu difikirkan untuk keselesaan mereka sementelah tanggung jawab sebagai penjaga anak-anak ini terpikul di bahu.

"Tanggung jawab ini perlu kita penuhi apatah lagi keluarga mereka memberi keyakinan sepenuhnya untuk kita menjaga dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak ini," begitu tutur Rabaah Abdul Aziz ketika ditemui di rumah kebajikan berkenaan di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Rumah amal ini menurut Rabaah mempunyai enam buah asrama. Masalahnya keenam-enam bangunan ini yang menempatkan asrama puteri, tiga buah asrama putera, asrama anak-anak bermasalah sosial dan asrama warga emas bukan terletak di bawah satu bangunan.

"Kita terpaksa menyewa enam premis bagi menempatkan kira-kira 160 orang penghuni termasuk kakitangan dengan kos bulanan bagi makan, bil utiliti dan sebagainya mencecah sehingga RM45,000.

"Biarpun kita menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan orang-orang perseorangan sudah tentu ia tidak mencukupi memandangkan kos penyelenggaraan yang tinggi," ujarnya.

Bagi menyelesaikan masalah penginapan, Rabaah membeli sebidang tanah bagi tapak pembinaan sebuah Kompleks Pendidikan dan Kebajikan Ar-Rohmah Wal Barokah, Kampung Sri Aman, Batu 13 Puchong, Selangor.

Namun pembinaannya tertangguh beberapa kali akibat kekurangan dana.

"Pihak rumah amal memerlukan sekurang-kurangnya RM2.5 juta untuk melaksanakan projek pembinaan kompleks pendidikan dan asrama ini.

"Kita merancang selewat-lewatnya hujung tahun 2010 pembinaannya diselesaikan, masalahnya akibat kekangan duit," jelas beliau.

Menurut Rabaah, kompleks dan asrama seperti itu diperlukan terutama pada bulan Ramadan apabila anak-anak yatim dari negeri-negeri lain datang ke rumah amal itu untuk majlis berbuka puasa.

Kebiasaannya dia memberitahu, kanak-kanak yang dijemput khas ini terpaksa tidur berhimpit-himpit kerana kekurangan tempat.

Namun, dek semangat kuat untuk menjana anak-anak yatim di bawah tanggungannya terutama untuk perbelanjaan harian yang sering tidak mencukupi, Rabaah terpaksa melaksanakan beberapa projek berdikari di pekarangan asrama.

Antara projek yang dilaksanakan adalah perkhidmatan mencuci kereta, menjual pelbagai jenis bunga dan biji benih, butik dan jahitan pakaian, gerai burger, serta kafe kecil.

"Pelanggannya terdiri daripada orang-orang awam di persekitaran asrama, individu dan persatuan yang datang melawat ke rumah amal ini dan sebagainya.

"Projek-projek ini kita usahakan di sekitar asrama sahaja, kita tidak mahu penghuni di sini meminta-minta daripada orang luar. Wang yang diperolehi akan dimasukkan ke dalam tabung anak-anak ini untuk perbelanjaan harian mereka," katanya.

Selain itu, ibu bapa digalak 'menaja' anak-anak yatim di sini sebagai anak angkat dari mereka kecil sehingga tamat pengajian.

"Kita beri mereka peluang pilih anak-anak yang mereka mahukan. Bila musim cuti sekolah, ibu bapa ini boleh datang melawat anak-anak angkat mereka di sini atau membawa mereka untuk pergi bercuti.

"Mungkin mereka boleh meraikan majlis hari jadi atau bertanyakan keputusan peperiksaan," jelasnya serta menambah pihaknya juga mempunyai beberapa orang pelajar yang ditaja ke Mesir.

Berikutan isu pembuangan bayi yang berleluasa sekarang ini, Rabaah menambah sekiranya insan-insan berkenaan tidak mahu menjaga bayi-bayi itu, jangan dibuang sembarangan.

"Bagi sahaja pada rumah ini. Kami sanggup menerima dan membelanya. Anak-anak ini adalah amanah kepada kita, jangan kita berbuat sesuatu yang boleh menyebabkan bayi-bayi ini teraniaya dan meninggal dunia. Mereka berhak hidup," katanya yang boleh dihubungi di talian 019-222 7339 atau 019-334 9933.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: