Sunday, October 4, 2009

Keluarga Ismail Din dihimpit kesusahan


Siti Zubaidah bersama tiga daripada lima anaknya dari kiri: Makqiuddin, Mohd. Saifullah dan Mohd. Zakiuddin.


ESOK, 5 Oktober 2009 genaplah empat tahun pelakon veteran popular Ismail Din pergi meninggalkan kita. Allahyarham meninggal dunia di Tanah Suci, Mekah pada hari pertama Ramadan akibat serangan jantung ketika berusia 54 tahun. Dia tiba-tiba rebah semasa sujud akhir ketika melakukan solat sunat di depan Kaabah.

Kehilangan Allahyarham, pelakon Anak Mami The Movie itu amat dirasai oleh dua orang isterinya dan juga lima orang anak mereka.

Kehidupan keluarga Ismail Din selepas peristiwa sedih itu tidak seperti orang lain. Mereka dihimpit kesengsaraan kerana selama ini segala sumber perbelanjaan keluarga datangnya daripada Allahyarham. Semasa hayatnya Allahyarham berjaya menjadi contoh suami yang bertanggungjawab.

Isteri pertamanya Kalsom Idris, 52, dan isteri keduanya Siti Zubaidah Abidin, 44, tidak pernah bermusuh sebaliknya tinggal bersama di sebuah rumah teres di Keramat, Kuala Lumpur.

Allahyarham berkahwin dengan Siti Zubaidah selepas 16 tahun hidup dengan Kalsom tanpa dikurniakan cahayamata.

Demi zuriat, Kalsom membenarkan Allahyarham berumahtangga dengan Siti Zubaidah kerana bimbang tiada siapa yang dapat menjaga mereka pada hari tua nanti.

Tapi sayang, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya terlebih dahulu sebelum sempat melihat lima orang anaknya berjaya.

Anak-anak hasil perkahwinan kedua Allahyarham dengan Siti Zubaidah ialah Syuja'uddin, 20, Thohiratun, 19, Mohd. Saifullah, 16, Makqiuddin, 12, dan Mohd. Zakiuddin, 8.

Kira-kira tiga minggu lalu Pancaindera menjenguk keluarga Ismail Din yang hidup dalam kesempitan selepas pemergian Allahyarham.

Kata Siti Zubaidah tiada harta dan wang ringgit yang ditinggalkan suaminya tetapi sebuah rumah, kereta dan anak-anak sebagai pengganti diri.

Kehilangan Allahyarham amat sukar bagi keluarga ini kerana mereka berhadapan dengan pelbagai kepayahan.

Menurut Siti Zubaidah, dia bersama madunya terpaksa bekerja membuat kuih karipap dan kuih badak, sejuk beku untuk dijual.

Malah mereka juga mengambil tempahan membuat rempeyek bagi menampung hidup membesarkan anak-anak.

Dek kerana pendapatan perniagaan yang tidak menentu, hidup mereka bertambah sengsara sehinggalah terpaksa meminta bantuan daripada Baitulmal dan Pusat Zakat bagi mengurangkan beban.

"Alhamdulillah, dalam kepayahan yang kami lalui, pihak berkenaan sudi memberi peruntukan kewangan untuk pembelajaran tiga orang anak saya," katanya.

Kekurangan yang dihadapi kata Siti Zubaidah memaksa dia untuk berjimat dan membeli keperluan mana yang ada. Malah dia dan madunya dapat membahagikan tugas sama rata untuk membesarkan anak-anak.

"Kakak Kalsom (isteri pertama arwah) tugasnya selama ini menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah.

"Tugas saya pula memasak dan buat kerja-kerja dapur. Kami bahagi kerja sama rata. Malah Kakak Kalsom pun sayangkan anak-anak saya dan dia anggap mereka macam anak kandungnya sendiri.

"Walaupun kami bermadu, kami dapat hidup bahagia dalam satu rumah berkongsi kasih sayang dengan anak-anak selepas suami meninggal dunia," katanya yang turut memberitahu madunya menolak untuk dirakamkan gambar.

Tambah Siti Zubaidah lagi, dia masih berpegang kepada janji arwah supaya dapat memberi pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

sempurnaSyukurlah lima orang anak mereka dapat belajar dengan sempurna sementara dua daripadanya dapat menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi.

Anak sulung mereka Syuja'uddin merupakan pelajar kejuruteraan telekomunikasi di Kolej Multimedia, Semarak, Kuala Lumpur manakala anak kedua, Thohiratun, merupakan pelajar perubatan di Kolej Syahputra, Kuantan, Pahang.

Yang lain masih lagi menuntut di sekolah menengah dan sekolah rendah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Kata Siti Zubaidah lagi, anak-anak mereka sudah diajar hidup susah. Mereka tidak meminta-minta sebaliknya memahami kehidupan keluarga yang terdesak itu.

Jika tiada kelas, anak sulungnya akan bekerja sambilan mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan.

"Yang kedua pula anak perempuan, dia hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran sahaja. Insya-Allah, kalau ada rezeki tahun depan dia akan sambung pelajaran ke United Kingdom," katanya.

Berkongsi kisah duka, Siti berkata dia pernah hilang punca apabila tiada sumber kewangan sebanyak RM300 untuk membuat pasport anaknya sebagai syarat menduduki peperiksaan perubatan.

"Mungkin bagi setengah orang wang RM300 tu sikit tapi bagi keluarga kami, ia cukup banyak. Tapi tak apalah, saya percaya kesusahan hari ini adalah ujian sebelum memperoleh kesenangan hari esok," katanya.

Bercerita pengalaman menyambut Hari Raya Aidilfitri setiap kali Syawal, air matanya akan menitis kerana terkenangkan makanan kegemaran suami yang sukakan nasi beriani.

Sudah menjadi kebiasaan, Siti Zubaidah akan memasak makanan itu kerana suaminya gemar dengan hidangan nasi beriani selepas solat Hari Raya.

Dek kerana kenangan itulah selepas Allahyarham meninggal dunia, dia tidak lagi memasak makanan itu kerana tidak mahu hatinya tersentuh.

"Saya tidak boleh tengok nasi beriani. Kalau tengok, mesti saya menangis. Sebab itulah saya tidak lagi memasak nasi beriani selepas abang meninggal dunia," ujarnya.

Kehilangan suami banyak mengajarnya dia untuk berdikari selain berjaya mendidik anak-anak agar cemerlang dalam pelajaran.

Syukur juga ketika dia berada dalam kepayahan, rumah kebajikan, Persatuan Penyayang Nur Iman yang bertempat di Setapak, Kuala Lumpur sudi membantu dengan memberi khidmat nasihat untuk dia tabah menjadi orang yang berjaya.

Rumah kebajikan itu menyediakan keperluan makanan jika diperlukan selain memantau perkembangan anak-anak.

Siti berharap kesempitan hidup yang dialaminya ini dapat dijadikan panduan oleh mereka yang senasib dengannya supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak selain cekal menempuh dugaan hidup.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: