Thursday, April 1, 2010

Anna rela 'hilang' keluarga


Sungguhpun suasana dan keindahan masjid sebegini tidak terdapat di Republik Slovakia namun hidayah Allah yang dianugerakan kepada Anna Arwa tiada siapa dapat menjangkakannya.


SUDAH ditakdirkan saya beragama Islam. Saya reda dengan ketentuan Allah SWT." Akur Anna Arwa, wanita kelahiran Republik Slovakia, Eropah Tengah.

Menurut Anna, dia melalui zaman kanak-kanak yang serba normal. Memiliki kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa serta sentiasa diawasi agar mematuhi norma-norma masyarakat.

"Apabila ada masalah, kami sekeluarga semuanya berusaha mengatasinya bersama-sama. Secara tidak langsung melahirkan satu suasana yang begitu ideal. Sekali gus membina satu pertalian rapat, saling memahami dan toleransi.

"Malah kehidupan harmoni dan keakraban antara kami sering dicemburui jiran dan saudara mara serta dijadikan contoh sebuah keluarga bahagia.

"Sehinggalah apabila saya berada di sekolah menengah, saya berpeluang mempelajari tentang takdir teman-teman sekelas yang lain, persekitaran sosial mereka dan norma-norma moral. Melihat kepada pengalaman itu, timbul juga rasa syukur kepada Tuhan kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang saya miliki selama ini.

"Pun begitu, walaupun saya percaya kepada Tuhan yang disembah selama ini, namun banyak perkara dalam agama anutan saya itu menimbulkan tanda tanya. Saat saya mahu lebih mengenali agama anutan saya, pada masa yang sama Tuhan telah meletakkan saya dalam satu situasi baru. Saya berkenalan dengan seorang yang baru memeluk Islam," kata Anna.

Sejak itu hati kecilnya mula serasi dengan banyak perkara berkaitan akidah Islam menerusi perbincangan antara mereka namun dipendamkan.

Tambah Anna, dia cuba menjalani kehidupan sebagaimana yang diajarkan oleh ibu bapa. Pun begitu, dia lebih suka mengambil prinsip dengar, fikir dan kemudian membuat keputusan.

Pegangan itu secara tidak langsung membawa kepada beberapa konflik dalaman. Sekali gus membawa kepada pencarian kebenaran serta mencari sebab kepada rasa tidak tenteram itu.

"Syukur alhamdulillah, 'penyiasatan' itu tidak mengambil masa yang panjang. Sebaik menghabiskan senaskah buku berkaitan agama Islam, saya temui jawapan yang membelenggu jiwa selama ini.

"Lantas saya terus bertekad inilah kepercayaan yang akan saya pilih. Kepercayaan kepada Allah yang satu dan tiada apa selain daripada-Nya.

"Sungguhpun hati ini meronta-ronta untuk bergelar Muslim, ia tidaklah mudah yang disangka. Saya takut dan bimbang jika keputusan saya itu akan membawa kepada penyisihan ahli keluarga dan saudara mara.

"Hakikatnya saya belum bersedia menanggung dan menghadapinya. Jadi, saya pendam perasaan dan berharap suatu hari nanti hasrat saya bergelar Muslim akan termakbul.

"Begitu pun, saya berusaha melaksanakan semua ajaran Islam selama lebih kurang setahun secara bersembunyi.

"Malangnya ia berjaya dihidu oleh adik perempuan yang dapat melihat perbezaan saya dari segi tingkah laku kerana dia juga mengetahui serba sedikit tentang agama Islam.

"Rupa-rupanya dia perasan, saya tidak lagi makan daging yang diharamkan Islam, meminum arak, cuba berpuasa dan membaca al-Quran," katanya yang sedikit sebanyak tertekan dengan penyembunyian rahsia tersebut.

Malah akui Anna, semakin lama rahsia itu berlarutan, semakin tenat perasaan yang terpaksa ditanggung.

Beliau juga bimbang, jika nyawanya diambil Allah, sudah pasti dia akan mati dalam kerugian. Mengetahui betapa nipisnya keimanan diri, Anna tidak putus-putus berdoa agar Allah panjangkan usianya dan memberi peluang untuk dia memulakan kehidupan baru.

Dalam tempoh itu jugalah, Anna berusaha mempelajari dan mendalami seberapa banyak ilmu agama demi kemantapan akidah Islam.

Allah maha berkuasa, di mana ia memudahkan perjalanan hijrah akidah Anna. Dia dipertemukan dengan bakal suami. Kehadiran lelaki itu telah menyakinkan Anna, seterusnya mempengaruhi keputusannya untuk menerima Islam dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.

Sokongan suami tidak terhenti di situ sahaja, dia mula menunjuk ajar ke jalan kebenaran.

Pada awalnya, ibu bapa Anna tidak mengetahui tentang pengislamannya. Namun ia tidak mengambil masa yang lama untuk rahsia yang dipendam itu pecah.

Akhirnya, saat-saat yang paling ditakuti terpaksa dihadapinya juga, di mana dia telah diberi kata dua; Islam atau keluarga.

"Saya berada dalam dilema. Mana satu harus saya pilih. Kedua-duanya penting bagi saya. Islam memang sukar diterima oleh mereka. Saat itu, saya tahu, saya dalam keadaan genting bagai telur di hujung tanduk. Namun kecintaan kepada agama Islam mengatasi segalanya. Saya memilih Islam.

"Keputusan saya itu dianggap menconteng arang di muka keluarga, terutamanya kedua-dua ibu bapa saya. Mereka tanpa teragak-agak tidak mengaku saya sebagai anak kandung mereka.

"Bagi mereka, saya seorang anak yang derhaka. Kekecewaan mereka melihat anak yang dibesarkan selama 18 tahun dengan penuh kasih sayang dan pengharapan, sanggup menikam perasaan mereka.

"Namun saya melihat situasi ibu dan ayah dari perspektif yang berbeza. Saya dapat lihat betapa rapuhnya kepercayaan kedua-dua ibu bapa. Malah sebaliknya memberi kekuatan dalaman pada diri saya.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana sentiasa diberikan petunjuk dan hidayah. Sekarang saya sedar nikmat dan kemanisan iman berkat daripada kesabaran saya selama ini," kata Anna.

Sejak itu, Anna bertekad menjadi muslimah sejati walaupun dia sendiri tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Namun keyakinan yang tidak berbelah bahagi Anna dengan ketentuan Allah, menjadikannya seorang yang optimis bahawa Allah akan menyediakannya kehidupan yang bermakna dan terbaik. Takutnya hanya pada Allah Yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: