Tuesday, March 23, 2010

AIM 17 lebih progresif


PENINGKATAN kepada 925 pancalonan mencatat angka yang tertinggi dalam sejarah penganjuran AIM 17.


MENYAKSIKAN penambahan pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17) mungkin menyalurkan respons positif bahawa industri seni suara tempatan sedang menuju ke arah pemulihan. Peningkatan kepada 925 pencalonan tahun ini mencatatkan angka tertinggi dalam sejarah penganjuran AIM.

Diakui pengenalan kategori single sejak tahun lalu memeriahkan acara penganugerah milik Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) itu. Namun, penambahan dari segi jumlah produk tidak membawa erti kualitinya turut meningkat.

Itu bukan pandangan umum tetapi apa yang dirumuskan oleh para juri yang bertanggungjawab menilai dan memilih senarai pencalonan akhir AIM 17 yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei ini pukul 8.30 malam.

"Walaupun jumlah pencalonan kita berada di tahap yang tinggi, namun, rata-ratanya tidak menampakkan peningkatan dari segi kualiti. Banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki tidak kira produksi lagu ataupun penulisan lagu.

"Itu pandangan umum oleh juri tapi ada juga lagu-lagu yang menyinar tahun ini," luah Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, Datuk Aziz Bakar pada sidang media mengumumkan senarai Top 5 AIM 17 baru-baru ini.

Peningkatan jumlah lagu juga mencatatkan keuntungan pasaran sebanyak RM101.8 juta tahun lalu berbanding RM76 juta pada tahun 2008. Kenaikan sebanyak 34 peratus itu bagaimanapun masih belum cukup untuk mengukuhkan lagi industri muzik. Bagi Aziz, masalah utama yang timbul adalah kerana kekurangan penulis dan penggubah lagu berbakat.

"Kita perlukan penulis dan penggubah lagu yang baru dan berbakat. Dalam dunia perniagaan muzik, lagu adalah produk utama. Contohnya, jika penyanyi itu kurang popular, namun, hanya dengan sesebuah lagu, ia mungkin akan mengubah nasibnya.

"Bagi penyanyi popular pula, jika mereka tidak mampu untuk terus memberikan lagu yang memuaskan pendengaran peminat, populariti mereka juga akan merosot. Ringkasnya, kualiti sesebuah lagu itu amat penting," kata Aziz.

Melihat senarai pencalonan akhir yang disertai oleh ramai pemuzik baru serta indie, perubahan struktur itu satu petanda baik untuk menyeimbangkan semula industri. Kemasukan artis baru yang mampu menggubah serta menulis lagu sendiri juga membantu menceriakan industri.

"Sebelum ini, kita jarang jumpa artis yang boleh menyanyi, menggubah atau menulis lagu sendiri. Sekarang kita ada penyanyi seperti Yuna, Bunkface, Meet Uncle Hussain dan Hujan yang mampu melakukannya. Orang berbakat seperti mereka akan menarik lebih ramai lagi orang baru untuk menyertai industri. Ia sekali gus boleh menaikkan taraf kualiti industri," jelas Aziz lagi.

Diketuai oleh Ramli M.S dengan bantuan 160 juri, pusingan penjurian dilakukan dua kali seperti tahun sebelumnya. Manakala kelayakan untuk pencalonan masih memerlukan album itu diterbitkan di antara tarikh 1 Januari hingga 31 Disember 2009.

Maka, apabila album terbaru Faizal Tahir, Adrenalin dicalonkan untuk kategori Album Rock Terbaik, ada yang tertanya-tanya mengapa produk itu layak sedangkan album itu baru sahaja dijual di pasaran bermula 11 Mac lalu.

"Sebenarnya, Faizal memang mahu memasarkan album itu tahun lalu. Namun, disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan, Faizal tidak dapat menyiapkan sesi fotografi untuk kulit album. Tapi lagunya, Bercinta sudah dipasarkan secara digital tahun lalu. Jadi dia sudah layak untuk bertanding," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 17, Rosmin Hashim.

Kategori Album Pop Etnik tidak akan dipertandingkan tahun ini kerana kekurangan album dan kualitinya kurang mencapai kriteria-kriteria juri.

Dalam 25 kategori yang dipertandingkan, dominasi sesetengah penyanyi dalam satu kategori juga ketara kelihatan. Adakah kerana lagu-lagu mereka terlalu bagus atau kerana kekurangan produk berkualiti sehingga menyebabkan sesetengah penyanyi itu dicalonkan dua atau tiga kali dalam kategori sama?

"Kalau cakap mengenai kategori nasyid, memang tidak ada banyak album nasyid yang diterbitkan. Jadi tidak hairan jika hanya kumpulan Rabbani atau InTeam menguasai pencalonan. Namun, produk mereka memenuhi kehendak dan kriteria penjurian.

"Bagi kategori lain, saya yakin juri membuat pilihan terbaik. Ini kerana pihak juri tidak duduk bersama semasa membuat undian. Mustahil jika semua juri membuat kesilapan yang sama," tambah Rosmin.

Majlis AIM 17 akan disiarkan secara langsung di saluran ntv7. Bagi menghangatkan lagi acara itu, ntv7 akan menyiarkan empat episod Prelude AIM 17 pada setiap Khamis bermula 8 April nanti pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: