Sunday, October 4, 2009

Cukup-cukuplah!


Drama bersiri Perempuan antara drama seberang yang pernah ditayangkan di sebuah stesen tempatan.


DEWASA ini memang banyak benar drama-drama seberang yang ditayangkan di stesen-stesen televisyen tempatan. Buka sahaja televisyen pasti ada yang menayangkan drama-drama seberang tidak kira siang mahupun malam.

Kebanyakannya bersifat drama bersiri. Jadi faham-faham sahajalah kalau bersiri. Maka ramailah yang 'melekat' depan peti televisyen gara-gara tak mahu tertinggal.

Sampaikan ada yang sanggup tunda acara semata-mata mahu menonton drama kesukaan masing-masing tak kira tengah hari, senja mahupun malam.

Bukan sahaja mak-mak kita yang sibuk di depan televisyen, budak-budak juga tidak mahu ketinggalan mengikuti setiap episod.

Begitulah hebatnya penangan drama bersiri seberang. Sampaikan rasanya drama-drama itu 'menguasai' bukan sahaja penonton kita malah stesen televisyen juga.

Mana tidaknya, atas nama rating yang mampu menjana keuntungan maka stesen pun tidak mahu melepaskan peluang berlumba-lumba menyiarkan drama-drama bersiri seberang. Yang tak syoknya bukan semua dramanya bagus. Yang karut marut pun ada. Cerita tak payah cakaplah.

Sekejap macam ini, kemudian macam itu. Eh! Tak lama lepas tu, macam ini balik. Depa dok pakat pi mai pi mai tang tu gak!

Akhirnya bila tamat drama, masing-masing tak puas hati. Selalunya macam itulah. Dah sampai berpuluh-puluh episod ditonton, pengakhirannya taklah seenak mana. Kita sahaja yang teruja dengan drama-drama mereka. Mereka? Belum tentu mereka tahu nama-nama drama kita.

Iyalah, bukan mudah menembusi pasaran drama seberang. Kerana mereka amat mengawal ketat setiap kemasukan drama luar.

Mereka pula pandai. Mereka tidak sewenang-wenangnya melepaskan drama mereka tanpa bayaran setimpal.

Sejak zaman 80-an lagi filem kita amat payah menembusi pasaran di sana walaupun adanya program pertukaran filem Malaysia-Indonesia yang dipersetujui oleh kerajaan dua negara.

Malangnya semua itu sukar dilaksana kerana persatuan-persatuan artis mereka kuat dan sentiasa mengawal dan menjaga kepentingan mereka.

Berbeza dengan kita yang sentiasa menerima secara terbuka setiap yang telah dipersetujui bersama. Hinggakan drama yang entah apa-apa pun kita beli dan dipertontonkan kepada masyarakat. Apakah kita mahu masyarakat kita leka dengan drama-drama yang penuh air mata dan jenaka seperti yang dihidangkan sekarang?

Lainlah mereka kerana taraf kemiskinan yang teruk menjadikan mereka mendambakan hiburan untuk mengalihkan perhatian kepada kesusahan yang dihadapi.

Lagipun, kalau dah banyak sangat drama mereka masuk ke sini, bagaimana pula penerbit drama kita nak cari makan? Wanda rasa daripada kita terus mengalirkan wang keluar, adalah lebih baik jika peluang-peluang mengisi slot itu diberikan kepada karyawan tempatan yang Wanda rasa banyak yang berbakat dan mempunyai idea bernas dan lebih kreatif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: