Sunday, October 4, 2009

Azlan, MUH tidak bermusuh




Pada 5 Julai lalu, secara rasmi Nor Azlan Rosle, 27, atau Azlan keluar daripada kumpulan rock indie progresif, Meet Uncle Hussain (MUH). Anak pertama daripada lima beradik ini telah mencari jalannya sendiri sebagai artis solo dan menggunakan nama Azlan.

Bagaimanapun Azlan menggunakan khidmat pemuzik undangan The Typewriter untuk setiap persembahannya. Kerana itu, Azlan lebih mudah atau senang menggunakan nama Azlan & The Typewriter.

Menurut Azlan, kemunculannya sebagai Azlan & The Typewriter bukanlah sebagai satu kumpulan muzik seperti mana Meet Uncle Hussain. Ia sebenarnya bergerak solo di bawah syarikat Satu Entertainment Sdn. Bhd.

Album single pertamanya, Kelibat Si Penyair bersama syarikat tersebut telah pun berada di pasaran sejak Ogos lalu.

Kata Azlan, album penuhnya berjudul Petaminda yang berkonsep rock alternatif akan berada di pasaran hujung tahun ini. Ikuti perbualan Azlan dengan penulis mengenai perjalanan hidupnya yang bergerak sebagai penyanyi solo.

Macam mana sekarang ini sejak bergerak secara solo?

Okaylah, lega sikit dan saya dapat berkarya lebih bebas. Minda saya makin bebas sekarang ini.

Adakah Azlan secara rasmi sudah keluar daripada MUH sekarang ini?

Ya, rasmi.

Kenapa perlunya The Typewriter?

Aliran muzik yang saya bawa kalau buat persembahan solo tidak seronok dan feel dia lain, jadi saya perlukan pemuzik. Mereka semua kawan-kawan lama saya juga. Tapi mereka bukan artis Satu Entertainment Sdn. Bhd. Hanya saya seorang saja yang menandatangani kontrak dengan syarikat tersebut sebagai artis solo. Saya tak mahu peminat keliru nanti, sebab saya bukan dengan kumpulan The Typewriter dan mereka cuma pemuzik undangan saya.

Macam mana hubungan dengan anggota kumpulan MUH?

Sejak keluar saya tak berkesempatan berjumpa dan kalau jumpa saya masih boleh bertegur sapa dengan mereka. Nak kata lepak-lepak macam dulu, masa tak mengizinkan. Saya pun sibuk sejak bergerak solo dan mereka juga mungkin sibuk. Tidaklah saya bermusuh dengan mereka. Dunia hiburan ini kecil dan mana-mana pun kita akan bertemu juga, buat apa nak bermusuh.

Azlan masih berhubung melalui telefon dengan mereka?

Tak, sebab nombor telefon saya dah tukar.

Rindu dengan MUH?

Tipu kalau saya kata tidak, betul tak? Adalah sikit, tapi nak buat macam mana kita ada haluan masing-masing. Saya dengan cara saya dan ini pilihan untuk meneruskan hidup dan karier sebagai penyanyi.

Apa komen Azlan ada pihak mengatakan Azlan bagaikan kacang lupakan kulit?

Saya rasa tak ada isu seperti yang dikatakan itu antara saya dengan MUH, tapi kalau dah ada pihak lain yang berkata begitu terhadap saya, saya tak boleh nak kata macam mana lagi.

Azlan tak takut bergerak solo, sedangkan masa dengan MUH, Azlan dah popular?

Peminat memang ada cita rasa sendiri. Ada yang minat dengan kumpulan secara keseluruhan, ada yang minat dengan pemuziknya dan ada yang minat dengan penyanyi utamanya. Jadi terserah kepada peminat sendiri sama ada nak minat dengan MUH ataupun Azlan & The Typewriter.

Vokal saya tetap sama seperti dengan MUH dulu, tinggal lagi aliran muzik saya sudah berbeza. Saya adalah saya yang dulu.

Tau tak MUH dengar khabar nak jadikan Black (mentor) jadi vokalis. Apa komen Azlan?

Tau, ada juga dengar cerita tu. Bagi saya Black punya vokal yang baik dan tinggi.

Ada kata-kata Azlan untuk MUH?

Teruskan perjuangan. Itu saja.

Kalau gagal juga dengan perjuangan solo ini macam mana. Tak rasa rugi ke?

Kita berserah, saya buat yang terbaik untuk diri dan masa depan saya. Saya ada strategi yang lain dan tersendiri. Lagipun gubahan muzik dan melodi lagu saya sekarang ada kelainan berbanding dengan MUH dulu. Pendek kata muzik saya lebih bebas sekarang ini. Lagu-lagu saya mungkin akan mencari tempat di luar negara dan tidak tertumpu kepada pendengar di negara kita sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: