Sunday, October 4, 2009

Jelitawan Gamat beraksi


Jelitawan Gamat (dari kiri) Eewen Teoh, Amy Mastura, Natasha Hudson dan Anith Aqilah.


SETELAH lebih sebulan menutup panggung sempena Ramadan Al-Mubarak, kini Panggung Sari, Istana Budaya dimeriahkan dengan teater kanak-kanak Gamat yang telahpun mula dipentaskan semalam.

Muzikal Gamat ini sudahpun dipentaskan untuk kali kedua dan semestinya banyak pembaharuan yang dilaksanakan bagi memberi kepuasan kepada penonton.

Pelbagai perancangan yang telah diatur oleh pihak produksi di bawah pimpinan Zaifri Husin dan sudah pastinya ramai yang menantikan buah tangan pengarah itu.

Ramai yang mengakui kehebatan Zaifri ini tak kala datang menyaksikan pementasan Mana Setangginya, satu naskhah yang hampir 10 tahun tidak dapat dipentaskan.

Menarik mengenai muzikal Gamat ini sudah pasti melibatkan kostum dasar laut dan ditambah dengan atmosfera laut seolah-olah penonton dibawa masuk menyelami sendiri hidupan yang terdapat dalam laut.

Tumpuan sudah pasti terletak pada tunjang utama muzikal Gamat, Amy Mastura yang membawakan watak Ibu Gamat.

Menurut Amy lagi, dia sendiri merasa sangat teruja untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Ibu Gamat dan pelbagai persiapan sudahpun dilaksanakan sebaik sahaja diberikan kepercayaan membawakan watak utama.

"Bagi saya banyak cabaran yang terpaksa ditempuh bagi memastikan muzikal ini dapat dipentaskan sebaik mungkin.

"Untuk menjadi Ibu Gamat bukanlah satu watak yang mudah memandangkan banyak pergerakan yang terpaksa dibuat semata-mata mahu menyerupai pergerakan gamat.

"Kadangkala ada pelakon kanak-kanak yang mengajar kita cara untuk bergerak dan itu merupakan satu cabaran yang besar bagi saya," katanya.

Ini bukanlah teater pertama yang disertai oleh Amy Mastura memandangkan dia pernah menjadi tunggak utama dalam pementasan teater Siti Di Alam Fantasi lapan tahun lalu.

Bagi Natasha Hudson pula, bidang teater seakan-akan sudah sebati dalam dirinya dan ternyata dia begitu gembira apabila diberi peluang menjayakan muzikal Gamat ini.

Natasha yang membawakan watak buntal ternyata sangat gembira apabila diberi peluang bekerja di bawah pengarah Zaifri Husin.

"Saya melakonkan watak buntal yang menjadi polis laut. Biarpun watak ini nampak hodoh tetapi ia sangat comel dan menarik bagi saya.

"Bekerja dengan kanak-kanak membuatkan saya begitu teruja kerana pelbagai kerenah kanak-kanak yang begitu mencuit hati saya," kata Natasha yang pernah membintangi teater muzikal Ibu Zain.

l Cabaran baru

Pengalaman pertama kali beraksi sebagai pelakon teater ternyata memberikan dimensi baru buat Anith Aqilah yang dicungkil bakatnya dalam program realiti One In A Million musim ketiga.

Mungkin rezeki berpihak kepada dirinya apabila terpilih membintangi muzikal Gamat walaupun wataknya itu baru sahaja dicipta.

"Sebenarnya saya sendiri tidak mempunyai pengalaman berlakon. Sudah pasti ia memberikan cabaran yang sangat besar pada diri saya kerana banyak perkara yang perlu dipelajari.

"Membawakan watak anak gamat merupakan sesuatu yang begitu mengujakan. Cuma paling saya takuti apabila membuat kesalahan di atas pentas memandangkan penonton akan dapat mengesan terus kesalahan tersebut," kata Anith lagi.

Akui Anith lagi, dia sangat menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh semua pasukan produksi dan pelakon-pelakon lain yang tak jemu memberikan tunjuk ajar kepada dirinya.

Seorang lagi pendatang baru dalam dunia teater muzikal arus perdana, Eewen Teoh mempunyai cerita tersendiri. Dia yang membawakan watak Obor-Obor ternyata cukup terharu menjadi pelengkap kepada muzikal ini.

Kata pengacara rancangan What Say You di saluran RTM1 ini lagi, banyak pengalaman baru yang ditempuhi kerana selama ini dia banyak terlibat dalam teater underground.

"Menyanyi dan menari sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Sejak kecil lagi saya sudah diajar dan kini sudah tiba masanya saya mengaplikasikan ilmu yang saya ada.

"Ternyata, semua ini cukup mematangkan dan memberikan impak yang besar dalam diri saya," kata bekas penuntut universiti di Taiwan ini.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai teater muzikal Gamat ini boleh melayari www.muzikalgamat.blogspot.com atau www.ticket2u.biz untuk tempahan tiket.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: