ANUAR ZAIN seharusnya kini boleh bersenang hati. Pada usia 40 tahun, apa yang tidak dimilikinya. Kemasyhuran, kekayaan, dipuja dan hampir sempurna pada mata masyarakat, Anuar menjadi ikon lelaki berjaya yang harus dicontohi.
Tetapi hal itu tidak berlaku kepada Anuar. Dia sedar bahawa menjadi manusia, bersyukur dan sederhana adalah kunci mencapai hidup bahagia. Bermimpi untuk selesa di 'langit' itu terlalu ego bunyinya. Namun realiti, kata Anuar, biar hampir semua perkara sudah mencapai kesempurnaan, dia tidak suka mendabik dada.
Kehidupan adalah sebuah kelangsungan. Maka untuk mengekalkan kelangsungan itu, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain harus berusaha lebih keras demi memajukan diri, walaupun pada kedudukan kini.
"Sebelum ini saya pernah cakap kepada diri dan meluah kepada pengurus apa yang sudah dilakukan selepas hidup 40 tahun. Bahkan saya sering tertanya apa amalan atau kejayaan diperoleh sepanjang tempoh ini.
"Dalam waktu sama, saya ada bertanyakan pandangan kawan-kawan seusia tentang perkara ini. Rupa-rupanya, mereka cakap perasaan macam ini memang wujud tatkala mencapai umur macam saya.
"Begitupun, saya bersikap optimis mencecah usia 40 tahun. Itu adalah lumrah kehidupan. Angka 40 juga sebenarnya menjadi pembakar semangat kepada saya untuk mencapai banyak lagi kejayaan selepas ini," kata Anuar ketika ditemui pada sidang media Secretaries' Week 2010 Celebration With Anuar Zain di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur minggu lalu.
Sambung anak kelahiran Merlimau, Melaka itu, dia tidak pernah lupa memanjatkan kesyukuran kepada Sang Pencipta yang tidak henti-henti mencurah rezeki untuk dirinya dari dulu hingga sekarang.
"Alhamdulillah, album sudah ada, terima banyak undangan persembahan, pernah menjayakan program televisyen, dapat mengembara ke negara orang dan banyak lagi. Cuma selepas umur saya masuk 40 tahun pada 15 Februari lalu, saya terus fikir apa lagi yang hendak dibuat selepas ini.
"Sebenarnya ada banyak lagi impian belum direalisasi termasuk mengadakan konsert secara berskala besar demi menghargai peminat yang selama ini menyokong perjalanan seni saya.
"Saya juga belum mahu berhenti menyanyi. Kalau diizin Tuhan dan masih larat lagi, saya mahu terus menghiburkan orang ramai seperti Tan Sri SM Salim," jawabnya bersungguh-sungguh tentang rencana masa depan agar kekal memperlihatkan sinar cerah.
| |
| ANUAR ZAIN bersama Pengurus Besar Hotel JW Marriot, Mahmoud Skaf (tengah) dan model, Xandri Ooi (kanan) bersama replika tiket Minggu Setiausaha yang akan dianjurkan di hotel tersebut. |
Menyambung bicara, adik penyanyi popular Ziana Zain itu menterjemahkan 40 sekadar sebuah angka. Fizikal luaran, dia masih individu sama yang menghantui minda peminat sejak lebih dua dekad lalu.
"Tiada yang membezakan saya dalam soal ini. Cuma diakui, saya lebih matang dalam membuat sebarang keputusan untuk diri. Buat masa ini, saya mahu nikmati hidup dengan sebaik mungkin," jawabnya ringkas.
Cukup mementingkan penampilan luaran dan dalaman, Anuar mengaku mengamalkan rejim penjagaan diri agar wajahnya tidak dimamah usia.
"Saya cuci muka setiap hari dan pakai krim sama macam orang lain. Tidak hanya mementingkan wajah, saya memastikan dalaman juga diambil berat dengan mengamalkan minum air kosong sekurang-kurangnya empat botol air mineral.
"Selebihnya, muka yang kelihatan muda disebabkan genetik keluarga. Tengok saja orang tua saya (Zain Abdullah dan Robiah Abdul). Kakak saya (Ziana) yang berusia 42 tahun juga nampak macam anak dara.
"Adik saya nombor empat berusia 36 tahun dengan empat orang cahaya mata tetap dilihat macam wanita berusia 25 tahun. Saya bersyukur kerana lahir dalam famili awet muda," jawab Anuar yang menganggap istilah narsistik tidak wujud dalam kamus hidupnya.
Puas bercerita tentang diri, topik pembikinan album baru terus diperkata Anuar yang tidak sabar menghadiahkan peminat sebuah naskhah hebat pada tahun ini.
Barangkali ia sedikit sebanyak merawat luka Anuar setelah impian mengadakan konsert di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang sepatutnya direalisasi tahun ini tidak kesampaian akibat tiada penaja.
Album baru
Tiga tahun tidak muncul dengan album baru, Anuar dalam diam gigih mengumpul material. Terkenal sebagai figura mementingkan kesempurnaan, dia sanggup menanti agar naskhah itu diterbitkan dengan perincian tersendiri.
"Alhamdulillah, saya sudah dapat 10 buah lagu. Semua lagu ini sedang dihantar ke Jakarta, Indonesia untuk susunan muzik sebelum masuk studio untuk proses rakaman. Kalau boleh saya hendak rekod awal kerana perancangan untuk melancarkan album ini pada September nanti.
"Sukar sebenarnya cari komposer yang kena dengan konsep album baru saya. Ia ambil masa lama. Begitupun, nasib saya baik apabila dapat enam lagu daripada Adrian Martadinata, Ari Bias dan ramai lagi semasa pergi ke Indonesia beberapa bulan lepas.
"Kemudian saya dapat dua lagu daripada karyawan seni Singapura manakala dua lagi daripada Malaysia iaitu ciptaan Alvin Santiago dan Hazami. Saya masih mencongak sama ada mahu memuatkan 10 atau lapan buah lagu disebabkan kekangan bajet," jelas penyanyi yang menganggap dirinya normal, tetapi amat sempurna di mata pengikutnya.
| |
| ANUAR memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk pembikinan album terbarunya yang sedang dalam proses. |
Anak bujang pasangan Zain Abdullah dan Robiah Abdul itu turut gagah mengheret pembaharuan pada albumnya agar pendengar tidak mudah jemu dihidang karya jenis sama.
"Ada satu lagu berjudul Ajari Aku ciptaan Adrian Martadinata berentak alternatif pop rock yang jelas berbeza dengan corak nyanyian dan persembahan saya sebelum ini.
"Selain itu, saya tampilkan irama R&B sebab lama tidak nyanyi lagu seperti ini termasuk pop R&B. Lagu wajib lain adalah bercorak balada. Tidak boleh lari lagi sebab banyak permintaan daripada peminat," jawabnya.
Mengeluarkan wang daripada poket sendiri, Anuar tanpa berselindung menjelaskan, penghasilan album itu memakan perbelanjaan besar mencecah RM150,000 tidak termasuk kos promosi.
"Ada segelintir pihak cakap agak keterlaluan kalau memperuntukkan wang sebanyak ini membikin sebuah album. Demi menghargai peminat yang selama ini menyokong karier saya, tiada salah melakukan pengorbanan.
"Biarlah orang cakap jumlah kos RM150,000 itu boleh menampung dua album. Asalkan saya dan peminat berpuas hati dengan kualitinya, maka ia sudah memadai," ungkapnya yang bakal menyanyikan dua lagu barunya pada Secretaries' Week 2010 Celebration With Anuar Zain tidak lama lagi.
Minggu Setiausaha
Selepas melibatkan diri pada Minggu Setiausaha anjuran Hotel JW Marriot pada 2005 dan 2007, Anuar kini muncul semula di pentas sama menjayakan Secretaries' Week 2010 Celebration With Anuar Zain pada 14 dan 15 April ini.
"Saya bersyukur kerana dapat kepercayaan JW Marriot menjayakan acara besar ini buat kali ketiga. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya akan mendendangkan lagu-lagu popular serta dua lagu daripada album baru.
"Dalam tempoh satu jam, saya akan menghiburkan para setiausaha dan majikan dengan 10 hingga 12 lagu. Tidak terkecuali, ada beberapa lagu nyanyian teman-teman artis bakal saya nyanyikan pada hari itu.
"Paling pasti, saya mahu tetamu yang hadir terhibur menyaksikan persembahan saya. Menjadi tanggungjawab saya meraikan individu-individu yang selama ini begitu komited bekerja sebagai setiausaha bersama bos masing-masing," terang Anuar sambil tersenyum manis.
Peminat yang ingin menghadiri Secretaries' Week 2010 Celebration With Anuar Zain dikenakan bayaran RM420, RM460 atau RM575 setiap seorang. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2719 8666 atau menghantar e-mel kepada jwmsecweek@ytlhotels.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: