Saturday, October 3, 2009

Malaysia dekat di hati





Black Eyed Peas tetap teruja setiap kali buat persembahan di Kuala Lumpur

SEBELUM ini kunjungan mereka ke Malaysia tidak pernah mendapat bantahan dari mana-mana pihak. Dua kali mereka mengadakan persembahan di negara ini. Kehadiran mereka disambut dengan permaidani merah.

Tetapi untuk kunjungan kali ketiga ini, nampaknya mereka terpaksa berdepan dengan cabaran apabila konsert mereka yang berlangsung di Sunway Lagoon minggu lalu mendapat bantahan segelintir masyarakat kerana penganjurnya ialah sebuah syarikat minuman keras.

Kebetulan ketika kumpulan hip hop dari Amerika Syarikat ini tiba di ibu negara, isu bantahan konsert penyanyi sensasi, Beyonce juga sedang hangat diperkatakan. Jadi, secara tidak langsung, kehadiran Black Eyed Peas (BEP) turut mendapat tempiasnya.

Sebagai memahami budaya Asia dan mempelajari tatasusila penduduknya, sudah tentu bantahan seperti itu mengejutkan mereka.

Ketika ditemui dalam satu temubual bersama Hip, Will.i.am mengakui sewaktu mendapat perkhabaran mengenai bantahan itu, semua anggota BEP terkejut dan seakan-akan tidak percaya dengan berita itu.



"Saya dapat tahu mengenai bantahan itu menerusi kiriman SMS seorang teman. Pada mulanya tidak percaya tetapi apabila kami melihat di dalam internet barulah kami percaya cerita itu benar. Lantas kami menelefon pihak pengurusan untuk mendapatkan kesahihan cerita itu.

"Apabila ini berlaku, kami tertanya-tanya bagaimana boleh jadi begini sedangkan kami sedaya upaya mengikut segala peraturan yang ditetapkan. Lagipun ini bukan kali pertama kami mengadakan persembahan di Malaysia. Malah untuk dua persembahan kami sebelum ini iaitu pada tahun 2004 dan 2007, sambutan yang diberikan cukup baik.

"Bagaimanapun, kami faham, setiap yang berlaku itu ada sebabnya dan mujurlah salah faham itu dapat diselesaikan," ujar Will.i.am

Walaupun mendapat bantahan pada peringkat awal namun akhirnya konsert yang diadakan di Taman Tema terkenal di Lembah Klang itu berjaya diadakan tanpa sebarang kekecohan. Konsert selama 90 minit turut dihadiri lebih 5,000 penonton.

Ditanya adakah pernah berdepan dengan situasi yang sama ketika membuat persembahan di negara yang majoritinya beragama Islam, penyanyi itu menjawab apa yang berlaku itu adalah pengalaman pertama buat mereka.

"Kami pernah membuat persembahan di Dubai tetapi semuanya lancar. Mungkin sesetengah negara berlainan dasarnya. Apapun, kami gembira kami tetap dapat menghiburkan peminat di sini. Lagipun Malaysia memang dekat di hati kami.

"Kami merasa teruja kerana dapat kembali ke Malaysia dan kami gembira setiap kali kami berada di Kuala Lumpur. Bukan saja mempunyai makanan yang enak tetapi juga peminat yang hebat," pujinya.

Seperkara yang menarik mengenai kumpulan ini adalah kebanyakan lagu mereka cukup catchy dan melodinya mampu membuatkan tubuh kita bergoyang mengikut irama lagu. Namun, ada juga yang mendakwa lirik lagu mereka kosong dan tidak membawa sebarang makna. Ketika diajukan pertanyaan itu, Will.i.am memberikan justifikasi terhadap hasil kerja mereka.

"Kami mencipta muzik dan lirik adalah sekadar untuk hiburan dan juga keseronokan. Kalau kami mahu menulis sesuatu yang bermakna, lebih baik kami menulis sesuatu yang berilmu seperti buku sains atau kitab suci yang mengajak manusia membuat kebaikan atau pun buku.

"Untuk lagu, kami lebih menekankan aspek hiburan," katanya yang cukup ramah melayan setiap pertanyaan.

Kumpulan ini baru saja muncul dengan album kelima mereka yang diberi judul The End dan dua lagu mereka berjudul Boom Boom Pow dan I Gotta Feeling menduduki senarai teratas carta Billboard. Mengulas kejayaan mereka mengekalkan prestasi dalam menghasilkan lagu yang rancak dan menghiburkan, satu-satunya bunga yang ada di dalam kumpulan itu iaitu Stacy Ann Ferguson atau lebih dikenali dengan nama Fergie berkata, mereka mencipta lagu adalah sebagai kepuasan diri dan bukannya untuk membolot kedudukan mana-mana carta.

"Kami tidak sangka lagu kami boleh popular sehingga ke tahap itu. Mula-mula diberitahu lagu itu masuk carta, kami anggap itu biasa, tetapi apabila minggu demi minggu dimaklumkan yang lagu kami berada di kemuncak carta dan kekal bertahan untuk beberapa minggu, kami anggap itu luar biasa. Terima kasih kami kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kami," kata Fergie.

Sebagai kumpulan yang mempertaruhkan irama rancak, B.E.P cukup hebat apabila beraksi di atas pentas. Mereka amat bertenaga dan tertanya-tanya dari mana mereka memperoleh tenaga sehebat itu?

Will.i.am berkata apa yang harus dititikberatkan adalah menjaga stamina serta kena gembira dengan apa yang dilakukan.

"Saya tidak pernah ke gimnasium berbanding Apl.de.ap yang mengunjunginya setiap hari. Tetapi saya pastikan akan menikmati setiap aksi persembahan dengan keseronokan. Itulah yang memberikan tenaga kepada kami, menghasilkan persembahan bertenaga," katanya.

Sejak muncul dengan album sulung enam tahun lalu, diakui kumpulan ini tetap utuh dan tidak nampak ada tanda-tanda perpecahan berlaku walaupun Will.i.am dan Fergie pernah muncul dengan album sulung masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: