Friday, January 1, 2010

Nora, Memey, Irma harap sinar 2010



KETIGA-tiga artis jelita ini mempunyai cerita dan sejarah sendiri sepanjang tahun 2009 yang baru sahaja melabuhkan tirainya semalam. Namun dengan azam dan tekad yang baru, mereka mengharapkan 2010 memberikan kehidupan yang baik untuk mereka meneruskan perjalanan sebagai anak seni. Ikuti kisah mereka.

Permulaan baik buat Memey

Di saat usianya yang masih muda, aktres ini sudah berdepan kontroversi yang hampir meranapkan masa depannya.
Ekoran kes khalwatnya bersama Norman Hakim, dia tturun naik mahkamah sepanjang 2009.

Meskipun perit untuk mengharunginya, namun pelakon kelahiran Johor ini tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku
sebaliknya menganggap peristiwa itu sebagai satu pengajaran yang berguna.

“Tahun 2009 paling mencabar untuk saya. Sampai sekarang, saya masih cuba untuk mengatasi semua dugaan yang datang dalam
hidup saya. Saya cuba melihatnya dari sudut positif. Kalau dulu, orang tidak mengenali saya, tapi kini nama saya lebih dikenali,” kata
Memey.

Seperti insan lain, Memey juga mengharapkan tahun 2010 memberikan yang terbaik terhadap perjalanan karier dan juga kehidupan peribadinya.

Menurut Memey, besar harapannya untuk tahun baru ini. Selain ingin membuka ‘buku baru’ dalam hidupnya, Memey juga ingin
mengembangkan karier seninya. “Saya nampak permulaan untuk tahun 2010 ini memang baik kerana banyak tawaran lakonan yang menanti.

Untuk projek pertama, saya akan terlibat dengan telemovie ‘Salam Terakhir’ di samping pelakon Zul Huzaimi dan Intan Azura yang akan disiarkan di Astro menjelang awal tahun ini,” katanya.

Nora Danish ingin lupa peristiwa silam

Dua tahun lalu, pelakon jelita ini terpaksa menempuhi saat yang paling getir, apabila rumah tangganya bersama insan tersayang
akhirnya kecundang di tengah jalan. Namun demi buah hatinya, Putera Raiqal Ramli, hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Rizal
Ashram, dia gagah meneruskan kehidupan.

“Terus-terang hati saya masih lagi ‘sakit’ dengan apa yang berlaku. Tapi saya tidak akan berdendam dengan sesiapa pun. Walaupun saya dan Rizal sudah bercerai, namun kami tidak akan bermusuhan. Kami masih menjalinkan hubungan baik demi anak. Saya tak
mahu, anak kami menjadi mangsa di atas penceraian kami,” ujar Nora.

Demi tahun baru ini juga, Nora bertekad untuk melupakan segala kesedihan yang pernah menimpa dirinya. Dengan menggalas
tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Nora berharap tahun 2010 memberi nafas baru.

Selain itu juga, pelakon yang terkenal menerusi sitcom Puteri ini juga ingin merencanakan semula karier seninya yang semakin pudar. Nora bukan sahaja kembali membintangi beberapa drama tetapi juga bergelar pengacara untuk sebuah program terbaru di TV9 iaitu, I-Glam.

Irma ingin fokus pada karier

“Sempena tahun baru ini (2010), saya berharap sangat agar cerita tentang hubungan saya dan Nabil tidak terlalu diketengahkan. Bukannya tak boleh di sentuh langsung, tapi janganlah sampai menutup karier kami,” kata Irma setelah diajukan tentang azam dan
harapan sempena tahun baru ini.

Menurut Irma, dia agak terkilan apabila kisah cintanya dengan Nabil terlalu menjadi perhatian berbanding karier seninya. Pun begitu pelakon kacukan Melayu, Pakistan dan Cina Irma tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilihnya. Bagi Irma, ada baiknya
dia berterus-terang berbanding sesetengah pasangan yang mengambil keputusan untuk merahsiakan hubungan cinta mereka.

“Kalau dah selalu sangat orang tanya tentang hubungan kami, jemu juga nak menjawab. Asyik benda yang sama saja. Kalau keluar cerita tentang saya, mesti ada Nabil begitu juga dengan Nabil sehinggakan ia menutup karier kami. Lama-kelamaan orang ingat kami
tak buat kerja, tak ada perkembangan seni, sebab asyik keluar kisah cinta.

“Saya sedar, bukan semua orang suka kami bercinta dan setiap kali keluar kisah tentang kami pasti akan ada yang mencemuhnya. Jadi saya harap ‘kurangkanlah’ cerita tentang saya dan Nabil. Lagipun saya risau ia akan menggugat populariti Nabil” kata Irma yang pernah menjadi kekasih pada aktor kacak, Farid Kamil.

Sempena tahun baru ini juga, Irma mengharapkan agar perjalanan karier seninya juga semakin bertambah baik. Dalam mencipta nama sebagai pelakon, Irma juga mengharapkan agar peminat sentiasa menyokongnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: