KUALA LUMPUR - Para penggiat industri kreatif yang masih tercari-cari dana untuk membiayai program berkaitan seni kini tidak perlu lagi gusar kerana kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi tujuan itu.
Peruntukan itu diberikan sebagai pemangkin kepada pembangunan industri kreatif seperti penerbitan filem, muzik, animasi dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan telah memberikan mandat kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menguruskan dana itu dengan menyediakan kemudahan pinjaman bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri tersebut.
"Tujuan pembiayaan adalah untuk menyediakan sebahagian pinjaman yang diperlukan untuk sesuatu penerbitan, pembelian aset dan lain-lain aktiviti berkaitan industri kreatif bagi tujuan komersial.
"Kemudahan pinjaman industri kreatif ini layak dipohon oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan aktiviti industri kreatif seperti pemilik tunggal, pemilik bersama dan syarikat sendirian berhad. Entiti perniagaan pula mestilah dikuasai sekurang-kurangnya 51 peratus oleh warganegara Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: