Saturday, October 3, 2009

Geng Bas Sekolah Hero Kanak-Kanak Malaysia

geng bas sekolah

Zainir Aminullah bersama pelakon Geng Bas Sekolah.

Jika dulu, kita sering disuapkan dengan hero dari luar negara seperti Superman, Batman, Gaban, Doraemon dan sebagainya namun kanak-kanak Malaysia tidak pernah mempunyai hero yang bercirikan identiti sendiri. Kita hanya mampu mengagumi bakat kreatif luar dan sebolehnya meniru setiap apa yang dilakukan di dalam skrin tv.


Namun atas kesedaran itulah, ramai penerbit mengambil langkah mewujudkan superhero Malaysia dan terciptalah Keluang Man dan Cicakman. Namun tidak banyak siri yang memaparkan kanak-kanak sebagai penyelamat keadaan. Dan atas sebab itu jugalah, Astro Ceria (saluran 611) mengambil peluang menerbitkan program khusus untuk kanak-kanak yang telahpun berjaya melangkah ke musim ketiga iaitu Geng Bas Sekolah (GBS).

Rancangan ini memaparkan kanak-kanak sebagai penyelamat sesuatu situasi dan tidak bergantung kepada orang dewasa untuk berjaya. GBS cuba menunjukkan teladan bagaimana seorang kanak-kanak harus bertingkah laku. Musim baru drama ini bakal mengenengahkan bakat baru iaitu adik Muhammad Izz Irfan (Fendi), Alya Sabrina (Nora), Wong Denyse (Emily), Hariharan a/l Shanmuganathan (Vijay), Amir Johar (Hafiz) dan Asrul Zaidi (Abang Reza).

Zainir Aminullah

Zainir Aminullah

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Encik Zainir, Astro tidak pernah jemu membekalkan program berkualiti yang menghiburkan di samping memberi pengajaran untuk disajikan kepada penonton khususnya golongan kanak-kanak. Tambahnya lagi, setiap episod akan meninggalkan kesan positif dengan mengajar kanak-kanak untuk berdikari dan berfikir dengan bijak yang jelas dapat dilihat menerusi unsur pengajaran moral yang diselitkan.

"GBS juga bukanlah semata-mata hanya untuk program sisipan kerana kami telah menjadikannya rancangan tetap di Astro Ceria dan merupakan salah satu rancangan kanak-kanak yang sungguh popular selain Tom Tom Bak. Sambutan yang sungguh menggalakkan ini akan membuka ruang penerbit lain untuk berkarya dalam rancangan untuk kanak-kanak. Kami amat berbangga apabila rating GBS hampir setaraf dengan rating untuk rancangan drama popular di Astro," tambahnya lagi.

Bagi pelakon kecil GBS, mereka menyatakan perasaan teruja kerana berpeluang untuk muncul di kaca tv.

Menurut Irfan tiada masalah untuk mereka membahagikan masa antara lakonan dengan pelajaran kerana waktu penggambaran hanya akan dilakukan semasa cuti sekolah.

"Bila dekat sekolah, kawan-kawan akan menjerit GBS apabila melihat saya," ujar Alya yang membawa watak pengawas yang bertudung dan berdisiplin.

Sememangnya keletah anak-anak kecil ini bisa membuatkan hati tersenyum simpul akan gelagat mereka dan bukanlah satu perkara yang mustahil sekiranya GBS akan mendapat peminat baru dari golongan penonton dewasa.

Drama 26 epidos ini mengisahkan lima murid yang mengenali satu sama lain sewaktu menaiki sebuah bas sekolah yang sama. Untuk musim terbaru, GBS dikembangkan kepada sebuah geng yang lebih berani dan bijak menyelesaikan misteri yang dihadapi. Pengembaraan hebat ini dapat disaksikan setiap Jumaat jam 2.00 petang menerusi Astro Ceria.

1 comment:

  1. Danny_ Hiroshi _Nagano9980January 24, 2010 at 3:42 PM

    hmm....tak heran langsung "ULTRAMAN TIGA" dgan "ULTRAMAN" yg lain 2 lgi hebat dri gbs ni

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: