Sunday, October 4, 2009

FFAP53 Pilih filem identiti negara


TIARA JAQUELINE


SELEPAS dua kali gagal diadakan, Festival Filem Asia Pasifik kembali dengan edisi ke-53nya memeriahkan sirkit penganugerahan untuk memartabatkan karyawan filem seluruh rantau Asia Pasifik.

Bagaimanapun penyertaan kali ini pada FFAP53 yang bakal berlangsung di Bandaraya Kaohsiung, Taiwan bermula 17 Disember hingga 20 Disember depan adalah atas jemputan pihak penganjur.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang memberikan penghargaan kepada anggota persatuan pengeluar-pengeluar filem Asia Pasifik dengan mempertandingkan filem-filem terbaik keluaran setiap negara anggota secara tahunan.

Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) merupakan antara yang dijemput untuk memeriahkan majlis penganugerahan kali ini.

PFM merupakan anggota Federation of Motion Pictures in Asia Pacific (FPA) yang turut dianggotai 21 negara lain.

Negara-negara itu adalah Thailand, Filipina, Bangladesh, Rusia, Georgia, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Hong Kong, Korea, India, Singapura, Iran, Autralia, Indonesia, Taiwan, Uzbekistan, Kuwait, Jepun, Macau dan New Zealand.

Sudah menjangkau usia enam dekad sejak kali pertama diperkenalkan pada 1954 di Tokyo, Jepun, Malaysia pernah beberapa kali meraih kemenangan.

Antaranya kategori Filem Komedi Terbaik menerusi filem Nujum Pak Belakang arahan P. Ramlee pada FFAP7 serta dua kali menggondol kategori Aktres Terbaik menerusi lakonan Tiara Jacquelina dalam filem Puteri Gunung Ledang dan Maya Karin (Puntianak Harum Sundal Malam).

Tetapi kita belum pernah menjulang anugerah tertinggi Filem Terbaik. Tidak cukup baikkah filem kita? Atau apakah kita yang menghantar salah filem?

Nilai estetika

Tentunya apabila kita mahu menyertai sesebuah festival dan mempertandingkan karya, kita mencari yang terbaik di kalangan terbaik.

Salah satu faktor yang perlu diambil kira dalam memilih filem baik cereka mahupun dokumentari untuk dihantar bertanding ke sebuah festival filem di luar negara seperti FFAP tentunya yang relevan dengan persekitaran dan beridentiti negara kita.

Namun sejauh mana kita mempunyai (atau menghasilkan) filem-filem yang mempunyai nilai estetika sebegitu?

Berapa banyak filem-filem kita khususnya filem cereka yang berwajah dan beridentiti Melayu dan berteraskan Malaysia?

Kita tidak mahu filem kita sekadar dinilai melalui bahasa yang digunakan untuk menggambarkan ia sebuah filem dari Malaysia.

Sebaliknya kita pasti ingin mempertontonkan sebuah filem terbaik yang merangkumi keseluruhan aspek sosio budaya negara kepada para juri profesional yang dipilih daripada beberapa negara anggota.

Inilah masanya kita tunjukkan kepada mereka "Filem Kita Wajah Kita" seperti yang kita bangga dan laung-laungkan selama ini.

Filem-filem pilihan untuk dihantar bertanding seharusnya menjadi penanda aras kepada sebuah perkembangan industri perfileman negara yang positif.

Ada nilai seni yang tinggi untuk dipertontonkan, yang sesuai dengan matlamat penganjuran festival itu sendiri iaitu untuk mengangkat martabat serta menghargai karyawan filem di seluruh Asia Pasifik.

Apa filem pilihan kita? Yang laku di pawagamkah atau yang menang banyak anugerah di festival filem?

Apakah filem-filem yang kecundang jualan tiketnya atau kalah di tangan filem popular itu sebuah filem yang kurang baik untuk dipertandingkan?

Tidak kira apa juga pilihannya, satu yang pasti, bawalah filem yang berindentiti negara.

Buatlah pilihan yang terbaik kerana tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini hanya tiga filem cereka yang boleh dibawa mewakili negara.

Sementara dua lagi diberikan kepada filem dokumentari dan animasi.

Kepada para delegasi negara yang bakal ke Bandaraya Kaohsiung nanti, selamat berjaya. Sepanjang empat hari di sana, selain malam pembukaan dan malam kemuncak penganugerahan, turut berlangsung adalah mesyuarat lembaga pengarah FPA serta lawatan tempat menarik.

Gunakan sebaik-baiknya peluang yang ada untuk meninjau peluang di samping membuka mata kepada karya-karya negara anggota yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: