Thursday, April 1, 2010

Remaja dan pelancongan Islam


Menjadikan masjid sebagai salah satu destinasi pelancongan adalah antara cara mengurangkan salah tanggapan bukan Islam tentang agama Allah ini.


TERIMA kasih atas cetusan yang menarik itu. Ya, sememangnya Allah telah menciptakan bumi ini untuk diterokai supaya minda manusia berkembang dan sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan. Terutama ilmu yang berkaitan dengan tafsiran al-Quran dan sebagainya. Sejarah membuktikan bahawa sejak zaman Nabi Adam lagi bermusafir, mengembara dan merantau untuk mencari ilmu tentang kehidupan.

Allah telah menciptakan bumi dan isi kehidupannya dengan penuh hikmah dan bijaksana. Allah menjadikan manusia berpasang-pasang dan pelbagai bangsa supaya manusia melakukan lita'arafu (saling kekenalan).

Pepatah Melayu juga ada menyebutkan 'Jauh berjalan, luas pemandangan'. Dengan kata lain, bermusafir dan mengembara sememangnya menambah ilmu pengetahuan terhadap sesuatu perkara, menjadikan manusia lebih dewasa, berfikiran lebih luas dan terbuka.

Sejak zaman Nabi Muhammad dan mungkin juga zaman terdahulu daripadanya, bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam.

Ia memang digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan terutama ilmu yang berkaitan tafsiran al-Quran dan sebagainya.

Lihat sahaja tokoh ulama yang terkenal seperti Hujjatul Islam Al-Ghazali yang merantau dan mengembara ke pelosok negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang .

Begitu juga ulama-ulama lain yang terkenal sehingga kini kerana kekayaan ilmu pengetahuannya hasil daripada pengembaraan yang tiada hujungnya seperti Imam Tarmizi, Abu Raihan al-Biruni, Ibnu Hanbal, Imam Syafie dan ramai lagi.

Malahan, Nabi SAW sendiri mengembara dan merantau ke setiap pelosok negeri untuk menyebarkan Islam kepada umatnya.

Mengenai soalan saudara tentang lawatan ke binaan atau kawasan sejarah yang menjadi bekas tinggalan jajahan, kerosakan ataupun kekejaman manusia, sesungguhnya ia adalah terpulang kepada orang yang melawat untuk menafsirkannya.

Adakalanya ia adalah sebagai peringatan kepada manusia tentang kesilapan umat masa lampau dan peluang untuk kita menginsafi dan mempelajari sesuatu daripada sejarah.

Dalam al-Quran ada diceritakan mengenai kisah-kisah umat yang dibinasakan terdahulu dan tempat-tempat yang dikatakan itu kini dijadikan sebagai tempat pelancongan.

Kawasan-kawasan tersebut bukanlah sekadar tempat melancong, tetapi tempat untuk menginsafi akan kekuasaan Allah dan betapa pentingnya mengamalkan hidup berdasarkan hukum syariat Allah.

Ajaran Islam tidaklah membataskan pergerakan manusia untuk bermusafir mencari pengalaman dan ilmu, tetapi mestilah disertai dengan niat yang baik untuk mempelajari sesuatu dan bukannya berbuat maksiat.

Hal ini menjadikan perjalanan bermusafir seseorang itu sebagai satu ibadah.

Malah dalam al-Quran, Allah berfirman (maksudnya): Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (al-Hajj: 46)

Begitu juga apabila kita melawat suatu kawasan yang cantik dan indah, adalah menjadi fitrah manusia untuk mengaguminya.

Lantas, sebagai remaja Islam, kita faham bahawa kejadian tersebut adalah ciptaan Allah yang Maha Agung dan tiada yang setanding dengan kekuasaan-Nya.

Batas-batasnya

Walau bagaimanapun, berkenaan melawat rumah-rumah ibadat bukan Islam, adalah lebih baik kita berusaha mengelakkannya kerana dibimbangi kita dianggap menganut agama tersebut, dan dikhuatiri menggugat akidah serta mengganggu perasaan kita sendiri.

Namun, jika rombongan pelancongan yang disertai membawa kita ke kawasan sedemikian tanpa pengetahuan kita, sebaiknya kita berusaha untuk keluar dari kawasan tersebut atau jika tidak mampu, kita hendaklah berusaha menunggu di luar kawasan tersebut tanpa memasukinya.

Begitu juga kita harus berhati-hati agar tidak terjebak dengan menyertai sebarang adat resam atau upacara masyarakat tempatan yang bercanggah dengan akidah dan syariah kita.

Situasi sedemikian dapat kita elakkan dengan mendapatkan pengetahuan awal tentang latar belakang tempat dan masyarakat yang hendak kita lawati.

Di samping itu, interaksi dengan pemandu pelancong, rakan rombongan serta penduduk setempat juga membolehkan kita mendapatkan maklumat lanjut tentang tempat yang dilawati.

Soal makanan halal juga isu penting terutamanya apabila kita mengembara ke kawasan di mana bukan Islam merupakan majoriti.

Hal ini bergantung kepada kebijaksanaan kita dalam mengenal pasti kehalalan sesuatu makanan.

Apa yang penting, sebagai Muslim kita perlu berusaha mendapatkan makanan halal dan toiyiban walau di mana kita berada, kecuali dalam sesuatu situasi darurat yang tidak dapat dielakkan.

Kesimpulan

Remaja Islam memahami bahawa Islam adalah satu cara hidup. Ini bermakna, ruang lingkup kehidupan tidak boleh lari daripada landasan Islam. Begitu juga dengan konsep pelancongan, mestilah mengikut batas-batas syariat dan tiada unsur-unsur maksiat. Ini meliputi peraturan seperti mengenai etika pemakaian dan adab. Ia tidaklah bermaksud menafikan kebebasan dan hak seseorang, tetapi ia adalah sebahagian daripada adab dan akhlak seseorang Muslim itu walau di mana ia berada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: