BERBEZA kerjaya namun masih dalam cabang yang sama iaitu seni, Tiz Zaqyah dan Alyah pertama kali digabungkan dalam satu sesi fotografi. Dua wanita ini juga berkongsi persamaan apabila kerjaya yang dibina sedang melalui fasa popular.
Tahun ini memang menjadi impian wanita berusia 29 tahun ini mahu beraksi di majlis yang gah. Nah, niatnya itu dimakbulkan. Rasa macam bagai bulan jatuh ke riba. Selepas berjaya melangkah ke final Anugerah Juara Lagu ke 24 tempoh hari, dia diberi peluang pula beraksi di pentas ABPBH pula.
Anggun dibaluti persalinan rekaan dua sahabat yang mahu dikenali sebagai Jeffriey Raffiey sementara kilauan barang kemas tajaan Habib melengkapkan lagi penampilan mereka ketika sesi fotografi ini. Dua wanita ini merasakan penantian mereka selama ini berbaloi.
Dengan kilauan set nilam biru Habib bernilai lebih RM2 juta, Tiz yang pertama kali terbabit di dalam sebuah anugerah besar menyerahkan nasibnya di tangan takdir. Terlalu awal barangkali kata Tiz, justeru dia masih belum merasai lagi debaran. Gadis manis berasal dari Kuala Lumpur ini langsung tidak memikirkan mengenai kemenangan.
“Saya terlalu baru dalam industri ini, tiba-tiba semuanya datang dalam sekelip masa menyebabkan saya memerlukan sedikit ruang untuk membiasakan diri dengan semua ini. Ikhlas saya belum merasa sesuatu, barangkali pada malam kemuncak itu nanti barulah hati saya akan gementar.
“Bagaimanapun, demi membalas budi peminat yang selama ini menyokong Nur Kasih, saya mengikuti siri jelajah ABPBH. Saya mengambil kesempatan mempromosikan ABPBH untuk bertemu dengan peminat, ini saja cara saya untuk menunjukkan penghargaan kepada mereka,” katanya.
Bekerja di samping dua pereka muda Jeffriey Ibrahim, 30, dan Raffiey Nasir, 23, bukanlah baru buat Tiz. Sebelum ini, rekaan dua sahabat itu pernah digayakan ketika memenuhi undangan fotografi daripada media massa. Kebetulan dua sahabat ini menawarkan diri menghasilkan rekaan untuk digayakan pada malam kemuncak ABPBH kerana mahu kelihatan anggun. Tizz langsung bersetuju bekerja bersama mereka.
Alyah juga sudah biasa bekerjasama dengan Jeffriey Raffiey. Rekaan dua sahabat ini tidak pernah mengecewakannya, lalu dia berminat memanjangkan usaha sama dua pemuda ini untuk ABPBH nanti. Rekaan Jeffriey Raffiey akan digayakan Alyah ketika melangkah di permaidani merah.
“Saya sukakan sesuatu yang lain dan unik. Biarlah dikutuk sekalipun, saya tidak kisah. Saya suka bekerjasama dengan Jeffriey Raffiey kerana mereka faham kehendak Alyah. Mereka membuat kajian dan cuba mengesan apa yang Alyah suka dan tidak. Mereka juga tahu di mana perlu dilebihkan dan di mana perlu dikurangkan menyebabkan Alyah selesa bersama mereka.
“Kami pernah bekerja beberapa kali. Salah satu daripadanya ketika Separuh Akhir Muzik Muzik di mana Alyah menyanyikan lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara duet bersama dengan Riz,” katanya yang menggayakan set mutiara putih Habib bernilai RM761, 760.
Bakal mendendangkan lagu bagi sesi tribute, Alyah berkata, sudah lama dia mengintai peluang untuk beraksi di ABPBH. Katanya, tanyalah mana-mana penyanyi, semua pasti akan memberikan jawapan sama.
Gabungan pereka Malaysia, Singapura
MULA berkolaborasi sejak setahun yang lalu, Jeffriey dan Raffiey bukanlah baru dalam bidang rekaan fesyen. Sebelum bergerak sendiri, Jeffriey pernah menimba pengalaman di bawah butik Radzwan Radziwill selama lima tahun, manakala Raffiey pula pernah bekerja di butik terkenal di negara kelahirannya Singapura.
Bekerja berdua ujar mereka mempunyai pro dan kontra. Ada kala, ia memudahkan tetapi tidak menafikan ada ketikanya percanggahan pendapat tercetus. Jeffriey sukakan rekaan yang sarat dengan perincian, manakala bulu menjadi trademark rekaannya. Sementara Raffiey pula menyukai sesuatu yang ringkas.
Biarpun ada ketika timbul percanggahan idea, mereka berjaya menyelesaikannya secara baik. Bagi rekaan untuk Tiz, dua sahabat ini memilih biru firus kerana sesuai dengan warna kulit Tiz. Rekaan ringkas namun moden dijadikan pilihan untuk Tiz.
Manakala rekaan Alyah pula ujar mereka bakal menjadi ‘masterpiece’, fabrik berwarna hijau zamrud menjadi pilihan mereka. Bagaimanapun untuk Alyah, mereka akan menghasilkan gaun yang kelihatan dramatik.
“Kalau dulu kami hanya mampu melihat kegemilangan ABPBH menerusi surat khabar saja serta cerita dari rakan-rakan. Tahun ini kami berasa sangat bertuah kerana berjaya menjadi sebahagian daripada ABPBH. Peluang ini sangat baik untuk kami memperkenalkan nama Jeffriey Raffiey dan juga melebarkan sayap perniagaan kami,” kata Jeffriey.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: