Sunday, October 4, 2009

Puteri Sarah: Awas orang itu!




Puteri Sarah Liyana, cantik dan tinggi orangnya. Nak disuruh "berposing" pun tak ada masalah. Dia boleh buat. Yalah... itulah mudahnya apabila seseorang itu sudah mempersiapkan dirinya untuk bergelar artis. Bukan sahaja perlu memahami dialog tetapi sebagai individu yang mahu mengembangkan bakat dalam bidang seni, mereka harus mempunyai asas untuk beraksi di hadapan kamera.

Bukan hendak mengampu tetapi saya memuji kebolehan gadis berusia 24 tahun ini. Dia memang mahir apabila diminta memberi pose-pose menarik di hadapan kamera. Itu semua hasil daripada pengalaman luasnya menjadi seorang model sejak berusia 19 tahun lagi.

"Memang saya cintakan dunia seni. Sebab itulah saya dapat melakukannya dengan baik," katanya.

Malah yang lebih penting, gadis ini mudah mesra dan bijak berkomunikasi tanpa mahu berselidung ketika menyusun kata.

Yalah, buat apa menjadi artis yang hipokrit. Lambat laun memakan diri. Bagi Sarah, adalah lebih elok bercakap jujur daripada terlalu hendak menunjuk baik.

Amat bersyukur kerana mendapat peluang menjadi penghias muka depan Pancaindera kali ini, ujar Sarah, apa yang diharapkan dunia seni yang dipilih akan membawanya kejayaan.

Tapi sayang, tatkala dia mahu membuktikan bakatnya dalam seni itu, hidupnya sudah diganggu dan diuji dengan cerita-cerita yang kurang enak. Kenapa begitu?

Ada orang kurang senang

Cabaran pertama Sarah dalam dunia seni apabila dia mendapat tawaran berlakon filem Aduh Saleha oleh pengarah M. Nasir beberapa tahun lalu.

Waktu itu ramai yang berteka-teki siapakah wanita bertuah yang akan menjadi heroin kepada Mawi dalam filem itu. Tapi sayang, Aduh Saleha memang benar-benar aduh! Bungkus begitu saja.

Kata Sarah, dia mendapat malu gara-gara filem itu hanya bergerak separuh jalan.

"Macam mana tak malu sebab orang anggap saya popular berdasarkan kepada kisah sensasi sahaja. Pada waktu itu nama saya diperkatakan dan seolah-olah orang nak tahu bolehkah saya ni berlakon?" soalnya.

Tapi dia tidak menolak gara-gara kontroversi itu juga berjaya mengangkat namanya pada hari ini. Sayangnya ketika dia sedang membentuk kehebatan diri untuk bergelar seorang pelakon, macam-macam pula perkara yang tidak enak didengar.

Kata Sarah, dia sedang memerhatikan gelagat seorang artis wanita baru yang cuba menyebarkan berita buruk tentangnya.

"Awas!... artis itu saya nak ingatkan, jangan sampai saya hilang sabar," kata Sarah memberi amaran.

Bukan hendak cari fasal, jauh sekali ingin bergaduh, Sarah amat kecewa apabila artis berkenaan mula menabur pasir di dalam periuk nasinya.

Saat ditanya apakah masalah yang berlaku, tanpa mahu berselindung, ujar Sarah, artis berkenaan telah menyebarkan cerita kononnya dia mempunyai masalah disiplin.

Perbuatan itu, ujar Sarah akan menyebabkan pengarah dan juga penerbit filem memandang buruk sikapnya sedangkan dia bukan gadis sebegitu rupa.

"Saya hairan, kenapa orang itu sanggup melemparkan fitnah terhadap saya sedangkan dia pun pelakon baru yang masih merangkak lagi dalam seni.

"Nasihat saya hanya satu. Jangan terus melemparkan tuduhan yang tak betul kerana apa yang diperkatakan itu akan sampai juga ke telinga saya," kata pemilik bintang Sagittarius ini.

menurut gadis kelahiran London ini perkara tersebut benar-benar telah mencalarkan namanya.

Masih bersama Amar

Selain bungkusnya filem Aduh Saleha, kisah sensasi yang memalitkan dakwat hitam dalam hidup Sarah apabila tersebarnya gambar "panas" dia dengan kekasihnya, Amar, seorang pelakon baru.

Isu gambar-gambar mesra di tepi kolam renang itu walaupun sudah lama berlalu tetapi masih diperkatakan orang sampai hari ini. Tidak menafikan terkejut dengan penyebaran gambar-gambar peribadi itu, akui Sarah dia menganggap ia pengalaman yang mematangkan.

Tetapi jelasnya itu semua kisah peribadi. Ia sepatutnya menjadi hak eksklusif seseorang dan bukan untuk diperdebatkan. Bagi Sarah, satu saja. Asalkan dia tidak mendatangkan masalah kepada orang lain sudah cukup.

Sebab itulah, walaupun gambar berkenaan menjadi isu panas sedikit masa dulu tetapi percaya atau tidak, dia masih mendapat banyak tawaran berlakon.

Bukan angkuh tetapi ia adalah fakta, tegas Sarah. Semuanya kerana dia mempunyai sikap yang tidak pernah menimbulkan masalah walaupun kisah peribadinya cuba dilondehkan.

"Seperti yang saya katakan, selama ini saya tidak pernah menimbulkan masalah dengan sesiapa. Jadi, pengarah atau penerbit drama masih percaya tentang bakat saya. Bukan mahu melihat kontroversi yang berlaku," katanya.

Bercerita hubungannya dengan Amar, jujurnya mereka masih lagi berkawan. Setakat ini cintanya terhadap Amar seorang. Tetapi untuk bercakap soal kahwin bukan masanya lagi. Terlalu awal disebabkan kedua-duanya masih lagi mentah dalam percintaan.

Dalam masa yang sama Sarah pun masih lagi menuntut. Adalah lebih baik dia memberi tumpuan terhadap pelajaran dan masa depan daripada memikirkan soal berumah tangga.

"Tetapi orang tua selalu bercakap mereka nak tengok kami kahwin. Yalah... takut nanti timbul perkara yang tak baik. Tapi itu la... nak kahwin pun kerja tak ada lagi ni," ungkapnya berseloroh.

Sarah yang merupakan penuntut di Kolej Taylors dalam jurusan pelancongan dan hospitaliti berkata, jika tak ada aral melintang dia akan dapat menghabiskan pengajiannya pada tahun hadapan peringkat ijazah.

Jadi pada masa ini banyak tawaran berlakon terpaksa ditolak semata-mata mahu memberi tumpuan terhadap pelajaran terlebih dahulu.

Mahu menjadi artis yang berpendidikan, Sarah amat mengagumi penyanyi Dr. Fazley Yaacob, Allahyarham Sudirman dan Aznil Nawawi yang berjaya dalam pelajaran dan bidang yang mereka pilih.

Kata Sarah, dengan pendidikan saja akan membawa seseorang untuk lebih berjaya dan tibalah masanya artis pada hari ini mempunyai ilmu di dada.

"Buat masa ini, saya hanya akan ambil tawaran berlakon yang tidak mengganggu pelajaran saya.

"Mungkin pada tahun hadapan saya akan bergiat aktif dalam bidang seni," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: