Sunday, October 4, 2009

Jangan burukkan saya - Norish




Belum terlewat saya nak mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Norish.

Terima kasih. Selamat Hari Raya juga daripada saya. Terkejut juga malam ini ada wartawan telefon. Kenapa?

Ada perkara saya nak tahu. Lebih baik saya tanya Norish dan jawapannya keluar dari mulut Norish sendiri. Betul ke digugurkan daripada Spa Q?

Entahlah, susah nak cakap tapi saya terpaksa jelaskan juga kerana perkara ini dah heboh. Dah macam-macam persepsi dan tuduhan yang tak benar diperkatakan terhadap saya. Kebetulan Pancaindera telefon saya malam ini, biarlah saya berterus terang saja.

Elok macam tu. Paling tidak menjelaskan persoalan yang bersarang di fikiran orang selama ini.

Sebenarnya macam ni. Saya tahu yang saya digugurkan pun apabila ada sumber-sumber yang bertanya kepada saya. Bila saya selidik sendiri, akhirnya saya dapat kebenaran memang watak Qistina dalam Spa Q musim ketiga akan diberikan kepada orang lain. Tak apa, saya anggap ia bukan rezeki saya tapi saya kecewa beberapa perkara.

Apa perkara itu?

Lepas hari raya saya dengar cerita daripada satu sumber mengatakan saya disingkirkan kononnya saya ni ada masalah disiplin. Padahal saya dengan produser (Zaiton Mohd. Jiwa) baik. Saya dengan pengarah pun baik. Di mana silap saya kerana selama ini saya memberikan komitmen sepenuhnya dalam Spa Q musim pertama dan kedua? Saya memang sedih dan kecewa.

Takkan mereka tak berurusan dengan Norish secara professional?

Tidak langsung. Saya dengar nama saya digugurkan pun daripada orang lain. Itupun nasib baik lepas raya hari tu saya telefon dan tanya dia orang untuk dapatkan penjelasan.

Khabarnya sebelum Ramadan lalu Norish dah dapat skrip untuk 13 episod. Ini bermakna Norish disenaraikan untuk drama itu pada peringkat awal?

Memang betul. Sebelum puasa saya dah dapat skrip. Dia orang kata lakonan saya diperlukan. Dia orang maklumkan kepada saya supaya bersedia untuk penggambaran pada bulan Oktober ini. Saya pun gembira dan membuat persiapan rapi. Saya sudah beli baju, buat sambungan rambut, beli kain untuk tempah baju dan macam-macam lagi bagi menyesuaikan watak saya sebagai Qistina. Tapi sedihnya lepas raya nama saya gugur.

Adakah Norish tahu selain masalah disiplin apa punca lain nama digugurkan?

Saya mendapat tahu ada pihak-pihak berkenaan yang mahu menggugurkan saya dengan alasan muka saya kerap sangat keluar di TV3. Dalam Wanita Hari Ini (WHI) pun saya jadi pengacara. Drama-drama lain yang ada saya pun selalu keluar di TV3. Sebab itulah mereka tak mahu saya terlibat dalam Spa Q kali ini. Alasannya tak nak imej TV3 saya tu ada di saluran televisyen lain.

Ia memberi kesan kepada Norish?

Banyak sangat. Bayangkan dari bulan Ogos lepas saya terpaksa tolak banyak tawaran berlakon kerana nak bagi komitmen dengan Spa Q ini. Saya tak mahu ambil banyak tawaran takut tak boleh bagi masa sebab saya ni kalau berlakon komitmen saya seratus peratus. Bayangkan kerana orang singkirkan saya pada saat-saat akhir, saya dah hilang banyak sumber pendapatan. Kalau dah tak kerja berbulan-bulan, macam mana nak bayar bil, nak sara anak? Saya ni ibu tunggal, nak kena tanggung banyak benda tapi mereka tak faham masalah itu.

Mungkin benar mereka takut ada pergaduhan di lokasi seperti yang dihebohkan dulu.

Saya tak pernah gaduh dengan sesiapa. Kalau saya kaki gaduh, buat apa awal-awal lagi dia orang bagi skrip pada saya? Sebenarnya saya orang paling diam di lokasi. Habis penggambaran saya terus balik rumah. Itu kerja saya selalunya. Saya faham mungkin tak ada rezeki tapi jangan burukkan saya. Itu saja saya minta.

Apa yang dapat Norish katakan apabila watak Qistina itu digantikan dengan pelakon lain?

Pandangan saya senang saja. Kita pernah tengok cerita Opah. Betul tak? Kalau nak tukar opah dalam drama tu, lebih baik la buat drama lain sebab ia akan jadi tak menarik. Begitu juga dengan saya. Kalau nak tukar ibunya, tukar jugalah anak-anak. Kenapa nak tukar mak tapi anak-anak masih pelakon yang sama? Dalam hal ni stesen televisyen sepatutnya membantu artis kita. Tak adil kalau seseorang itu kerap keluar di sesebuah stesen dia dinafikan hak oleh stesen televisyen lain. Ia tindakan yang salah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: