NILAI - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Sdn Bhd bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) menyerbu sebuah premis disyaki terlibat kegiatan mencuri air, kira-kira jam 11.30 pagi di lot kedai tiga tingkat di Putra Point, Bandar Baru Nilai, Nilai.
Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz, berkata, siasatan awal di tapak, pihak Span mendapati pemilik premis melakukan kesalahan di bawah seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA 2006).
Menurutnya, syarikat yang memiliki premis terbabit terlibat dalam industri pembuatan makanan dan premisnya dalam proses pengubahsuaian.
“Daripada hasil siasatan dan pemeriksaan dilakukan Span bersama dengan Unit Penguatkuasaan Sains, kami mendapati bahawa premis yang disyaki itu memperoleh bekalan air daripada satu sumber iaitu melalui penyambungan terus paip getah daripada paip utama Sains.
“Bagaimanapun penyambungan itu dibuat tanpa melalui sebarang meter air,” katanya.
Tambah beliau, semasa serbuan dilakukan di tapak, pihak Span telah menyita sambungan paip yang digunakan untuk membuat penyambungan.
“Berikutan itu, denda diperuntukkan di bawah seksyen 89(9) AIPA 2006 adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, katanya, ujian sampel air mendapati terdapat kandungan klorin sekali gus membuktikan air yang digunakan adalah air terawat dibekalkan Sains.
“Ia juga dipercayai air yang diperoleh melalui penyambungan paip air secara tidak sah untuk kegunaan pengubahsuaian dan keperluan harian pekerja,” katanya.
Operasi diketuai Pegawai Span, Mohadir Hid berakhir kira-kira jam 2.30 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: