Wednesday, March 24, 2010

Amy tangguh bedah demi konsert

Amy tampil kelainan dalam konsert di IB

Amy Search begitu komited untuk memberikan persembahan terbaik dalam konsert Satu Masa Amy di Istana Budaya yang akan dipentaskan mulai 25 hingga 28 Mac ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Kesungguhan itu membuatkan dia sanggup menangguhkan pembedahan saraf pada bahagian leher yang sepatutnya dilakukan sekarang. Amy tidak mahu konsentrasinya terganggu. Sementelah dia hanya memerlukan pembedahan minor sahaja.

"Doktor kata ia pembedahan minor sahaja, tapi saya terpaksa tangguhkan sebab tidak mahu latihan dan persembahan saya terganggu. Saya tetap akan menjalani pembedahan selepas persembahan ini selesai," kata Amy semasa ditemui dalam majlis doa selamat menjelang pementasan konsertnya nanti.

Masalah yang dialaminya sekarang tidak mengganggu pergerakannya dan dia sihat sepenuhnya untuk meneruskan konsert istimewa itu.

Amy akui dia sangat teruja mengadakan konsert tersebut kerana ia tidak sama dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

"Keterujaan yang saya rasa sekarang sama dengan apa yang saya rasakan semasa mahu muncul dengan album sulung dulu sebab konsert ini menampilkan sesuatu yang baru untuk saya. Saya berlakon, menari dan bermonolog dalam konsert ini.

"Ia sesuatu yang berlainan dengan apa yang pernah saya persembahkan, walaupun berdebar saya sebenarnya bersemangat untuk mengadakan persembahan," kata Amy.

Fauziah puji semangat Amy

Fauziah Ahmad Daud diberi tanggungjawab sebagai pengarah konsert tersebut dan dia mengambil peranan besar dalam menghasilkan sesuatu yang baru dalam kerjaya seninya sementelah inilah buah tangan sulungnya sebagai pengarah pementasan di Istana Budaya setelah terpaksa menarik diri sebagai pengarah konsert Jamal Abdillah tahun lalu.

"Amy bukan pelakon dan menampilkan Amy dalam segmen monolog ialah sesuatu perkara yang sangat mencabar. Saya cabar diri daya dan saya cabar Amy untuk melakukannya dan saya puji semangat Amy yang mahu melakukan sesuatu yang dia tidak pernah bayangkan.

"Kalau pelakon bermonolog, ia ialah satu perkara biasa. Tapi membawa Amy Search bermonolog adalah sesuatu yang lain dari yang lain," kata Fauziah.

Fauziah juga menyifatkan Amy sebagai seorang yang mudah diajar walaupun dia terpaksa mendidiknya daripada sifar. Keinginan Amy sendiri yang mahu memberikan sesuatu kelainan kepada konsertnya membuatkan kerjanya menjadi mudah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: