Friday, January 1, 2010

“Saya masih lelaki tulen”



“Saya amat terkejut dan malu dengan cerita yang mengatakan saya menjalinkan hubungan dengan kaum sejenis seperti mana yang dilaporkan di sebuah akhbar (bukan terbitan Karangkraf) semalam,” jelas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Abdul Radzak ketika ditanya mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

Memetik laporan akhbar tersebut, seorang sumber yang tidak dikenali mendakwa pemain bola itu mempunyai ‘awek’ yang terdiri daripada kaum sejenis.

Akibat daripada laporan itu, Zaquan memberitahu yang dia telah menerima banyak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang bertanyakan kebenaran di sebalik timbulnya cerita tersebut.

“Tak benar cerita itu dan saya sendiri tak tahu bagaimana sumber itu boleh dapat cerita ini. Saya lelaki tulen dan tidak mungkin jatuh hati kepada kaum sejenis dengan saya,” tegas Zaquan.

Ditanya pada Zaquan, mungkinkah dia mempunyai rakan-rakan atau peminat yang terdiri daripada kalangan lelaki lembut sehingga boleh menimbulkan cerita ini, jelasnya, dia berkawan dengan semua orang dan tidak lebih daripada kawan biasa sahaja.

“Saya tegur semua orang dan bergambar dengan semua orang. Jadi, saya tidak tahu sama ada jika ada antara mereka yang menaruh perasaan terhadap saya kerana saya tidak tahu orang itu jenis yang bagaimana. Tapi bagi diri saya, saya anggap semua orang kawan biasa sahaja,” katanya lagi.

Oleh itu, Zaquan berharap agar dengan penjelasan ini, masyarakat tidak memandang serong pada dirinya kerana cerita itu adalah cerita yang tidak benar.

“Cerita ini saya anggap sebagai cubaan untuk menjatuhkan maruah serta memalukan saya dan keluarga. Saya benar-benar tertekan dan boleh menjejaskan tumpuan saya pada karier. Jadi saya berharap agar cerita ini tidak dipanjangkan lagi,” pohonnya.

Zaquan juga memberitahu yang dia telah berbincang dengan keluarganya mengenai hal ini. Menurut Zaquan, Kak Longnya percaya yang dia tidak seperti mana yang dilaporkan dan meminta agar dirinya bersabar dan berserah kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: